01/06/2026
𝐒𝐞𝐥𝐚𝐦𝐚𝐭 𝐔𝐥𝐚𝐧𝐠 𝐓𝐚𝐡𝐮𝐧 𝐁𝐚𝐫𝐢𝐬𝐚𝐧 𝐍𝐚𝐬𝐢𝐨𝐧𝐚𝐥 𝐊𝐞-𝟓𝟐
Alhamdulillah, hari ini genap 52 tahun penubuhan Barisan Nasional, sebuah gabungan politik yang lahir daripada semangat persefahaman, kesederhanaan dan kesediaan untuk membina negara melalui kerjasama pelbagai kaum serta latar belakang.
Sepanjang lebih lima dekad, Barisan Nasional telah melalui pelbagai fasa perjuangan. Ada ketika memimpin negara dalam era pertumbuhan dan pembangunan, ada ketika berdepan cabaran serta ujian yang mengajar erti ketabahan dan muhasabah. Namun satu perkara yang tidak pernah berubah ialah komitmen untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan mempertahankan kestabilan negara.
Dalam landskap dunia yang semakin kompleks, rakyat mahukan politik yang matang, kepimpinan yang bertanggungjawab serta penyelesaian yang mampu menjawab cabaran semasa. Barisan Nasional mesti terus bergerak ke hadapan dengan semangat pembaharuan, berpaksikan pengalaman dan sentiasa bersedia menyesuaikan diri dengan tuntutan masa depan.
Sebagai Pengerusi Barisan Nasional, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh pimpinan, ahli, jentera dan penyokong yang terus setia mendukung perjuangan ini. Kesetiaan, pengorbanan dan keyakinan saudara-saudari semua menjadi kekuatan yang menggerakkan Barisan Nasional hingga ke hari ini.
Percayalah, perjalanan di hadapan tidak akan sentiasa mudah. Kita akan berdepan pelbagai medan sehingga medan terbesar Pilihan Raya Umum tidak lama lagi. Namun saya yakin, selagi kita teguh bersatu, setia kepada perjuangan, memahami denyut nadi rakyat serta terus bekerja dengan ikhlas dan penuh tanggungjawab, InsyaAllah, Barisan Nasional akan terus kekal relevan, mendapat kepercayaan rakyat dan kembali memperoleh mandat yang lebih kukuh pada masa hadapan.
Selamat Ulang Tahun Barisan Nasional ke-52.
Hidup Barisan Nasional!