Pemuda PAS Seremban

Pemuda PAS Seremban Page ini dikendalikan untuk Dewan Pemuda PAS Kawasan Seremban. Dewan Pemuda PAS Kawasan Seremban, Negeri Sembilan

KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA 15 MEI 2026 | 27 ZULKAEDAH 1447HLALUAN KHAS UEC KE IPTA, HARI GELAP UNTUK DASA...
15/05/2026

KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

15 MEI 2026 | 27 ZULKAEDAH 1447H

LALUAN KHAS UEC KE IPTA, HARI GELAP UNTUK DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Pemuda PAS membantah sekeras-kerasnya keputusan jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan lepasan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC/UEC) ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).

Meskipun calon aliran tersebut diwajibkan mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah kendalian Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) yang diperakui KPM sebagai syarat, dan kemasukan dipertimbangkan hanya untuk mengikuti program tertentu di IPTA, namun keputusan ini tidak lain hanyalah suatu langkah awal untuk merintis pengiktirafan sistem pendidikan UEC dalam negara.

Hal ini juga jelas bercanggah dengan pendirian YAB Perdana Menteri sebelum ini. Pada hujung tahun 2025, Perdana Menteri menegaskan bahawa penguasaan Bahasa Melayu perlu diperkasakan terlebih dahulu sebelum sebarang cadangan pengiktirafan terhadap UEC dipertimbangkan.

Demikian juga pendirian KPT sebelum ini yang menegaskan bahawa isu pengiktirafan UEC perlu berpaksikan Perlembagaan Persekutuan, Falsafah Pendidikan Kebangsaan, dan kedudukan Bahasa Melayu. KPT juga menyatakan bahawa isu ini tidak boleh diputuskan berdasarkan tekanan politik atau tuntutan mana-mana pihak.

Namun, tindakan membuka laluan rasmi kepada lepasan UEC memasuki IPTA bagi program tertentu seperti membuka kotak pandora. Apakah jaminan kelompok tertentu akan berhenti membuat tuntutan untuk mendapat pengiktirafan penuh dalam keadaan Perdana Menteri semasa bergantung harap kepada DAP untuk berada di posisi tersebut?

Alasan inklusiviti yang dikemukakan kerajaan juga sangat tempang. Sistem pendidikan kebangsaan melalui SPM sememangnya sudah bersifat inklusif dan terbuka kepada semua rakyat tanpa mengira kaum atau agama. Jika ada pihak memilih untuk berada di luar sistem arus perdana melalui aliran SMPC dan UEC, mengapa kerajaan p**a perlu berkompromi terhadap dasar yang menyentuh soal identiti nasional dan pembinaan negara bangsa?

Kerajaan terdahulu mengambil iktibar daripada tragedi hitam 13 Mei 1969 dengan memperkukuhkan identiti nasional melalui bahasa, pendidikan dan budaya kebangsaan. Formula inilah yang sepatutnya diteruskan demi mencapai cita-cita perpaduan negara sebagaimana termaktub dalam Rukun Negara.

Tatkala penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan sebahagian masyarakat bukan bumiputera masih berada pada tahap membimbangkan serta polarisasi kaum semakin ketara, keputusan kerajaan ini berpotensi melebarkan lagi jurang perkauman dalam negara. Apakah Jemaah Menteri miliki formula yang lagi ampuh untuk proses pembinaan negara bangsa yang aman dan bersatu?

Justeru, Pemuda PAS Malaysia menggesa Jemaah Menteri menyemak semula keputusan ini demi kesejahteraan rakyat dan perpaduan negara. Selain itu, Pemuda PAS akan terus menggerakkan siri bantahan besar-besaran dalam kerangka Perlembagaan dan demokrasi sehingga jemaah menteri menarik balik keputusan-keputusan ini.

