04/08/2026
Syabas dan tahniah kepada penganjur. 💪🏻💪🏻
BELIA SARATOK DAN ROBAN DALAMI SENI GENDANG RAYAH
SARATOK, 4 Ogos – Usaha memelihara warisan muzik tradisional masyarakat Iban terus diperkukuh menerusi penganjuran Bengkel Gendang Rayah yang menghimpunkan penyertaan golongan belia dari sekitar Saratok dan Roban di Rumah Thomas Sigat, Sungai Brangan Babas Mali, ahad lalu.
Program selama dua hari anjuran ENSERA Creatives Sdn. Bhd. dengan kerjasama Majlis Seni Sarawak serta Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian itu disertai seramai 29 peserta yang didedahkan kepada sejarah, falsafah dan teknik permainan Gendang Rayah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata usaha memperkenalkan seni muzik tradisional kepada generasi muda penting bagi memastikan adat, budaya dan permainan tradisional masyarakat Iban terus dipelihara.
Menurut beliau, program seperti itu bukan sahaja memindahkan ilmu kepada generasi baharu, malah menjadi platform memperkukuh jati diri serta menghargai warisan budaya yang menjadi identiti Sarawak.
“Saya menghargai inisiatif ENSERA Creatives kerana menganjurkan program yang memberi manfaat kepada golongan belia. Warisan budaya perlu dipelajari dan dipelihara agar tidak hilang ditelan arus pembangunan moden,” katanya ketika menutup program tersebut.
Sepanjang bengkel itu, peserta mengikuti sesi teori mengenai sejarah dan kepentingan Gendang Rayah sebelum menjalani latihan praktikal yang dikendalikan oleh tenaga pengajar muzik yang telah bersara, Assom anak Lutik.
Turut hadir Ketua Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS), Prof. Datu Dr Nielson Ilan Mersat; Pemanca Thomas Lamit; Penghulu Josephine Entira; ketua-ketua rumah serta ahli majlis.
Friday berharap lebih banyak program seumpama itu dapat dianjurkan di kawasan lain bagi memastikan seni tradisional, adat dan budaya masyarakat Iban terus diwarisi oleh generasi akan datang.—SF