28/05/2026
28 Mei 2026 (Khamis)
Daging korban kita agih dengan kasih. Sisa korban kita urus dengan amanah.
Setiap kali Aidiladha, ramai tangan yang bekerja. Ada yang menyembelih, melapah, memotong, membungkus dan mengagihkan daging kepada keluarga serta jiran tetangga.
Indahnya ibadah korban bukan hanya pada daging yang sampai kepada penerima, tetapi juga pada kebersihan yang kita tinggalkan selepas semuanya selesai.
Dalam Garis Panduan Penyembelihan Ternakan Korban yang disiarkan melalui portal JAKIM, pengurusan sisa korban disebut dengan jelas
“Sisa penyembelihan ternakan korban hendaklah diuruskan dengan baik bagi mengelakkan pencemaran.”
Garis panduan itu turut menyatakan bahawa sisa pepejal perlu dibungkus dan dilupuskan dengan cara bersesuaian serta tidak bercanggah dengan peraturan Pihak Berkuasa Tempatan.
Jadi, sisa seperti perut, usus, kulit, lemak buangan, tulang kecil dan bahagian yang tidak digunakan sebaiknya diasingkan dari awal.
Masukkan ke dalam plastik tebal, ikat kemas, dan jika berair, gunakan dua lapis supaya tidak bocor dan tidak mengeluarkan bau.
Jika mahu ditanam, pilih kawasan yang sesuai. Jauhkan daripada sungai, longkang, telaga dan punca air.
Gali lubang yang cukup dalam, masukkan sisa, kemudian kambus dan padatkan tanah supaya tidak digali semula oleh haiwan.
Untuk sisa cecair seperti darah, garis panduan yang sama menyatakan ia hendaklah ditanam atau dilupuskan dengan cara bersesuaian mengikut peraturan PBT.
Korban yang terurus menjadikan kawasan lebih bersih, jiran lebih selesa dan alam sekitar lebih terpelihara. Bila ibadah dibuat dengan tertib, manfaatnya bukan hanya pada penerima daging, tetapi juga pada seluruh komuniti.
Daging korban tanda kita berkongsi rezeki.
Sisa korban tanda kita menjaga amanah.