YB Ustaz Mohd Hafez Bin Sabri
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi

PAS TEGASKAN LEPASAN TAHFIZ IKUT KURIKULUM KEBANGSAAN, TOLAK PENGIKTIRAFAN SIJIL UEC UNTUK KEMASUKAN KE IPТАParti Islam ...
15/05/2026

PAS TEGASKAN LEPASAN TAHFIZ IKUT KURIKULUM KEBANGSAAN, TOLAK PENGIKTIRAFAN SIJIL UEC UNTUK KEMASUKAN KE IPТА

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menegaskan bahawa lepasan tahfiz telah lama mengikuti Kurikulum Kebangsaan dan menduduki peperiksaan SPM untuk layak kemasukan ke IPTA, sama seperti pelajar sekolah di aliran perdana Kementerian Pendidikan Malaysia. Cadangan atau tanggapan untuk menyamakan kedudukan tahfiz dengan pemegang Sijil UEC adalah tidak tepat dan tidak wajar. Tindakan mengaitkan isu ini dengan lepasan tahfiz seolah-olah memberikan laluan khas kepada mereka adalah satu penipuan fakta dan cubaan untuk memperdaya rakyat serta mencabar prinsip pendidikan negara.

Majoriti sekolah tahfiz di Malaysia hari ini telah mengintegrasikan Kurikulum Kebangsaan dalam sistem pendidikan mereka. Pelajar tahfiz bukan sahaja menghafaz al-Quran dan mendalami ilmu agama Islam, malah turut mempelajari mata pelajaran akademik seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah, Pendidikan Islam, Pendidikan Syariah Islamiyah, Pendidikan al-Quran dan al-Sunnah, serta Tasawwur Islam. Malah sebahagian besar pelajar tahfiz menduduki peperiksaan awam kebangsaan terutamanya SPM dan STAM - setanding pelajar sekolah kebangsaan. Ini bermakna lepasan tahfiz telah memenuhi syarat asas kemasukan ke IPTA, sama seperti pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) biasa. Bagi pelajar tahfiz yang tidak mengikuti kurikulum kebangsaan sepenuhnya (contohnya di madrasah atau pondok penuh), mereka tetap mendaftar untuk peperiksaan SPM secara calon persendirian melalui program Fast Track SPM yang ditawarkan oleh banyak institusi pendidikan.

Sekolah dan madrasah tahfiz tidak pernah menuntut agar sijil dalaman mereka diberi pengiktirafan setaraf SPM bagi kemasukan ke IPTA. Sebaliknya, pelajar tahfiz akur dan bersedia menduduki peperiksaan kebangsaan yang ditetapkan oleh kerajaan. Oleh itu, adalah tidak tepat untuk menjadikan sekolah tahfiz sebagai hujah menyokong pengiktirafan sijil peperiksaan asing (seperti UEC) yang berada di luar kerangka sistem pendidikan kebangsaan.

Institusi tahfiz hari ini bukan sahaja melahirkan huffaz al-Quran yang fasih hafazannya, tetapi juga menghasilkan lepasan tahfiz yang cemerlang dalam akademik, profesional, dan kepimpinan. Ramai lepasan tahfiz melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan dan luar negara dalam bidang seperti perubatan, kejuruteraan dan syariah, menunjukkan kebolehan mereka bersaing di peringkat tertinggi. Kurikulum tahfiz turut mematuhi Dasar Pendidikan Kebangsaan dan meneguhkan kedudukan Bahasa Melayu serta mata pelajaran teras kenegaraan seperti Sejarah, sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang mana pendidikan agama dan akademik di sekolah tahfiz sentiasa bergerak seiring, bukannya bertentangan.

Lepasan sekolah tahfiz telah lama membuktikan bahawa mereka mampu menyeimbangkan kecemerlangan hafazan al-Quran dengan pencapaian akademik melalui penyertaan dalam peperiksaan SPM dan peperiksaan kebangsaan lain. Oleh itu, tidak wajar menyamakan kedudukan sekolah tahfiz dengan sekolah yang menggunakan sistem peperiksaan selain kebangsaan hanya untuk menghalalkan tuntutan politik pihak tertentu. Tindakan ini jelas merupakan pengkhianatan terhadap sistem pendidikan kebangsaan.

