30/04/2026
Angkatan Wanita Amanah (AWAN) Negeri Sembilan dengan penuh rasa tanggungjawab menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan YAB Menteri Besar Negeri Sembilan dalam meneruskan amanah pentadbiran negeri, selaras dengan titah dan saranan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir, yang sentiasa menekankan kepentingan kestabilan, keharmonian dan kebijaksanaan dalam mengurus hal ehwal negeri.
Kami berpendapat bahawa dalam suasana yang sedang mencabar ini, segala tindakan atau kenyataan yang bersifat provokatif hanya akan menyiram minyak ke dalam api yang sedang marak, sekali gus berisiko menimbulkan ketegangan dan perpecahan dalam kalangan rakyat serta mencalar keharmonian negeri yang telah sekian lama dipelihara.
Angkatan Wanita Amanah (AWAN) Negeri Sembilan juga menyelar sebarang usaha yang bertujuan untuk menjatuhkan kepimpinan kerajaan negeri melalui percaturan politik yang tidak membawa manfaat kepada rakyat. Lebih-lebih lagi dalam keadaan negeri bakal berhadapan dengan proses demokrasi penting dalam masa terdekat, tindakan sedemikian hanya akan mengganggu kestabilan pentadbiran dan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan.
Pada saat ini, fokus utama semua pihak seharusnya tertumpu kepada usaha menenangkan rakyat, memperkukuhkan kerjasama antara kepimpinan dan memastikan perkhidmatan kepada rakyat berjalan dengan lancar, bukannya sengaja mencari perbezaan pandangan yang boleh meretakkan hubungan antara masyarakat dan kepimpinan negeri.
Sebagai sebuah organisasi wanita yang menjunjung nilai rahmah dan kasih sayang, kami percaya bahawa pendekatan yang berlandaskan kelembutan, kebijaksanaan dan saling menghormati adalah asas kepada kestabilan sebuah negeri. Politik yang berteraskan kematangan bukan sahaja mengutamakan kemenangan kuasa, tetapi lebih penting memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.
Kami menegaskan bahawa integriti, amanah dan tanggungjawab merupakan prinsip utama dalam memimpin dan berkhidmat kepada rakyat. Setiap pemimpin dan pihak berkepentingan perlu bertindak dengan penuh kesedaran bahawa amanah yang diberikan oleh rakyat bukanlah satu keistimewaan, tetapi satu tanggungjawab besar yang perlu dipikul dengan jujur dan telus.
Ini bukanlah masanya untuk mengajak rakyat berpecah atau menanam bibit permusuhan dalam kalangan masyarakat. Sebaliknya, inilah waktunya untuk semua pihak memperkukuhkan semangat kebersamaan, menyuburkan nilai hormat-menghormati serta mengutamakan kesejahteraan negeri melebihi kepentingan politik sempit.
Angkatan Wanita Amanah (AWAN) Negeri Sembilan menyeru agar semua pihak kembali kepada semangat perpaduan dan kebersamaan, serta menghormati institusi negeri dan kepimpinan yang telah diamanahkan untuk mentadbir dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.
Kami yakin bahawa dengan semangat rahmah, integriti dan tanggungjawab bersama, Negeri Sembilan akan terus kekal sebagai sebuah negeri yang aman, stabil dan makmur, serta menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dalam mengurus perbezaan dengan matang dan berhemah.
ANGKATAN WANITA AMANAH (AWAN) NEGERI SEMBILAN
30 April 2026