28/04/2026
PKKU UUM SANTUNI KADET PALAPES MENERUSI PROGRAM "KENALI WARNA & PERSONALITI ANDA" DI ASTAKA PADANG KAWAD
Unit Kesejahteraan, Pusat Kesihatan dan Kesejahteraan Universiti (PKKU) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah membuka reruai (booth) khas sempena Program "Kenali Warna & Personaliti Anda" bertempat di Astaka Padang Kawad, UUM pada 16 April 2026.
Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada warga Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) UUM yang sedang menjalani latihan di kawasan berkenaan. Kehadiran unit ini bertujuan untuk memberikan pendedahan mengenai kepentingan memahami tret personaliti diri sebagai langkah awal penjagaan kesihatan mental yang lebih baik.
Melalui reruai yang disediakan, para pengunjung berpeluang menjalani ujian personaliti berasaskan kod warna secara percuma. Ujian ini direka untuk membantu individu mengenal pasti kekuatan, kelemahan, serta kecenderungan cara mereka berinteraksi dalam organisasi mahupun dalam konteks kepimpinan ketenteraan. Menurut Dr. Asma Mat, Pegawai Psikologi Unit Kesejahteraan, PKKU UUM, penglibatan dalam program ini adalah sebahagian daripada strategi "turun padang" untuk memastikan perkhidmatan kaunseling dan kesejahteraan lebih mudah diakses oleh warga universiti, termasuk anggota beruniform, dalam suasana yang lebih santai dan terbuka.
Selain ujian warna, pegawai dan staf dari Unit Kesejahteraan juga turut menyediakan sesi perundingan ringkas bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai profil personaliti masing-masing serta bagaimana ia mempengaruhi dinamika kerja berpasukan. "Sebagai kadet, program seperti ini sangat bermanfaat kerana ia membantu kami memahami cara berkomunikasi dengan rakan setugas yang mempunyai personaliti berbeza. Warna adalah medium yang mudah untuk mencerminkan identiti kita," ujar anggota PALAPES yang ditemui.
Aktiviti ini merupakan sebahagian daripada siri jelajah kesedaran kesihatan mental yang dirangka oleh PKKU bagi tahun 2026. Ia selari dengan hasrat universiti untuk melahirkan warga kampus yang bukan sahaja cemerlang dalam disiplin dan akademik, malah mempunyai daya tahan emosi yang stabil.
Berita dan gambar oleh:
Pn. Farah Dina Mohd Khairuldin