YB DATO' SRI AMAR D'RAJA DATO' (Dr.) MOHD AMAR BIN ABDULLAH
Naib Presiden PAS
Merangkap Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat
15 Mei 2026

15/05/2026
[ SELAMAT HARI BELIA NEGARA 2026 ]“Beri aku 10 pemuda, nescaya akan kugoncangkan dunia.” — SoekarnoKata-kata ini menjadi...
15/05/2026

[ SELAMAT HARI BELIA NEGARA 2026 ]

“Beri aku 10 pemuda, nescaya akan kugoncangkan dunia.” — Soekarno

Kata-kata ini menjadi bukti bahawa kekuatan anak muda mampu mengubah masa depan bangsa dan negara.

Belia bukan sekadar pewaris kepimpinan, tetapi pencetus perubahan yang membawa semangat, keberanian dan idealisme dalam perjuangan.

Sempena Hari Belia Negara 2026, marilah kita menjadi generasi muda yang berilmu, berakhlak dan berani mempertahankan nilai kebenaran. Terus melangkah, berbakti dan buktikan bahawa anak muda mampu menggoncangkan dunia dengan perjuangan dan prinsip yang teguh.

Ikhlas daripada:

Dewan Pemuda PAS Kawasan Seremban

KENYATAAN MEDIA PASTI NEGERI MELAKA1. Pihak kami mengambil maklum berkenaan satu status yang dimuat naik oleh seorang pu...
15/05/2026

KENYATAAN MEDIA PASTI NEGERI MELAKA

1. Pihak kami mengambil maklum berkenaan satu status yang dimuat naik oleh seorang puteri UMNO yang pernah membantu sebagai jurulatih bola jaring bagi PASTI Kawasan Jasin dan Negeri Melaka.

2. Untuk makluman semua pihak, PASTI Negeri Melaka beroperasi sebagai sebuah institusi pendidikan yang bukan sahaja menitikberatkan kefahaman agama, bahkan turut memberi perhatian kepada pembangunan sahsiah dan aktiviti kokurikulum termasuk sukan. Setiap tahun, PASTI Melaka menghantar wakil bagi menyertai pertandingan peringkat kebangsaan bersama kontinjen PASTI seluruh Malaysia.

3. Apabila tiba musim pertandingan, adalah perkara biasa untuk pihak kami mendapatkan bantuan jurulatih bagi melatih anak-anak yang terlibat. Namun perlu ditegaskan, pelantikan tersebut dibuat atas dasar sukarela dan bantuan khidmat masyarakat, bukannya secara profesional atau kontrak jangka panjang.

4. Sepanjang sejarah PASTI, tidak pernah wujud sebarang kontrak bertahun-tahun bagi jawatan jurulatih sukan. Individu berkenaan sebelum ini membantu atas kesediaan beliau sendiri untuk melatih anak-anak PASTI dan kami menghargai sumbangan tersebut.

5. Tambahan p**a, beliau kini secara terbuka membawa identiti politik kepartian. Justeru, bagi mengelakkan sebarang polemik atau persepsi politik melibatkan anak-anak PASTI, pihak kami memilih untuk menguruskan latihan menggunakan kapasiti dalaman sendiri.

6. Berhubung dakwaan bahawa beliau “dipecat”, “disiasat” dan sebagainya, pihak kami menyerahkan perkara itu kepada beliau untuk terus memainkan naratif politik yang kami sifatkan sebagai tidak matang dan tidak membawa manfaat kepada mana-mana pihak.

7. PASTI akan terus berkhidmat kepada masyarakat tanpa mengira latar belakang politik. Fokus kami adalah pendidikan, pembinaan akhlak dan pembangunan anak-anak, bukan terjebak dalam polemik politik yang akhirnya hanya merugikan banyak pihak.

Sekian makluman semua.

