19/09/2026
SOKONGAN KELUARGA, KEKUATAN DI SEBALIK WARGA SANG SAKA BIRU - KPN
Melaka, 19 September 2026 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Dato’ Seri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail hari ini merasmikan penutupan Kenduri Kesyukuran dan Hari Keluarga Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia sempena Program Jelajah Wira MADANI Tahun 2026 di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini.
Hadir sama, isteri beliau merangkap Pengerusi PERKEP Malaysia, Puan Sri Datuk (Dr.) Hjh. Munirah Che Rose, Timbalan KPN, DIG Dato’ Sri Abdul Aziz Abdul Majid bersama isteri merangkap Naib Pengerusi PERKEP Malaysia, Datin Sri Selmiah Tuan Ibrahim serta Ketua Polis Melaka, DCP Datuk Wira Dzulkhairi Mukhtar bersama isteri merangkap Pengerusi PERKEP Kontinjen Melaka, Datin Wira Diana Aini Mokter.
Mengangkat tema “Keluarga Bahagia, Pasukan Sejahtera”, program anjuran PERKEP Malaysia bersama PERKEP Kontinjen Melaka ini menghimpunkan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ahli keluarga dalam usaha memperkukuh silaturahim, kebersamaan serta penghargaan terhadap sokongan keluarga yang menjadi kekuatan warga Pasukan dalam melaksanakan amanah.
Dalam ucapan perasmian penutup, Tan Sri Dato’ Seri Hj. Mohd Khalid berkata, Program Jelajah Wira MADANI merupakan inisiatif Kerajaan Perpaduan berteraskan Malaysia MADANI sebagai penghargaan kepada petugas barisan hadapan, selain merapatkan hubungan kerajaan dengan masyarakat, menyemai patriotisme dan meningkatkan kesedaran keselamatan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh ahli keluarga warga PDRM atas sokongan, doa dan pengorbanan yang menjadi sumber kekuatan pasukan, selain menekankan peranan PERKEP dalam memperkukuh kebajikan warga PDRM serta kesejahteraan keluarga, khususnya pendidikan anak-anak dan aspek emosi.
Dalam majlis yang sama turut diadakan penyampaian sumbangan kebajikan kepada 20 orang penerima yang terdiri daripada pegawai kanan, pegawai rendah dan pesara PDRM Kontinjen Melaka yang memerlukan.
Terdahulu, pada sebelah pagi telah berlangsung pelancaran bendera serta Maskot PERKEP Malaysia, diikuti penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan mencipta Bendera dan Maskot PERKEP Malaysia yang berlangsung di Dewan Terbuka Pengangkutan IPK Melaka serta pelbagai aktiviti kekeluargaan dalam suasana santai dan meriah.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Tuan Adam Adli Abd Halim, barisan Pengarah PDRM, Pesuruhjaya Polis dan Ketua Polis Negeri, barisan Komander dan Komandan serta pengamal media.
Jurugambar: Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid dan Lans Koperal Khairunisa Ibrahim