17/06/2025
15 | JUN | 2025
PERSIDANGAN TAHUNAN PERGERAKAN BELIAWANIS PARTI GAGASAN RAKYAT SABAH BAHAGIAN N.14 TAMPARULI
Alhamdulillah, Persidangan Pergerakan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah Bahagian N.14 Tamparuli telah berjaya dilaksanakan dan melabuhkan tirai dengan penuh jayanya. Syabas dan tahniah diucapkan kepada seluruh barisan jawatankuasa penganjur, para perwakilan, pemerhati, serta semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan persidangan ini. Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih juga dirakamkan kepada AJK Beliawanis Bahagian dan semua petugas yang telah bertungkus-lumus memastikan kelancaran mesyuarat tahunan ini. Komitmen dan dedikasi anda semua amatlah dihargai dan menjadi bukti bahawa semangat juang dalam kalangan Beliawanis Gagasan Rakyat terus subur dan kukuh.
Persidangan tahun ini telah dirasmikan secara serentak oleh YB Dato' Sri (Dr) Ruddy Awah yang mewakili Presiden Parti, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor. Kehadiran dan sokongan pimpinan tertinggi ini adalah manifestasi komitmen berterusan terhadap pembangunan dan pengukuhan jentera Beliawanis, khususnya di peringkat akar umbi. Setinggi-tinggi penghargaan turut saya tujukan kepada Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah N.14 Tamparuli, Datuk TPr Alijus @ Mohd Ali bin Sipil, atas kepimpinan yang berwibawa, bimbingan yang konsisten, serta tunjuk ajar yang menjadi inspirasi kepada kami, terutama golongan Pemuda, untuk terus melangkah ke hadapan dengan lebih yakin dan bersemangat.
Perutusan Ketua Pergerakan Beliawanis N.14 Tamparuli tahun ini, kita sekali lagi melangkah ke detik penting dalam sejarah demokrasi negeri tercinta – Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17. PRN ini bukan sekadar satu proses pilihan raya rutin, tetapi medan penentuan masa depan dan hala tuju kepimpinan yang akan mewakili suara rakyat Sabah untuk lima tahun akan datang.
Ketua Beliawanis Bahagian Tamparuli, ingin menyeru kepada semua ahli dan seluruh wanita muda agar menyedari peranan penting yang kita mainkan sebagai pengundi, pendidik masyarakat, dan pemangkin perubahan. Politik hari ini tidak boleh hanya diserahkan kepada yang lantang berbicara, tetapi perlu diisi oleh mereka yang berani bertindak dengan nilai, ilmu dan kejujuran – termasuk kita, wanita muda.
Kita tidak lagi sekadar berada di tepi gelanggang – kita kini berada di tengah-tengah arus politik negeri ini. Maka, kita harus bijak menilai, berani bersuara dan berprinsip dalam membuat keputusan.
"Sabah for Sabahan" bukan hanya ungkapan semangat – ia adalah tuntutan adil berasaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang masih diperjuangkan hingga ke hari ini. Dalam hal ini, kita menghargai langkah-langkah berperingkat yang sedang diusahakan oleh kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam menuntut pelaksanaan penuh MA63 secara tuntas dan berfasa. Hak kita sebagai negeri rakan dalam pembentukan Malaysia mesti dihormati, dipertahankan dan dijelmakan dalam bentuk tindakan, bukan sekadar janji.
Sebagai wanita muda, marilah kita bersatu dalam kesedaran bahawa suara kita bererti. Kita tidak mudah termakan janji kosong, tidak tunduk pada politik wang, dan tidak akan membiarkan masa depan negeri ini dibentuk oleh kepentingan sempit. Beliawanis mesti terus menjadi platform pencerahan dan penggerak kesedaran politik yang matang, terutama dalam kalangan generasi muda.
Akhir kata, Ketua Pergerakan Beliawanis N.14 Tamparuli menyeru seluruh ahli Beliawanis Tamparuli untuk memainkan peranan masing-masing menjelang PRN ini dengan tekad, hikmah dan integriti. Marilah kita menjadi pengundi yang bijak, rakyat yang peka, dan wanita muda yang berani bersuara demi Sabah yang lebih adil, maju dan berdaulat.
PRN 17 – Suara Kita, Kuasa Kita.
Beliawanis Berdaya, Wanita Muda Penentu Masa Depan Sabah.