Mohd Norfaizal Bin Nordin
Pengarah PASTI Negeri Melaka
14 Mei 2026

Kredit: PASTI Negeri Melaka

14/05/2026

Semoga suatu hari nanti kita semua dapat solat berjemaah di Masjid Al Aqsa.

Alhamdulillah, terima kasih YB atas permohonan maaf tersebut.Inilah sikap seorang pemimpin apabila ditegur oleh ahli PAS...
13/05/2026

Alhamdulillah, terima kasih YB atas permohonan maaf tersebut.

Inilah sikap seorang pemimpin apabila ditegur oleh ahli PAS atas kekhilafannya.

Apa yang menarik adalah, ramai ahli PAS menegur pimpinan atas kesilapan dalam ucapan dan tindakan mereka setelah disemak kesahihannya.

Ini menunjukkan bahawa ahli PAS bukanlah taksub kepartian secara membabi buta.

Semoga peristiwa ini memberi pengajaran kepada kita semua dan tidak berulang lagi pada masa akan datang.

Sumber - NIK MUHAMMAD ZAWAWI BIN SALLEH

KENYATAAN MEDIA
YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI BIN SALLEH
13 Mei 2026 | 25 Zulkaedah 1447H

Merujuk kepada kontroversi berkaitan pengucapan saya baru-baru ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para tuan guru, asatizah, sahabat-sahabat serta seluruh masyarakat yang telah memberikan teguran, nasihat dan pandangan kepada saya.

Saya mengakui bahawa saya kurang cermat dalam mengolah maklumat serta penyampaian ketika memberikan kenyataan tersebut. Justeru itu, saya dengan rendah hati memohon maaf atas kekhilafan tersebut.

Saya sama sekali tidak berniat untuk menjatuhkan maruah atau menghina insan-insan terpilih yang dimuliakan oleh Allah SWT.

Tujuan asal kenyataan saya hanyalah untuk menjelaskan serta memberikan penekanan mengenai kehebatan risalah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dalam mengubah sosio budaya masyarakat jahiliah kepada kehidupan yang lebih mulia dan berperadaban.

Saya mengambil tanggungjawab penuh terhadap perkara ini sebagai kekhilafan peribadi saya, dan ia sama sekali tidak berkaitan dengan pendirian Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mahupun kepimpinannya.

Semoga Allah SWT mengampunkan segala kekhilafan saya dan menerima segala usaha kita semua dalam menyampaikan dakwah dengan hikmah dan kebijaksanaan.

YB Dr Nik Muhammad Zawawi Bin Salleh
Ahli Parlimen Pasir Puteh

13/05/2026
KENYATAAN MEDIA  PORTFOLIO KESIHATAN  AHLI-AHLI PARLIMEN PERIKATAN NASIONAL  SISTEM DOKTOR KONTRAK: KERAJAAN MESTI AKUI ...
13/05/2026

KENYATAAN MEDIA
PORTFOLIO KESIHATAN
AHLI-AHLI PARLIMEN PERIKATAN NASIONAL

SISTEM DOKTOR KONTRAK: KERAJAAN MESTI AKUI KEGAGALAN DASAR DAN LAKSANA REFORMASI STRUKTURAL SEGERA

Portfolio Kesihatan Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang mengklasifikasikan sistem doktor kontrak sebagai satu kegagalan dasar kerajaan yang serius. Kenyataan MMA ini selari dengan realiti doktor muda di lapangan, yang berhadapan masa depan kerjaya tidak menentu, beban kerja melampau dan rasa tidak dihargai dalam perkhidmatan awam.

Sejak sistem ini diperkenalkan pada 2016, pelantikan doktor kontrak tanpa pelan peralihan jangka panjang telah mewujudkan generasi doktor yang hidup dalam ketidakpastian: tiada jaminan jawatan tetap, akses terhad kepada latihan kepakaran serta peluang kenaikan pangkat. Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan moral dan kesejahteraan doktor muda, tetapi juga mencetuskan gelombang penghijrahan ke sektor swasta dan luar negara, termasuk ke Singapura yang secara terbuka 'memburu' doktor Malaysia.

