29/05/2026
Dalam 12 hari lagi, iaitu pada 10 Jun 2026, Negeri Sembilan mungkin berdepan satu krisis perlembagaan.
Sebab ia tarikh akhir penting kerana sidang terakhir DUN Negeri Sembilan sebelum ini dilaporkan berlangsung pada 11 Disember 2025.
Di bawah Perkara LVI(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, tidak boleh dibiarkan enam bulan berlalu antara sidang terakhir dalam satu sesi dengan tarikh sidang pertama sesi berikutnya.
Maksudnya, jika sidang DUN sebenar tidak dibuat selewat-lewatnya 10 Jun 2026, Negeri Sembilan berdepan masalah perlembagaan yang sangat serius.
Secara biasa, jika DUN gagal bersidang dalam tempoh enam bulan seperti ditetapkan Perlembagaan Negeri, maka isu pembubaran automatik boleh timbul.
Sebab itu isu 23 April 2026 ini penting.
Apa yang berlaku pada 23 April itu nampaknya hanyalah pembukaan rasmi DUN dan titah diraja. Selepas itu, urusan sebenar DUN terus ditangguh.
Tiada perbahasan sebenar.
Tiada sesi soal jawab sebenar.
Tiada usul dibahaskan.
Tiada Rang Undang-Undang dibentang atau diluluskan.
Tiada semak imbang sebenar berlaku dalam Dewan.
Jadi kalau kerajaan PH Negeri Sembilan mahu anggap 23 April sebagai “sidang DUN sebenar” semata-mata untuk kata mereka tidak langgar Perlembagaan Negeri, itu bukan sesuatu yang patut dibanggakan.
Perkataan penting dalam Perlembagaan ialah “sitting”.
Bukan sekadar majlis pembukaan.
Bukan sekadar hadir, dengar ucapan, kemudian tangguh semua urusan sebenar DUN ke tarikh yang tidak diketahui.
Kalau ini pun mahu dikira sebagai cukup, maka kerajaan hanya cuba patuh pada huruf undang-undang (letter of the law), bukan roh undang-undang (spirit of the law).
Secara teknikal mungkin mereka mahu kata: “Kami tidak langgar Perlembagaan.”
Tetapi secara moral, ia tetap salah.
Legally betul tapi morally salah.
Tujuan Perlembagaan bukan supaya kerajaan boleh buat majlis simbolik lalu menangguh semua urusan sebenar. Tujuannya ialah supaya wakil rakyat boleh menyoal kerajaan, membahas isu rakyat, membawa usul, dan memastikan wujud semak imbang.
Kalau sidang DUN sebenar tidak dibuat sebelum 10 Jun 2026, maka rakyat Negeri Sembilan sebenarnya telah dinafikan demokrasi selama enam bulan.
Enam bulan tanpa sidang DUN sebenar.
Enam bulan tanpa semak imbang sebenar.
Enam bulan rakyat dirompak daripada hak demokrasi mereka.
Ini bukan sekadar isu teknikal. Ini isu amanah.