12/06/2026
KUALA LUMPUR: Suntikan turun berat badan seperti semaglutide dan tirzepatide semakin pop**ar, tetapi pada masa sama laporan kes kesan sampingan serius turut mula mendapat perhatian.
Dalam beberapa laporan kes perubatan, ada pesakit yang datang ke hospital dengan sakit perut yang sangat kuat, muntah berterusan dan radang pankreas selepas menggunakan ubat jenis ini. Ada juga isu perut lambat kosong, loya teruk, sembelit teruk, dehidrasi dan risiko tersedak kandungan perut ketika bius atau prosedur tertentu.
Ini tidak bermaksud semua pengguna akan mengalami kesan sampingan serius.
Tetapi ia cukup untuk mengingatkan orang ramai bahawa ubat ini bukan sekadar “peptide”, bukan sekadar “suntikan kurus”, dan bukan sesuatu yang sesuai dibeli sendiri secara online.
Nama generik yang selalu dikaitkan dengan ubat ini ialah semaglutide, tirzepatide, liraglutide, dulaglutide dan lixisenatide.
Mounjaro dan Zepbound ialah tirzepatide. Wegovy, Ozempic dan Rybelsus ialah semaglutide. Saxenda dan Victoza ialah liraglutide. Trulicity ialah dulaglutide. Lyxumia ialah lixisenatide.
Secara mudah, ada dua kump**an orang yang perlu berhati-hati.
Pertama, orang yang memang tidak sesuai menggunakan ubat ini kecuali selepas penilaian doktor yang jelas. Contohnya individu yang pernah ada alahan serius terhadap ubat tersebut, atau ada sejarah diri atau keluarga dengan sejenis kanser tiroid yang jarang berlaku, iaitu medullary thyroid carcinoma, serta sindrom genetik MEN2.
Kedua, orang yang mungkin tidak dilarang sepenuhnya, tetapi mesti semak dahulu dengan doktor kerana risikonya lebih tinggi.
Ini termasuk mereka yang pernah ada radang pankreas, batu hempedu, masalah pundi hempedu, muntah atau cirit-birit yang mudah jadi teruk, penyakit buah pinggang, masalah perut lambat kosong, sembelit teruk, diabetes yang sedang ambil insulin atau ubat gula tertentu, masalah mata akibat diabetes, sedang hamil, merancang untuk hamil, menyusu, atau akan menjalani pembedahan dan prosedur yang memerlukan bius.
Untuk wanita yang mengambil pil perancang, tirzepatide juga boleh mengganggu keberkesanan pil pada fasa permulaan dan selepas kenaikan dos. Ini perlu dibincangkan dengan doktor supaya kaedah perlindungan tambahan dapat digunakan.
Yang lebih membimbangkan ialah pembelian produk “peptide” tanpa preskripsi, vial campuran sendiri, research grade, atau produk yang tidak jelas pendaftaran dan kandungannya. Dalam keadaan begini, pengguna mungkin tidak tahu dos sebenar, cara simpanan, tahap kebersihan, atau sama ada bahan itu benar-benar ubat yang didaftarkan.
Ubat ini boleh membantu pesakit yang sesuai.
Tetapi untuk orang yang salah, dos yang salah, produk yang salah, atau pemantauan yang salah, risikonya boleh jadi besar.
Sebelum cucuk, semak dulu.
Sebelum beli, pastikan berdaftar.
Sebelum ikut trend, pastikan tubuh sendiri sesuai.