Implikasi terhadap sistem kesihatan awam dan kebajikan rakyat adalah amat membimbangkan. Data Kementerian Kesihatan menunjukkan ribuan pegawai perubatan meninggalkan sektor awam dalam beberapa tahun kebelakangan ini, manakala sektor awam kekal kekurangan hampir 11,000 pakar dengan jurang dijangka melebar menjelang 2030.

Di peringkat akar umbi, hospital kerajaan berdepan kekurangan doktor, terutamanya di kawasan luar bandar, mengakibatkan masa menunggu yang panjang, kualiti perkhidmatan terjejas dan risiko keselamatan pesakit meningkat. Lebih 70 peratus rakyat bergantung kepada sistem kesihatan awam; kegagalan dasar ini akhirnya dibayar dengan kesengsaraan pesakit.

Kami memandang serius tanda-tanda kemerosotan keyakinan generasi baharu: hanya kira-kira 10 peratus daripada 5,000 tempat housemanship dilaporkan diisi pada pengambilan terbaru, manakala kajian terhadap pelajar perubatan menunjukkan kurang daripada 40 peratus optimis untuk berkhidmat bersama Kementerian Kesihatan. Situasi ini adalah amaran awal bahawa “pipeline” tenaga kerja perubatan negara sedang retak dari sumbernya.

Kerajaan sering mengumumkan penambahan jawatan tetap dan kenaikan elaun sebagai bukti komitmen, namun setakat ini langkah-langkah tersebut belum menampakkan perubahan struktural yang meyakinkan. Penghijrahan masih berterusan, burnout kekal tinggi dan isu asas seperti fragmentasi tadbir urus antara Kementerian Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Pengajian Tinggi masih tidak ditangani secara tuntas.

Sehubungan itu, Portfolio Kesihatan Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional menggesa:

1. Penubuhan segera satu badan bebas perkhidmatan kesihatan (Health Service Commission) dengan mandat undang-undang untuk menyelaras perancangan tenaga kerja, pelantikan dan pembangunan kerjaya.
2. Satu pelan jangka panjang berasaskan data untuk nisbah doktor, jururawat dan pakar mengikut wilayah, dengan fokus khusus kepada kawasan berkepadatan tinggi.
3. Reformasi komprehensif terhadap laluan kerjaya, struktur gaji dan beban kerja bagi memastikan doktor di sektor awam tidak lagi disandarkan kepada “pengorbanan” semata-mata sebagai asas kelangsungan sistem.

Perikatan Nasional komited untuk menyokong sebarang usaha reformasi sebenar demi memastikan sistem kesihatan awam yang mampan dan selamat untuk rakyat.

YB DATO' DR AHMAD YUNUS HAIRI
KETUA PORTFOLIO KESIHATAN
AHLI-AHLI PARLIMEN PERIKATAN NASIONAL

Kenyataan MediaDewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)Kenyataan Berhubung Ceramah YB Datuk Ustaz Nik Zawawi Sallehبِسْمِ اللهِ الر...
12/05/2026

Kenyataan Media
Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)

Kenyataan Berhubung Ceramah YB Datuk Ustaz Nik Zawawi Salleh

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

1. Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengambil maklum dan memandang serius polemik yang timbul susulan ceramah YB Datuk Ustaz Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh di Kuala Terengganu.

2. Setelah meneliti sedutan rakaman ceramah tersebut serta mendapatkan penjelasan daripada pihak berkaitan, DUPP mengakui bahawa terdapat beberapa kenyataan yang tidak tepat dari sudut fakta sejarah berkaitan latar kehidupan para Sahabat Rasulullah ﷺ, khususnya Saidina Abu Bakar RA, Saidina Umar RA dan Saidina Uthman RA sebelum Islam.

3. DUPP menegaskan bahawa para Sahabat Rasulullah ﷺ merupakan generasi terbaik umat ini yang wajib dimuliakan serta dipelihara kehormatan mereka. Sebarang huraian berkaitan sejarah dan keperibadian mereka, khususnya kehidupan mereka pada zaman Jahiliyyah, hendaklah disampaikan secara tepat, beradab serta berpandukan disiplin ilmu yang sahih.

