22/02/2026
Batalkan puasa jika berkumur dengan ubat kumur semasa puasa ?
Berkumur Secara Gargle Menggunakan Ubat Kumur
Dalam hal berkumur-kumur menggunakan mouth-rinsing gargle seperti ubat kumur misalnya, kami melihat ianya tidak membatalkan puasa kerana ia tidak sampai kepada had batin bagi rongga mulut iaitu makhraj huruf al-ha’ (الهاء). Kaedah berkumur-kumur secara gargling hanya melibatkan sekitar had zahir iaitu makhraj huruf al-kha’ (الخاء). Pun begitu, kami tidak menggalakkannya jika tidak keperluan.
Air Yang Berbaki Di Dalam Mulut & Termasuk Di Dalam Rongga
Sekiranya berlebih-lebihan berkumur dan termasuk dalam rongga, batal puasanya. Namun jika tidak berlebih-lebihan tetapi termasuk dalam rongga, tidak batal puasanya. Al-Khatib al-Syarbini menyatakan, “Menurut mazhab Syafie, jika seseorang berlebih-lebihan dalam berkumur-kumur dan menghisap air ke dalam hidung, lantas air tadi masuk ke dalam rongga, maka puasanya batal. Ini kerana orang yang berpuasa dilarang daripada berlebih-lebihan ketika berkumur-kumur dan menghisap air ke dalam hidung sebagaimana telah dijelaskan dalam perbahasan berkenaan wudhu. Namun, jika tidak berlebih-lebihan kemudian masuk air, tidak membatalkan puasa kerana ia tidak disengajakan.” (Mughni al-Muhtaj, 1/629)
Berhubung air yang tersisa dalam mulut, sekiranya saki baki airnya kekal dalam mulut selepas diluahkan, ia tidak membatalkan puasa dan tidak perlu mengeringkannya. Hal ini tidak ada khilaf dalam kalangan ulama’ Syafi’iyyah, menurut al-Mutawalli. Ini kerana jika diluahkan juga, tetap ada basahan di dalam mulut. (al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/327)
Rujukan : https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-hukum/edisi-ramadhan/807-irsyad-al-fatwa-khas-ramadhan-siri-ke-91-berkumur-dengan-mouth-rinsing-gargle