23/05/2026
20 MEI 2026 | RABU –
Lawatan Kerja YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim Setiasuaha Kerajaan Negeri Perak ke Kawasan Hutan Simpanan Kekal ( HSK) di Daerah Larut & Matang.
Lawatan ini juga memperkukuh komitmen dalam memperkasa pengurusan hutan secara lestari sebagai teras utama pembangunan negeri bagi memastikan keseimbangan antara kemajuan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara selaras agenda Perak Sejahtera 2030.
Sehingga kini, keluasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Perak direkodkan seluas 988,723.93 hektar atau 46.8 peratus daripada keseluruhan keluasan negeri, sekali gus mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dalam mengekalkan litupan hijau sebagai aset strategik pembangunan.
Daripada jumlah tersebut, lebih 495,000 hektar merupakan kawasan hutan perlindungan yang berfungsi sebagai tadahan air, perlindungan tanah, habitat hidupan liar serta kawasan penyelidikan dan pemuliharaan biodiversiti yang menjadi tunjang kepada kestabilan ekosistem negeri.
Dalam masa yang sama, Pulau Kalumpang terus dipelihara sebagai Kawasan Bernilai Pemuliharaan Tinggi (HCVA) sejak 8 September 2007, berasaskan nilai biodiversiti yang tinggi serta kepentingan warisan arkeologi kepada negeri Perak.
Keunikan kawasan berkenaan bukan sahaja memperkukuh identiti warisan negeri, malah membuka potensi besar kepada pembangunan ekopelancongan berasaskan kelestarian yang mampu menjana ekonomi komuniti secara mampan.
Seiring usaha konservasi biodiversiti, Jabatan Perhutanan Negeri Perak turut melaksanakan program semaian 200 biji benih dan 150 anak pokok Pokok Kalumpang Jari di Tapak Semaian Bukit Larut sebagai langkah pemuliharaan spesies warisan negeri.
Pada masa sama, Perak mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya merekodkan penanaman sebanyak 11.4 juta pokok menerusi Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok, sekali gus melepasi sasaran nasional yang ditetapkan.
Dalam pada itu, Perak turut mengekalkan pensijilan Malaysian Criteria and Indicators for Sustainable Forest Management Certification (MC&I SFM) bagi tempoh 2024–2029, yang mengesahkan pematuhan terhadap piawaian antarabangsa serta pelaksanaan amalan terbaik pengurusan hutan
Lawatan Hutan Simpan Bintang Hijau, serta Pulau Kalumpang di Kuala Gula, Bagan Serai.
Delegasi kemudiannya meneruskan lawatan dengan menaiki bot dari Pusat Eko Pelajaran Hutan Paya Larut Matang, Kuala Sepetang ke Pulau Kalumpang bagi mendengar taklimat berkaitan sejarah, nilai ekologi serta kepentingannya sebagai Kawasan Bernilai Pemuliharaan Tinggi (HCVA).
Antara penemuan arkeologi di kawasan tersebut termasuk rangka manusia, manik kaca, tembikar dan sisa makanan yang membuktikan kewujudan penempatan masyarakat lampau sekitar abad ke-12.
Selain nilai sejarah, Pulau Kalumpang turut dikenali dengan Pokok Kalumpang Jari yang menjadi identiti warisan negeri Perak.
Lawatan diakhiri dengan penanaman Pokok Kalumpang Jari oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di Pulau Kalumpang berkenaan.
Hadir sama, YBhg. Dato’ Mohd Basri bin Abdul Manaf, Pengarah Perhutanan Negeri Perak; YBrs. Encik Mohd Zairasyahli Shah bin Zakaria, Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Kerajaan Tempatan; YBrs. Encik Mohd Nasrul bin Menhat, Pegawai Daerah Larut, Matang dan Selama; YBrs. Encik Saidi bin Haji Shaari, Pegawai Daerah Kerian serta YBrs. Encik Helmi bin Yusof@Jusoh, Yang Dipertua Majlis Daerah Kerian.