12/07/2026
KEMENANGAN YANG TERTANGGUH, PERJUANGAN BELUM SELESAI
1. Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) menghormati keputusan dan pilihan rakyat Johor, bukan sahaja di N.09 Gambir malah di keseluruhan 56 kawasan Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan. Keputusan rakyat adalah asas kepada amalan demokrasi yang wajib dihormati oleh semua pihak.
2. Tahniah diucapkan kepada semua calon yang telah diberikan mandat oleh rakyat. Kepada calon-calon yang belum berjaya, perjalanan perjuangan tidak berakhir di sini. Peluang untuk terus berkhidmat kepada rakyat akan sentiasa terbuka pada masa hadapan.
3. PEJUANG merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh jentera pilihan raya, petugas, ejen parti serta pimpinan di semua peringkat daripada parti-parti komponen Perikatan Nasional yang telah bertungkus-lumus sepanjang tempoh kempen di N.09 Gambir. Pengorbanan dan komitmen yang ditunjukkan amat kami hargai.
4. PEJUANG turut merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh pengundi dan masyarakat Gambir atas layanan baik, kemesraan serta sokongan moral yang diberikan sepanjang tempoh berkempen. Senyuman, doa dan kata-kata semangat yang diberikan akan terus menjadi sumber inspirasi kepada kami.
5. Calon Perikatan Nasional (PEJUANG), Suraya Sulaiman, beriltizam untuk terus berkhidmat kepada masyarakat tanpa mengira musim pilihan raya. Sebagaimana yang telah beliau lakukan selepas PRN Johor 2022, beliau akan terus turun ke lapangan, mendengar denyut nadi rakyat dan berusaha membantu masyarakat di Gambir. Semoga segala usaha beliau dipermudahkan dan diberkati.
6. PEJUANG berpandangan bahawa keputusan PRN Johor 2026 merupakan satu isyarat penting yang wajar diteliti secara objektif oleh semua parti politik. Setiap pilihan raya mempunyai dinamik dan faktor tersendiri, justeru keputusan ini perlu dijadikan asas untuk memahami sentimen semasa rakyat serta memperkukuh pendekatan dalam menghadapi cabaran politik akan datang.
7. Bagi Perikatan Nasional, keputusan ini perlu dijadikan ruang untuk melakukan post mortem secara menyeluruh, jujur dan membina. Sebagai gabungan politik, setiap parti komponen memikul tanggungjawab bersama (collective responsibility) dalam menilai kekuatan, kelemahan serta strategi yang perlu diperbaiki. Hasil penilaian ini penting bagi memperkukuhkan Perikatan Nasional sebagai sebuah gabungan yang lebih mantap menjelang Pilihan Raya Negeri akan datang serta Pilihan Raya Umum Ke-16.
8. Sudah tiba masanya Perikatan Nasional memperkukuhkan gerak kerja organisasi, memperluaskan jaringan akar umbi, memperkemaskan dasar serta menawarkan penyelesaian yang lebih diyakini rakyat. Keyakinan rakyat perlu dibina melalui khidmat yang berterusan, bukan hanya ketika musim pilihan raya.
9. PEJUANG kekal komited untuk memperkukuhkan Perikatan Nasional sebagai sebuah gabungan yang bersedia menjadi kerajaan alternatif (Government in Waiting). Semangat persefahaman, kesepaduan dan kerjasama erat antara semua parti komponen merupakan asas penting bagi membina keyakinan rakyat terhadap Perikatan Nasional.
10. Bagi PEJUANG, keputusan di N.09 Gambir bukanlah penamat kepada perjuangan, tetapi sebuah kemenangan yang masih tertangguh. Perjuangan untuk membela rakyat, memperkukuhkan negara serta mempertahankan nilai-nilai yang diperjuangkan akan diteruskan dengan lebih gigih, bersama Perikatan Nasional, menuju PRU-16.
Rafique Rashid
Ketua Penerangan PEJUANG
12.07.2026