23/12/2025
SKUAD IHSAN MADANI (HAL EHWAL AGAMA) MENYANTUNI MANGSA BANJIR DI KUANTAN, PAHANG DARUL MAKMUR
Kuantan, Pahang | 23 Disember 2025 (Selasa) –
Skuad Ihsan Madani (Hal Ehwal Agama),bersama YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan selaku YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), telah menjayakan Misi Bantuan Pasca Bencana bagi menyantuni dan membantu mangsa-mangsa banjir yang terjejas di KAFA Ubudiah Al Jariah termasuk sekitar Kawasan Perumahan Taman Guru dan Kg. Mahang, Kuantan, Pahang.
Misi ini bertujuan meringankan beban mangsa banjir dalam fasa pemulihan pasca bencana serta memastikan kebajikan masyarakat setempat terus terbela selari dengan naratif Madani bekerja.
Seramai 300 orang penerima telah menerima sumbangan tunai, bakul makanan, kit solat, toto, selimut, kain batik & pelikat, kit pembersihan diri dan lampin dewasa dan kanak-kanak daripada YAPEIM, JAKIM, JAWI, YADIM, Yayasan Taqwa MAIWP dan agensi-agensi di bawah YB Menteri Agama.
Majlis penyerahan sumbangan telah disempurnakan oleh YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Turut hadir sama dalam program ini ialah YB Dato’ Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, Exco Hal Ehwal Agama, Kemajuan Desa & Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang serta Dato’ Sri Hj Shafik Fauzan bin Sharif ADUN Inderapura, YBhg. Brig. Jen Datuk Hj Mohd Ajib bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAKIM, Tuan Haji Zabidi bin Nasan, Ketua Pengarah YAPEIM, YH Dato’ Haji Khirrizal bin Ab Rahman, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, Tuan Abdullah Zuhdee bin Ab Halim , CEO Yayasan Taqwa, Ketua-Ketua Agensi Persekutuan dan Negeri serta pemimpin-pemimpin masyarakat tempatan.
YB Menteri juga turut melawat tempat yang terjejas teruk dengan banjir baru-baru ini termasuk UNIPSAS yang akan dijenamakan semula sebagai Universiti Al-Quran.
Kehadiran YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ke Kuantan Pahang pada hari ini membawa naratif bahawa komitmen berterusan kerajaan melalui pendekatan Malaysia Madani yang menekankan nilai kemanusiaan, kebersamaan dan keprihatinan terhadap kebajikan rakyat, khususnya dalam situasi pasca bencana terus diperkasakan.
Semoga sumbangan yang disampaikan dapat meringankan beban, memberi kelegaan serta membantu proses pemulihan mangsa-mangsa banjir yang terlibat.
Madani Terus Bekerja, Fastabiqul Khairat❗️
Terima kasih
SEKRETARIAT
SKUAD IHSAN MADANI
(HAL EHWAL AGAMA)