02/05/2026
Perkongsian Gambar | Sesi Libat Urus Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) bersama Pengusaha Industri Berasas Kayu (IBK) Negeri Selangor
Seksyen Perindustrian dan Pengusahasilan Hutan telah mengadakan Sesi Libat Urus Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) bersama Pengusaha Industri Berasas Kayu (IBK) Negeri Selangor pada 28 April 2026 bertempat di KSL Esplanade Hotel, Klang, Selangor.
Sesi ini diadakan bertujuan untuk memberi pemahaman kepada para pengusaha IBK mengenai kepentingan perlesenan di bawah JPNS, di samping memastikan pematuhan terhadap syarat perlesenan, peraturan serta dasar yang sedang berkuat kuasa. Program ini turut menjadi platform komunikasi dua hala bagi membincangkan isu berkaitan perlesenan, penguatkuasaan serta prosedur operasi kilang IBK.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Azhar bin Ahmad, Pengarah Perhutanan Negeri Selangor, dan turut diiringi oleh Tuan Mohd Nor Firdaus bin Rahim, Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Hutan serta Encik Donald Gabriel Guakin, Penolong Pengarah Seksyen Perindustrian dan Pengusahasilan Hutan, JPNS. Dihadiri juga Puan Tan Lay Yeong wakil daripada Persatuan Perindustrian Kayu-Kayan Selangor dan Kuala Lumpur (1952).
Sesi libat urus ini telah dihadiri oleh pengusaha kilang IBK berlesen tetap serta pengusaha kilang IBK berlesen khas di Negeri Selangor. Dalam sesi tersebut, Tuan PPN telah memperjelaskan bahawa kelulusan kilang IBK di Negeri Selangor adalah tertakluk di bawah peruntukan Enakmen Industri Berasas Kayu (IBK) 1985 (Pindaan 2010) serta Kaedah-Kaedah Industri Berasas Kayu (KKIBK) 1990 (Pindaan 2015).
Selain itu, para pengusaha kilang IBK turut diberikan pendedahan mengenai jenis-jenis perlesenan IBK serta syarat-syarat permohonan yang disampaikan oleh Encik Donald Gabriel Guakin, Penolong Pengarah Seksyen Perindustrian dan Pengusahasilan Hutan. Taklimat berkaitan undang-undang yang diguna pakai dalam industri berasas kayu di Negeri Selangor p**a telah disampaikan oleh Puan Azila binti Mohd Aris, Penolong Pegawai Undang-Undang, JPNS.
Pelbagai pandangan, cadangan dan persoalan daripada pengusaha IBK turut diketengahkan sepanjang sesi ini, khususnya berkaitan tempoh pemprosesan permohonan lesen kilang serta permohonan tambahan mesin, sekali gus membuka ruang kepada perbincangan yang lebih konstruktif antara pihak jabatan dan pihak industri.
Akhir kata, setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih dirakamkan kepada seluruh urus setia yang telah bertungkus-lumus memberikan komitmen serta kerjasama yang padu sepanjang persediaan, pelaksanaan dan pengurusan sesi libat urus ini.
Penghargaan turut diberikan kepada Pengarah Perhutanan Negeri (PPN), Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Hutan (TPO), pegawai-pegawai kanan, warga Jabatan Perhutanan Negeri Selangor yang terlibat serta para pengusaha kilang IBK yang hadir dan memberikan komitmen penuh dalam menjayakan sesi ini.
Semoga sesi libat urus ini menjadi landasan kepada jalinan kerjasama antara JPNS dan pengusaha IBK seterusnya memacu pembangunan industri yang lebih berdaya saing, mampan dan berintegriti di Negeri Selangor.
Sumber,
Seksyen Perindustrian dan Pengusahasilan Hutan.