18/08/2025
Pasukan Dragon Boat M*F yang terdiri daripada 16 orang kontinjen gabungan agensi di bawah Kementerian Kewangan Malaysia telah menyertai Kejohanan Putrajaya Dragon Boat Race (PDBR) 2025 pada 15 hingga 17 Ogos 2025 Persisiran Tasik Presint 18, Putrajaya. Kejohanan ini telah dianjurkan oleh Persatuan Kanu Putrajaya dengan kerjasama Malaysia Canoe Association (MASCA), Perbadanan Putrajaya dan Kementerian Belia dan Sukan.
Kejohanan ini telah menarik penyertaan lebih 30 pasukan daripada seluruh negara dengan penglibatan hampir 800 orang kontinjen daripada keseluruhan pasukan. Sesi saringan pertama dan saringan masa (repêchage) atau suku akhir telah diadakan pada 16 Ogos 2025, manakala peringkat semi final dan final telah diadakan pada 17 Ogos 2025.
Kejohanan ini mempertandingkan acara perlumbaan perahu naga bagi jarak 200 meter, melibatkan jenis perahu tradisional dengan 12 orang krew, termasuk pendayung, pemukul gendang, dan pengemudi. Kejohanan ini telah mengguna pakai Peraturan Perahu Naga Persekutuan Kanu Antarabangsa (ICF), dengan pengubahsuaian teknikal yang dibenarkan oleh Jawatankuasa Teknikal Tempatan.
Antara kategori yang dipertandingkan adalah Terbuka Bawah 21 Tahun, Terbuka Lelaki, Master 40 tahun keatas, Agensi Kerajaan bagi dua kategori iaitu Lelaki dan Campuran, dan Komuniti. Peserta terdiri daripada latar belakang yang pelbagai termasuk atlet sukan, penjawat awam, kelab sukan agensi kerajaan, pelajar universiti dan komuniti tempatan.
Penyertaan pasukan M*F yang telah membuat kemunculan semula dalam acara perahu naga pada tahun ini merupakan titik permulaan yang bersejarah untuk melakar kejayaan pada masa akan datang. Penyertaan ini bukan sahaja mengangkat semangat kesukanan dan kebersamaan warga M*F, malah menjadi platform untuk memupuk disiplin, kerjasama berpasukan, serta daya tahan fizikal dan mental yang tinggi.
Setinggi – tinggi penghargaan juga diucapkan kepada Biro Sukan dan Rekreasi, Kelab Perbendaharaan Malaysia di atas sokongan yang diberikan kepada Kelab Sukan Air untuk menyertai Kejohanan ini. Pasukan ini juga ingin merakamkan penghargaan kepada Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) di atas sumbangan t-shirt (jersey) pasukan dan bendera pasukan M*F.
Bagi warga M*F yang berminat untuk menyertai sukan air (perahu naga), Kelab Sukan Air amat mengalu-alukan permohonan baharu yang boleh dibuat menerusi emel kepada penyelaras seperti berikut:
1) Puan Farah Wahida binti Amanuddin; emel : [email protected]
2) Puan Nur Hidayatul Fatihah binti Ahmad; emel: [email protected]
*FHebat