02/09/2026
SIARAN MEDIA
UNTUK LIPUTAN MEDIA MASSA
TERSEPIT KENDERAAN BERAT DI SHAH ALAM
SUBANG JAYA, 2 September 2026 โ Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor telah menerima laporan kes kemalangan berhubung kemalangan maut yang melibatkan seorang pemandu treler berusia 26 tahun di kawasan parkir industri di Kg Baru Subang, Seksyen U6, Shah Alam.
Jabatan menerima makluman mengenai kejadian tersebut pada 31 Ogos 2026. Berdasarkan laporan awal, kejadian berlaku pada 30 Ogos 2026 lebih kurang jam 11.40 pagi semasa mangsa sedang menjalankan kerja-kerja penyambungan kepala treler bersama unit kontena.Siasatan awal mendapati, sewaktu proses penyambungan tersebut, treler berkenaan dipercayai bergerak ke hadapan secara tiba-tiba lalu menghimpit mangsa di antara treler kontena tersebut dengan sebuah treler kontena lain di lokasi kejadian. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.
Susulan daripada siasatan yang dilakukan, pihak Jabatan telah mengeluarkan surat arahan Larangan Kacau Ganggu di tempat kejadian. Siasatan lanjut juga sedang dijalankan dengan memanggil majikan dan saksi kejadian untuk membantu siasatan.Siasatan ini dijalankan di bawah Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, yang mewajibkan majikan memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja semasa bekerja. Mana-mana majikan yang didapati melanggar peruntukan akta ini boleh dikenakan tindakan perundangan termasuk denda maksimum RM500,000.00 sekiranya disabitkan kesalahan.
JKKP Selangor memandang serius setiap kejadian kemalangan di tempat kerja terutamanya yang melibatkan kematian. Majikan bertanggungjawab sepenuhnya untuk mengenal pasti bahaya di tempat kerja, menjalankan pentaksiran risiko dan melaksanakan langkah kawalan yang sewajarnya sebelum kerja dimulakan. Kejadian seperti ini boleh dielakkan sekiranya majikan mematuhi prosedur keselamatan dan kesihatan serta melaksanakan kawalan risiko secara berterusan bagi aktiviti kerja yang dirancang.
# # #
Dikeluarkan oleh:
Pejabat Pengarah
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Selangor
Kementerian Sumber Manusia
2 September 2026