4. DUPP juga telah menyampaikan teguran serta peringatan secara dalaman kepada YB Dato’ Ustaz Nik Zawawi Salleh agar lebih cermat dan berhati-hati dalam menyampaikan fakta sejarah Islam, khususnya dalam perkara yang melibatkan kedudukan serta kemuliaan para Sahabat Rasulullah ﷺ.

5. Pada masa yang sama, DUPP menghargai teguran para asatizah dan ilmuwan yang disampaikan secara beradab, ilmiah serta bersandarkan fakta yang sahih. Budaya saling menasihati dalam perkara ilmu perlu terus diperkukuhkan demi memelihara kefahaman Islam yang benar dalam masyarakat.

6. DUPP komited untuk terus memperkemaskan panduan penyampaian dakwah agar setiap penyampaian dibuat dengan lebih teliti, berhikmah serta mematuhi disiplin ilmu dan adab Islam.

Sekian.

YB Ustaz Dato’ Haji Mohd Nor bin Hamzah
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat

12 Mei 2026 Miladi bersamaan 25 Zulkaedah 1447 Hijriah

KEMULIAAN PARA SAHABAT: JANGAN BIARKAN LIDAH KITA MENGHINA GENERASI PILIHAN ALLAHPara sahabat Rasulullah ﷺ bukan manusia...
12/05/2026

KEMULIAAN PARA SAHABAT: JANGAN BIARKAN LIDAH KITA MENGHINA GENERASI PILIHAN ALLAH

Para sahabat Rasulullah ﷺ bukan manusia biasa dalam sejarah Islam. Mereka adalah generasi yang dipilih oleh Allah untuk hidup bersama Nabi, menerima wahyu secara langsung, mempertahankan Islam dengan darah dan air mata serta memikul amanah dakwah ketika dunia memusuhi kebenaran.

Merekalah generasi yang meninggalkan rumah, harta, keluarga bahkan nyawa demi Islam. Ada yang diseksa di padang pasir, dip**aukan, dibunuh ahli keluarga sendiri, berhijrah meninggalkan tanah air dan berperang mempertahankan aqidah.

KENYATAAN MEDIA
KETUA PEMUDA PAS SELANGOR

12 MEI 2026 | 24 ZULKAEDAH 1447 H

KEMULIAAN PARA SAHABAT: JANGAN BIARKAN LIDAH KITA MENGHINA GENERASI PILIHAN ALLAH

Para sahabat Rasulullah ﷺ bukan manusia biasa dalam sejarah Islam. Mereka adalah generasi yang dipilih oleh Allah untuk hidup bersama Nabi, menerima wahyu secara langsung, mempertahankan Islam dengan darah dan air mata serta memikul amanah dakwah ketika dunia memusuhi kebenaran.

Merekalah generasi yang meninggalkan rumah, harta, keluarga bahkan nyawa demi Islam. Ada yang diseksa di padang pasir, dip**aukan, dibunuh ahli keluarga sendiri, berhijrah meninggalkan tanah air dan berperang mempertahankan aqidah.

Kita hari ini menikmati Islam dalam keadaan aman. Tetapi mereka menerima Islam ketika pedang dihunus ke leher.

Allah sendiri telah memuliakan para sahabat dalam al-Quran:

﴿ وَالسّٰبِقُوۡنَ الۡاَوَّلُوۡنَ مِنَ الۡمُهٰجِرِيۡنَ وَالۡاَنۡصَارِ وَالَّذِيۡنَ اتَّبَعُوۡهُمۡ بِاِحۡسَانٍ رَّضِىَ اللّٰهُ عَنۡهُمۡ وَرَضُوۡا عَنۡهُ ﴾

“Muhajirin dan Ansar yang terdahulu lagi terawal serta orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah reda kepada mereka dan mereka juga reda kepada Allah.”
Surah al-Taubah: 100

Perhatikan ayat ini. Allah sendiri mengisytiharkan keredaan-Nya terhadap para sahabat. Maka siapakah kita untuk mencerca generasi yang telah Allah muliakan?

