05/03/2026
SANUSI INGATKAN UMAT ISLAM TEGUH PERTAHAN AKIDAH, TOLAK PLURALISME
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Umat Islam diingatkan agar teguh mempertahankan akidah dan tidak tunduk kepada fahaman pluralisme agama yang cuba memaksa penerimaan bahawa semua agama adalah benar.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pegangan umat Islam adalah berdasarkan wahyu ALLAH SWT dan tidak boleh digadai semata-mata untuk menjaga hati pihak lain atau atas dasar perpaduan.
“Kita tidak boleh sekali-kali mengatakan ajaran agama lain itu benar seperti Islam. Akidah kita tidak membenarkan perkara itu walaupun agama lain juga mengajar perkara yang baik dari sudut moral,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa bersama Pegawai Kerajaan Negeri (KCS), Pegawai Agama, Penghulu Mukim, Pegawai Persekutuan dan Penghulu di Dewan Seri Mentaloon, di sini.
Menurut beliau, kebelakangan ini umat Islam berdepan cabaran semakin berat sama ada dalam mahupun luar negara, termasuk penyebaran fitnah dan tohmahan terhadap Islam.
“Kita hidup dalam zaman fitnah berleluasa. Islam dituduh dengan pelbagai tohmahan sedangkan Islam adalah agama yang lengkap dan sempurna.
“Orang yang berpegang teguh kepada Islam dianggap pelik dan terasing, manakala yang mungkar p**a dilihat benar serta dipertahankan, termasuk oleh orang Islam sendiri,” ujarnya.
Sanusi berkata, walaupun bimbang dengan perkembangan semasa yang menyentuh soal akidah dan pegangan umat Islam, keadaan itu perlu dihadapi sebagai cabaran akhir zaman.
“Dalam menghadapi siri ujian ini, kita perlu banyak bersabar. Bersabar bukan bermaksud berdiam diri, tetapi teguh mempertahankan akidah dan keimanan,” katanya.
Sanusi turut mendakwa isu sensitif berkaitan agama dan kaum semakin marak apabila parti seperti DAP berada dalam kerajaan.
Katanya, situasi itu menyebabkan ada pihak merasakan mereka mempunyai ‘back up’ untuk melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang, selain sikap pemimpin kerajaan yang didakwa terlalu menjaga sokongan bukan Melayu demi mengekalkan kuasa.
Tambah beliau, keadaan itu menyebabkan sendi-sendi perpaduan yang sekian lama mengikat masyarakat menjadi semakin longgar.
“Kita bimbang, tetapi inilah cabaran akhir zaman yang perlu dihadapi dengan sabar dan keteguhan iman,” katanya.
Menurutnya lagi, fahaman pluralisme kini meresap secara halus terutama kalangan anak muda sehingga perkara yang dahulunya dianggap janggal dinormalisasikan dan garis pemisah antara kepercayaan agama semakin luntur.
“Apabila kita menolak, kita dianggap antiperpaduan, pelampau agama dan ekstremis. Perbezaan agama kini dianggap sama seperti perbezaan budaya. Sebab itu ada yang mempersoalkan mengapa pijak al-Quran dianggap penghinaan. Ini sangat membimbangkan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menyentuh konflik di Timur Tengah melibatkan Israel dan Amerika Syarikat menyerang Iran, yang menurutnya boleh memberi kesan langsung kepada ekonomi negara.
“Sudah tentu perang ini akan beri kesan langsung kepada kita, terutamanya dari segi ekonomi kerana di situlah letaknya sumber bekalan minyak dan gas utama dunia,” ujarnya.
Sebelum mengakhiri ucapan, Sanusi merakamkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan dan Persekutuan, serta semua pihak yang telah menyumbang kepada kemakmuran negeri.
“Antara kejayaan signifikan yang kita capai bersama-sama dalam tempoh enam tahun ini ialah pelaburan yang begitu tinggi secara konsisten yang tidak pernah dicapai sebelum ini.
“Dalam tempoh enam tahun berturut-turut sejak 2021, tahun bermulanya Pelan Pembangunan Kedah 2035, kita tidak pernah gagal melepasi sasaran pelaburan tahunan RM10 bilion.
“Ini pencapaian luar biasa yang meletakkan Kedah dalam peta pelaburan utama negara. Semoga kerjasama ini terus diperkukuh demi kesejahteraan rakyat Kedah,” katanya.