06/08/2026
𝗣𝗘𝗡𝗬𝗘𝗥𝗧𝗔𝗔𝗡 𝗣𝗨𝗦𝗔𝗧 𝗚𝗘𝗢𝗦𝗣𝗔𝗧𝗜𝗔𝗟 𝗡𝗘𝗚𝗔𝗥𝗔 𝗗𝗔𝗟𝗔𝗠 𝗟𝗔𝗡𝗗 𝗖𝗢𝗡𝗙𝗘𝗥𝗘𝗡𝗖𝗘 𝟮𝟬𝟮𝟲
Pusat Geospatial Negara (PGN) telah menyertai 14th Malaysia Land Conference 2026 anjuran Comfori yang berlangsung pada 29 hingga 30 Julai 2026 di Hotel Royal Signature, Kuala Lumpur. Bertemakan “Shaping the Future of Land Governance, Planning and Sustainable Development”, persidangan ini menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan dalam pengurusan, perancangan dan pembangunan tanah, termasuk wakil daripada Land and Survey Department Sarawak, Sabah Lands and Survey Department, Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Sime Darby Property, UEM Sunrise Berhad dan Iskandar Investment Berhad, serta pelbagai organisasi lain daripada sektor awam dan industri.
Dalam persidangan tersebut, Sr Juzaila Abd Satar, Timbalan Pengarah, Cawangan Pembangunan Geodata dan Penyelidikan, Pusat Geospatial Negara, telah menyampaikan pembentangan bertajuk “Strategic Land Allocation for National and Regional Development”.
Pembentangan tersebut mengetengahkan kepentingan mengintegrasikan maklumat permukaan dan bawah tanah (surface and subsurface) dalam perancangan dan pembangunan tanah bagi membentuk kefahaman bersama (shared understanding) merentas sektor dan agensi. Penggunaan maklumat geospatial yang berautoriti, dipercayai dan relevan dapat membantu mengenal pasti kekangan, konflik serta kebergantungan antara pelbagai kepentingan pembangunan, sekali gus menyokong penyelarasan keputusan (decision alignment) yang lebih bersepadu dan berasaskan bukti.
Turut dikongsikan ialah kepentingan memperkukuhkan ekosistem geospatial negara agar data yang tersedia dapat dimanfaatkan dengan lebih berkesan dalam menyokong proses perancangan dan pembuatan keputusan, selaras dengan perkembangan daripada Spatial Data Infrastructure (SDI) kepada Geospatial Knowledge Infrastructure (GKI).
Penyertaan PGN dalam Land Conference 2026 mencerminkan komitmen berterusan PGN dalam memperkukuhkan penggunaan maklumat geospatial sebagai asas kepada perancangan, penyelarasan dan pembuatan keputusan yang lebih bersepadu bagi menyokong pembangunan negara.
Geospatial bukan sekadar tentang memahami sesuatu lokasi tetapi menyokong kita membuat keputusan yang lebih baik tentang lokasi tersebut.