02/09/2026
PROGRAM ProPATUH 2026: MEMPERKUKUH PEMATUHAN DAN KERJASAMA BERSAMA PEMAIN INDUSTRI FARMASEUTIKAL
Pada 13 Ogos 2026 (Khamis), Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor menerusi Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Selangor, dengan kerjasama CPF W.P. Kuala Lumpur & Putrajaya serta Pharmaceutical Association of Malaysia (PhAMA), telah berjaya menganjurkan Program ProPATUH 2026: “Memperkukuh Pematuhan dan Kerjasama Bersama Pemain Industri Farmaseutikal” bertempat di Nexus Convention Centre, Kuala Lumpur.
Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan seramai 88 orang peserta daripada 38 syarikat industri farmaseutikal. Sambutan ini, mencerminkan komitmen pihak industri dalam memperkukuh pematuhan terhadap keperluan perundangan dan peraturan farmasi.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Dr. Nur Sufiza binti Ahmad, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Farmasi) Selangor, dan Encik Cheong Yee Kok, Pengerusi Jawatankuasa Regulatori merangkap Ahli Lembaga Pengarah PhAMA.
Seterusnya program ini diteruskan dengan pengisian ceramah, antaranya Amalan Terbaik Pengiklanan Ubat, Keperluan Pemeriksaan Penguatkuasaan, Pengimportan Bahan Farmaseutikal serta Pengenalan Kepada Aplikasi Myubat dan Hologram Farmatag® terkini.
Bukan itu sahaja, turut menjadi pengisian utama ialah Sesi Dialog Bersama Industri bagi membuka ruang perbincangan secara interaktif dua hala antara pihak regulator dan pemain industri berhubung isu serta cabaran pematuhan. Program turut dilengkapi dengan Kaunter Khidmat Nasihat dan Pameran TOBaTS bagi menyediakan ruang interaksi secara langsung bersama pihak industri.
Lebih signifikan, ProPATUH 2026 menjadi satu inisiatif perintis CPF Selangor dalam membina kolaborasi secara langsung bersama persatuan industri di peringkat nasional. Pendekatan ini membuka ruang baharu kepada perkongsian dua hala antara regulator dan pemain industri serta memperlihatkan peranan CPF Selangor sebagai pencetus dan pemangkin kepada penglibatan strategik bersama pihak industri dalam memperkukuh pematuhan farmasi.
Inisiatif ini diharap dapat menjadi model dan pemangkin kepada pelaksanaan program kolaborasi regulator-industri yang lebih meluas pada masa akan datang, selaras dengan usaha memperkukuh ekosistem penguatkuasaan farmasi serta memastikan keselamatan, kualiti dan keberkesanan ubat demi kepentingan masyarakat.
Syabas dan terima kasih diucapkan kepada semua peserta, penceramah, rakan strategik serta urus setia yang telah bersama-sama menjayakan Program ProPATUH 2026!