Rasulullah ﷺ juga memberi amaran keras:

« لَا تَسُبُّوا أَصْحَابِي »

“Jangan kamu mencela para sahabatku.”
Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Dalam riwayat lain Baginda ﷺ bersabda:
“Kalaulah salah seorang kamu menginfakkan emas sebesar Gunung Uhud sekalipun, ia tidak akan mampu menyamai satu mud atau separuh mud yang diinfaqkan oleh para sahabat.”

Hadis ini menunjukkan darjat mereka tidak mampu dicapai oleh generasi selepasnya kerana keikhlasan, pengorbanan dan kedudukan mereka di sisi Rasulullah ﷺ.

Malah ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah sepanjang zaman menegaskan bahawa menjaga lidah daripada menghina sahabat adalah sebahagian daripada aqidah.
Imam al-Tahawi رحمه الله berkata dalam Al-‘Aqidah al-Tahawiyyah:

“Dan kami mencintai para sahabat Rasulullah ﷺ. Kami tidak melampau dalam mencintai seseorang daripada mereka dan tidak juga berlepas diri daripada mana-mana sahabat. Kami membenci sesiapa yang membenci mereka dan menyebut mereka dengan keburukan.”

Inilah manhaj Ahlus Sunnah. Kita mencintai semua sahabat. Kita mendoakan mereka. Kita menjaga lidah daripada kebencian dan penghinaan.

Ya, para sahabat adalah manusia. Ada khilaf dan ijtihad sesama mereka. Tetapi perbezaan itu tidak pernah menghapuskan kemuliaan mereka sebagai generasi terbaik umat ini.

Rasulullah ﷺ bersabda:

« خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي »

“Sebaik-baik manusia ialah generasiku.”
Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Maka budaya menghina sahabat atas nama “kajian sejarah”, “kebebasan berfikir” atau CAKAP LEPAS adalah budaya yang sangat berbahaya. Ia bukan sekadar merosakkan adab, bahkan boleh meruntuhkan asas penghormatan terhadap agama itu sendiri. Kerana Islam sampai kepada kita melalui para sahabat.

Hakikatnya, membenci para sahabat sering menjadi pintu kepada kebencian terhadap Rasulullah ﷺ sendiri. Kerana orang yang benar-benar mencintai Nabi tidak akan sanggup menghina insan yang paling dicintai dan dipercayai oleh Baginda.

Abu Bakar al-Siddiq رضي الله عنه mempertahankan Nabi ketika semua manusia mendustakan Baginda.

Umar al-Khattab رضي الله عنه mengangkat keadilan Islam sehingga digeruni empayar dunia.

عثمان بن عفان رضي الله عنه menginfakkan kekayaannya demi perjuangan Islam.

Ali bin Abi Talib رضي الله عنه tidur di tempat Nabi ketika nyawa Baginda terancam.

Khalid al-Walid رضي الله عنه menjadi pedang Allah di medan jihad.

Bilal bin Rabah رضي الله عنه diseksa di padang pasir kerana kalimah tauhid.

Mereka bukan sempurna seperti para nabi, tetapi mereka adalah manusia terbaik selepas para nabi.

Jangan kerana CAKAP LEPAS menurut nafsu, kita hilang adab terhadap generasi yang dipuji langit.

Lidah yang menghina sahabat tidak akan melahirkan hati yang mencintai Rasulullah ﷺ.

Cintailah para sahabat.

Hormatilah pengorbanan mereka.

Jagalah lidah daripada cercaan terhadap mereka. Kerana di atas pengorbanan merekalah Islam sampai kepada kita hari ini.

Ustaz Mohamed Sukri Omar
Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor



Address

Seremban

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when Pemuda PAS Seremban posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Share