14/08/2026
LIBAT URUS PERBINCANGAN DAN PERKEMBANGAN PROGRAM SARJANA MUDA SAINS PERUBATAN KECEMASAN UKM
Cawangan Perkhidmatan Penolong Pegawai Perubatan (CPPPP), Bahagian Amalan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memenuhi jemputan Jabatan Perubatan Kecemasan, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi sesi perbincangan awal berkaitan perkembangan Program Sarjana Muda Sains Perubatan Kecemasan dengan Kepujian pada 14 Ogos 2026.
Sesi ini merupakan perbincangan awal sebelum cadangan program dikemukakan untuk pembentangan penuh kepada Ketua Profesion Penolong Pegawai Perubatan Malaysia dan Lembaga Pembantu Perubatan. Perbincangan turut memberi tumpuan kepada beberapa cadangan penambahbaikan bagi memastikan pembangunan program kekal relevan, berkualiti dan responsif terhadap keperluan semasa profesion serta perkembangan perkhidmatan kesihatan.
Turut hadir dalam sesi tersebut ialah YBrs. Prof. Dr. Norazlina binti Mohamed, Timbalan Dekan (Prasiswazah), Fakulti Perubatan UKM, Prof. Madya Dr. Mohd Johar bin Jaafar serta barisan akademik program. CPPPP p**a diwakili oleh En. Zulfikar Mohamed Khawari, Ketua Sektor Pembangunan Profesion.
CPPPP menyokong usaha memperkukuh ilmu, kompetensi dan pembangunan profesional Penolong Pegawai Perubatan melalui laluan pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi. Walau bagaimanapun, setiap pembangunan dan penambahbaikan program perlu dilaksanakan secara terancang dengan mengambil kira serta mematuhi Standard and Guidelines for Medical Assistants Education Programme, di samping keperluan dan ketetapan Lembaga Pembantu Perubatan.
Pendekatan ini penting bagi memastikan peningkatan tahap pendidikan bukan sekadar memperluas peluang pembangunan akademik, tetapi turut memberikan nilai tambah kepada kompetensi profesional dan keupayaan melaksanakan peranan dalam perkhidmatan.
Dalam masa yang sama, pembangunan program perlu terus berpaksikan keperluan sebenar profesion, standard pendidikan yang ditetapkan serta keperluan semasa dan masa hadapan perkhidmatan kesihatan negara. Matlamat akhirnya adalah untuk melahirkan Penolong Pegawai Perubatan yang berilmu, kompeten, profesional dan bersedia memenuhi tuntutan perkhidmatan yang semakin kompleks.
PROFESION DIPERKASA MASYARAKAT SEJAHTERA