13/07/2026
[MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH DI PERKAMPUNGAN ORANG ASLI CHINGGUNG, DAERAH MUALLIM TAHUN 1448H/2026M]
Pejabat Pentadbiran Agama Islam Muallim telah berjaya menganjurkan Majlis Sambutan Maal Hijrah di Perkampungan Orang Asli Chinggung, sekali gus mencipta satu lembaran sejarah apabila julung-julung kalinya sambutan Maal Hijrah di Negeri Perak diadakan di sebuah perkampungan Orang Asli. Penganjuran ini menjadi manifestasi komitmen jabatan dalam memperluas syiar Islam menerusi pendekatan dakwah yang lebih dekat, menyeluruh dan merentasi segenap lapisan masyarakat.
Majlis diserikan dengan penampilan khas penceramah oleh Awang Sulong bin Haji Oyong, yang lebih dikenali sebagai Yabang Khalifah, menerusi penyampaian ceramah santai yang sarat dengan mesej penghijrahan dan pembinaan jati diri. Selain itu, pelbagai aktiviti berteraskan penglibatan komuniti telah diadakan, antaranya senamrobik, gotong-royong perdana, sukaneka kategori kanak-kanak dan dewasa serta cabutan bertuah yang berjaya menyemarakkan lagi sambutan dan mengeratkan hubungan silaturahim bersama masyarakat setempat.
Kemuncak program menyaksikan penyampaian Anugerah Tokoh Maal Hijrah sebagai tanda penghargaan kepada individu yang telah menunjukkan contoh kepimpinan, keperibadian dan penghayatan nilai-nilai Islam dalam kehidupan bermasyarakat. Anugerah ini melibatkan empat kategori iaitu :-
• Tokoh Maal Hijrah Lelaki
• Tokoh Maal Hijrah Perempuan
• Tokoh Saidina Uthman
• Tokoh Saidatina Fatimah
Majlis telah disempurnakan oleh YDH Toh Paduka Setia Dato' Ir. Dr. Safry Kamal bin Haji Ahmad, Orang Besar Jajahan Muallim. Turut hadir ialah YB Puan Salina Binti Samsudin, Ahli Dewan Undangan Negeri Dun Behrang, Tuan Ahmad Munir bin Ishak, Pegawai Daerah Muallim, Tuan Haji Ahmad Nizam bin Amiruddin, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JAIPk, serta Sharif A/L Selaseh, Tok Batin Kampung Orang Asli Chinggung. Pejabat Pentadbiran Agama Islam Muallim mengucapkan terima kasih atas kesudian meluangkan masa dan menyerikan majlis ini.
Ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan turut dizahirkan kepada Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIPK), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pejabat Daerah dan Tanah Muallim, Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM), Lembaga Air Perak (LAP), Jabatan Penerangan Malaysia, Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Pejabat Pentadbiran Agama Islam Teluk Intan dan Tapah, agensi-agensi kerajaan, badan-badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk IKRAM serta semua rakan strategik yang telah memberikan kerjasama sepanjang penganjuran program.
Penghargaan turut dirakamkan kepada Ahli Jawatankuasa Induk, seluruh warga kerja Pejabat Pentadbiran Agama Islam Muallim, Guru Agama Dakwah Muallim, serta semua pihak yang telah menyumbang buah fikiran, tenaga dan komitmen, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung dalam memastikan program bersejarah ini berlangsung dengan jayanya.
Semoga kejayaan penganjuran yang bersejarah ini menjadi titik tolak dan pemangkin kepada usaha memperkukuh dakwah dan memperluas jalinan ukhuwah bersama komuniti Orang Asli di Negeri Perak khususnya di daerah Muallim. ✨