10/08/2023
Dilempar ke laut menjadi pulau, ditebar ke langit menjadi bintang dan dicampak ke daratan menjadi gunung.
Di dunia peladang sawit berjaya, di akhirat penuai amal pahala kerana usahanya memandaikan umat.
Ustaz Tengku Abdullah Tengku Rakman yang lebih dikenali sebagai Ustaz Tengku dalam kalangan warga Gemencheh merupakan seorang pendidik dan pendakwah yang dikenali ramai.
Berasal dari Raub Pahang, namun sudah 37 tahun mendirikan rumah tangga bersama isteri tercinta, Cikgu Kamaliah Abd Rahman yang berasal dari Gemencheh dan juga kelahiran suku Mungkal.
Mula menetap di Gemencheh pada tahun 2002. Sepanjang tempoh tersebut telah berkhidmat di enam buah sekolah sekitar Gemencheh sebelum bersara pada tahun 2013 di SJK (T) Ladang Regent Gemencheh. Sebelumnya pernah bertugas di Padang Damit Beaufort Sabah dan juga Raub Pahang. Pendek kata, seorang yang sangat berpengalaman luas dalam dunia pendidikan apabila diberi peluang berkhidmat di Borneo, SJK (C), SJK (T) dan termasuk juga juga SK Methodist.
Kepelbagaian ini menyebabkan Ustaz Tengku tidak kekok bergaul dengan masyarakat pelbagai kaum. Ustaz Tengku pernah kongsi, disekolah beliau menggalakkan anak-anak murid bertutur dalam bahasa ibunda sendiri seperti Bahasa Tamil atau Cina. Bukan apa, senang nak belajar bahasa anak murid katanya.
Mengenali dengan lebih dekat, ramai kenalan dan ahli keluarga sifatkan Ustaz Tengku sebagai seorang ‘workaholic’. Paginya beliau bertugas disekolah, petang jika ada ruang berbudi pada tanah dengan berkebun di kebun yang diusahakan sendiri, malam mencurahkan ilmu dalam kuliah-kuliah takmir. Tak cukup dengan itu, rutin hujung minggu juga tak pernah sunyi dari aktiviti kebajikan, kemasyarakatan dan politik.
Itulah Ustaz Tengku, sentiasa meletakkan kepentingan masyarakat melebihi keperluan peribadinya.
Dilempar ke laut menjadi pulau, ditebar ke langit menjadi bintang dan dicampak ke daratan menjadi gunung.
Mungkin inilah perumpamaan yang tepat untuk menggambarkan betapa gigihnya seorang ayah kepada 8 orang anak ini menabur bakti kepada masyarakat. Baginya pendidikan adalah lebih penting berbanding kekayaan. Ketika kita memiliki kekayaan, kita yang akan menjaga kekayaan itu. Ketika kita memiliki ilmu, ilmu yang akan menjaga kita.
Semasa masih bertugas di Sabah lagi Ustaz Tengku bersama rakan-rakannya memulakan langkah untuk mencadang dan menubuhkan Taski Abim Beufort pada tahun 1987. Begitu juga Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di Raub pada tahun 1999 dan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Al-Azhar Gemencheh pada tahun 2011.
Oleh kerana jiwa sebagai pendidik telah sebati dalam diri murobbi ini, walaupun telah bersara, mantan Imam Masjid Kampung Sri Asahan ini tak pernah kenal erti penat lelah. Dengan penuh kesedaran dan tanggungjawab beliau bangunkan sebuah Madrasah Tahfiz Muhammadi di Kampung Ulu Rokan Gemencheh. Setiap susah payah dan cabaran membangunkan Madrasah ini dihadapi dengan tenang. Pada pandangan beliau, generasi akan datang perlu diselamatkan bermula pada hari ini dengan memberi bekalan ilmu secukupnya. Semua ini dilakukan untuk menyempurnakan tanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara tercinta.
Ustaz Tengku melangkah masuk ke medan PRN Negeri Sembilan kali ini sebagai calon yang memiliki pakej lengkap. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, merupakan mantan penjawat awam dan pendidik selama hampir 30 tahun serta menceburkan diri dalam pelbagai lapangan kemasyarakatan semenjak usia muda menjadikan beliau sebagai calon paling layak untuk dipilih oleh warga Gemencheh.
Semua ini merupakan isyarat yang jelas kepada warga Gemencheh, tidak dapat tidak kita mesti menghantar calon yang berkaliber ini untuk berpencak dipersada Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan dan menabur khidmat baktinya dalam lapangan yang lebih luas melalui politik.
Send a message to learn more