03/04/2026
PKS JOHOR BAKAL TERANCAM?!
40,000 PKS JOHOR TERANCAM: KEGAGALAN KERAJAAN MEMBACA KRISIS
Amaran Presiden Dewan Teraju Usahawan Bumiputera Negeri Johor (TERAJU), Datuk Ismail Karim bahawa hampir 40,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Johor berisiko terjejas akibat krisis Asia Barat merupakan satu isyarat serius bahawa ekonomi negara sedang memasuki fasa yang membimbangkan.
Beliau turut menyatakan bahawa impak krisis ini berpotensi menjadi lebih buruk berbanding krisis kewangan 1997, pandemik COVID-19 dan krisis-krisis terdahulu. Namun, apa yang lebih meresahkan ialah kegagalan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor untuk bertindak secara proaktif dan meyakinkan.
Krisis ini bukan berlaku secara tiba-tiba. Kenaikan harga minyak, gangguan rantaian bekalan global dan ketidaktentuan geopolitik telah menunjukkan tanda-tanda awal sejak berbulan lalu. Malangnya, sehingga hari ini, kerajaan masih gagal mengemukakan pelan tindakan yang jelas, menyeluruh dan segera.
Di peringkat lapangan, realitinya jauh berbeza daripada naratif rasmi. Kos operasi meningkat secara mendadak, margin keuntungan PKS semakin mengecil dan peniaga mula mengurangkan operasi untuk terus bertahan. Ini bukan lagi soal angka pertumbuhan ekonomi di atas kertas, tetapi soal kelangsungan hidup perniagaan dan pekerjaan rakyat.
Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Jacob Lee turut memberi amaran bahawa gangguan rantaian bekalan serta kenaikan kos tenaga akan terus menghimpit margin keuntungan pengilang sekiranya ketegangan di Asia Barat berlarutan. Pengilang terpaksa berdepan dengan kos input yang lebih tinggi, yang akhirnya akan memberi kesan kepada harga barangan pengguna sekiranya tiada langkah intervensi diambil.
Kita tidak boleh menafikan bahawa krisis global berada di luar kawalan. Namun, kegagalan mengurus kesan krisis adalah tanggungjawab kerajaan. Kerajaan tidak boleh sekadar bertindak secara reaktif berdasarkan turun naik harga minyak dunia, sebaliknya perlu melaksanakan langkah intervensi yang proaktif bagi melindungi sektor PKS dan perkilangan di Johor.
Semasa pandemik COVID-19, kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuktikan bahawa langkah drastik seperti moratorium pinjaman dan bantuan bersasar boleh dilaksanakan dalam tempoh yang singkat. Persoalannya, mengapa dalam krisis yang semakin jelas hari ini, kerajaan dilihat lambat, tidak tegas dan seolah-olah tidak mempunyai keutamaan yang jelas?
Sekiranya kelewatan ini berterusan, negara berisiko berdepan dengan gelombang penutupan PKS, pembuangan pekerja secara besar-besaran serta kenaikan harga barang yang tidak terkawal. Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan ekonomi, malah berpotensi menggugat kestabilan sosial negeri Johor.
Sehubungan itu, BERSATU Negeri Johor menggesa kerajaan untuk segera melaksanakan langkah berikut:
1. Membentangkan pelan intervensi yang jelas dan menyeluruh
2. Melaksanakan moratorium bersasar kepada PKS yang terjejas
3. Menubuhkan dana kecemasan bagi sektor-sektor kritikal
4. Melaksanakan intervensi segera terhadap kos logistik dan tenaga
5. Memperkenalkan pelan perlindungan pekerjaan di peringkat nasional
Kerajaan tidak boleh terus berlengah dengan alasan kajian atau penilaian semata-mata. Negara memerlukan tindakan yang pantas, berani dan berpandangan jauh.
Sekiranya kerajaan terus gagal bertindak dengan berkesan, krisis ini tidak lagi boleh dilihat sebagai kesan faktor global semata-mata, tetapi akan menjadi cerminan jelas kepada kelemahan pentadbiran negara.
Rakyat sedang memerhati dan kesan daripada kegagalan hari ini akan menentukan masa depan ekonomi negara.
SYAFIQ AZIZ
KETUA PENERANGAN
BERSATU NEGERI JOHOR