09/08/2026
Kebakaran hutan dan lahan di Kalimantan Barat semakin membimbangkan apabila keluasan kawasan terjejas dilaporkan mencecah sekitar 28,680.47 hektar setakat 25 Julai 2026.
Angka itu bersamaan kira-kira 287 kilometer persegi, iaitu hampir sebesar keseluruhan kawasan bandar Shah Alam. Bila disebut dalam hektar, angkanya mungkin sukar dibayangkan, tetapi jika kita bayangkan sebuah kawasan hampir sebesar sebuah bandar sedang terbakar, barulah kita dapat faham skala sebenar kejadian ini.
Kalimantan Barat bukan asing dengan kebakaran hutan dan tanah gambut, terutama ketika cuaca menjadi lebih panas dan kering. Dalam keadaan begini, tumbuhan kering mudah menjadi bahan bakar dan api boleh merebak dengan lebih cepat. Aktiviti pembakaran terbuka atau pembukaan tanah juga boleh menjadi pencetus, sebelum api merebak ke kawasan yang jauh lebih luas.
Masalah menjadi lebih rumit apabila kebakaran melibatkan tanah gambut.
Api di kawasan gambut tidak semestinya hanya membakar apa yang kita nampak di permukaan. Bara boleh terus hidup di bawah tanah, menyusuri lapisan bahan organik dan membara untuk tempoh yang panjang. Sebab itu ada keadaan apabila permukaan nampak sudah reda, tetapi api sebenarnya masih belum benar-benar padam.
Inilah antara sebab utama kebakaran gambut sangat sukar dikawal sepenuhnya.
Operasi pemadaman bukan sekadar menyembur air pada kawasan yang terbakar. Ia memerlukan pasukan darat, pemantauan udara, water bombing dan pemantauan berterusan bagi memastikan bara benar-benar padam serta mengelakkan titik api baharu daripada muncul.
Dalam kawasan yang sangat luas, cabaran menjadi lebih besar kerana pasukan pemadam bukan sahaja perlu memadam api yang sedang marak, tetapi pada masa yang sama perlu mencari dan mengawal titik panas lain yang mungkin sedang terbentuk.
Apa yang berlaku di Kalimantan Barat juga perlu diberi perhatian oleh Malaysia kerana wilayah itu terletak sangat hampir dengan Sarawak.
Asap tidak berhenti di sempadan negara.
Apabila arah angin membawa asap ke utara atau barat laut, pencemaran daripada kebakaran boleh bergerak merentasi sempadan dan mempengaruhi kualiti udara di Malaysia. Beberapa kawasan di Sarawak juga telah mula mengalami keadaan berjerebu yang dikaitkan dengan asap dari Kalimantan Barat.
Kesan kepada kesihatan bukan sekadar mata pedih atau bau asap.
Asap kebakaran mengandungi partikel halus termasuk PM2.5 yang cukup kecil untuk masuk jauh ke dalam paru-paru. Golongan seperti kanak-kanak, warga emas, ibu hamil, pesakit asma, COPD serta mereka yang mempunyai penyakit jantung lebih mudah mengalami kesan apabila kualiti udara merosot.
Jika kebakaran terus berlarutan dan keadaan cuaca kekal kering, risiko jerebu rentas sempadan juga boleh berterusan.
Kita mungkin tidak nampak api itu dari Malaysia, tetapi kita masih boleh terdedah kepada asapnya.
Sebab itu kebakaran di Kalimantan Barat bukan sekadar isu negara jiran.
Ia juga isu kesihatan awam serantau yang boleh sampai ke udara yang kita sedut setiap hari.
Pantau bacaan IPU, kurangkan aktiviti luar apabila kualiti udara merosot dan dapatkan pemeriksaan jika mengalami sesak nafas, wheezing, sakit dada atau simptom yang semakin teruk.
Public Health Malaysia