07/09/2026
Prof. Dato’ Dr. Nik Salida binti Nik Saleh telah mengetuai delegasi Malaysia ke Simposium bertajuk “Peranan Kepimpinan Agama dalam Membanteras Keganasan terhadap Wanita”, anjuran Akademi Fiqh Islam Antarabangsa (IIFA), pada 7 September 2026 di Hotel Hilton Jeddah, Arab Saudi. Delegasi Malaysia turut disertai oleh Yang Mulia Tengku Datuk Mohd Dzaraif, Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, serta pegawai-pegawai daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Simposium tersebut menghimpunkan tokoh agama, ahli akademik dan pakar untuk membincangkan peranan kepimpinan agama dalam usaha menangani dan mencegah keganasan terhadap wanita berlandaskan prinsip serta panduan syariah.
Perbincangan tertumpu kepada konsep keganasan terhadap wanita, termasuk punca dan pelbagai bentuknya, di samping rujukan syariah yang berkaitan serta usaha memperbetulkan salah faham mengenai kedudukan dan hak wanita dalam Islam.
Para peserta turut bertukar-tukar pandangan mengenai pendekatan pencegahan dan penyelesaian secara menyeluruh melalui peranan kepimpinan agama, institusi kemasyarakatan, media serta kerjasama pada peringkat antarabangsa.
Penganjuran simposium ini mencerminkan komitmen berterusan IIFA untuk mengetengahkan penyelesaian berteraskan prinsip Islam dalam menangani cabaran semasa, di samping memperkukuh usaha bersama ke arah melindungi maruah, hak dan kesejahteraan wanita.