23/05/2026
KEAHLIAN BERSATU: PENSYARAH KANAN UPM, DR NUR AYUNI, DAPAT DATA DARI MANA?
1. Kadang-kadang kita hairan bagaimana Pensyarah Kanan UPM seperti Dr Nur Ayuni Mohd Isa ini boleh mendapat jawatan tersebut dan gelaran doktor, lebih-lebih lagi selepas membaca tulisannya.
2. Bagaimana seorang pensyarah kanan boleh membuat kesimpulan dalam tulisannya bahawa "BERSATU semakin bertindak sebagai parti terlalu mengawal dan mengekang perjalanan PN sehingga menjadikan gabungan itu terlalu eksklusif serta tertutup" tanpa mendapat maklumat yang tepat misalnya daripada aspek pemegang jawatan-jawatan tertinggi dalam Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) atau mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih terlebih dahulu, misalnya salah seorang daripada Ahli MT PN sebelum menulis secara culas begini?
3. Pertama, paling tidak semaklah terlebih dahulu siapa pemegang jawatan tertinggi dalam MT PN dan bagaimana sesuatu keputusan itu dibuat sebelum membuat kesimpulan yang tidak setaraf dengan gelaran 'doktor' seperti ini. Pengerusi PN, Setiausaha Agung PN, Timbalan Pengerusi PN, Ketua Penerangan PN, Bendahari PN, Ketua Pemuda PN adalah daripada parti PAS, bukannya BERSATU. Jika dengan jawatan tinggi pun, Dr Nur Ayuni boleh menyimpulkan bahawa "BERSATU terlalu menguasai dan mengawal", bermaksud samada wakil-wakil MT PN dalam BERSATU memang bagus atau wakil-wakil parti lain tidak berkemampuan melaksanakan peranan semak dan imbang dalam MT PN.
4. Dr Ayuni nampaknya tidak faham mengenai proses membuat keputusan dalam parti gabungan seperti PN. Keputusan mengenai kelulusan untuk kemasukan parti-parti baru atau sebarang entiti baru dibuat selepas melalui proses perbincangan dan perbahasan, sehinggalah sesuatu konsensus dicapai. Apabila konsensus dicapai, bermaksud ia diputuskan secara bersama oleh semua anggota, termasuk oleh Pengerusi PN yang juga mempunyai gelaran 'Doktor', Menteri Besar dan Naib Presiden partinya, oleh pemegang-pemegang jawatan tertinggi yang bukan ahli BERSATU, termasuk Setiausaha Agung, seorang bekas Menteri dan merupakan Setiausaha Agung partinya, Bendahari, seorang Menteri Besar dan Naib Presiden partinya, Ketua Penerangan, bekas Menteri dan Ahli Jawatankuasa Pusat partinya, Ketua Pemuda, yang juga Ahli Parlimen dan Ketua Pemuda partinya, Timbalan Pengerusi, bekas Menteri dan Timbalan Presiden partinya, dan oleh Timbalan-Timbalan Pengerusi daripada Presiden parti Gerakan dan MIPP, serta dua orang wakil daripada parti-parti lain yang terdiri daripada Timbalan-Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden parti yang bukan BERSATU. Takkanlah di mata Dr Ayuni, mereka ini lemah dan tidak cerdik, atau pak turut semata-mata dalam MT PN?
5. Apabila disebut 'secara konsensus', bermaksud keputusan ini dicapai melalui persetujuan bersama semua wakil parti dan ini adalah KEPUTUSAN DASAR PERIKATAN NASIONAL yang diputuskan di dalam platform tertinggi PN, iaitu MAJLIS TERTINGGI PN. Keputusan ini adalah keputusan yang wajar dipatuhi dan dilaksanakan oleh semua anggota PN. Sekiranya terdapat perkara berbangkit, maka ia perlu dibawa kembali oleh setiap anggota PN, atau parti-parti dalam PN ke dalam Mesyuarat MT PN untuk dibincangkan dan diputuskan semula, bukan dengan membantahnya secara terbuka. Sekiranya ia tidak dapat diselesaikan di peringkat MT PN, maka wajarlah dipanggil Mesyuarat Majlis Presiden PN supaya perkara tersebut dapat diselesaikan dan diputuskan secara konsensus di peringkat Presiden-Presiden PN. Itulah aturan berorganisasi yang sepatutnya.
6. Kedua, saya tidak tahu bagaimana Dr Ayuni mendapat data untuk menyimpulkan, "dapatan kajian dan maklum balas akar umbi menunjukkan kumpulan dikaitkan dengan 'team reset' pimpinan Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang dipecat daripada BERSATU sebenarnya menguasai sehingga 80 peratus akar umbi BERSATU di beberapa negeri penting seperti Johor dan Melaka." Lebih teruk lagi, di mana Dr Ayuni mendapat data bahawa "apabila kelompok ini disingkirkan atau dipinggirkan, berlaku vakum besar dalam kepemimpinan parti di peringkat negeri dan bahagian. Vakum berkenaan AKHIRNYA DIISI KELOMPOK dilihat sebagai 'UMNO REJECT' dan 'PKR REJECT', iaitu individu yang gagal mendapat tempat dalam parti asal mereka lalu berhijrah ke BERSATU demi mencari peluang politik segera."
7. Mungkin Dr Ayuni patut faham dahulu komposisi ahli-ahli BERSATU. Ahli-ahli BERSATU ni terdiri daripada Ahli BERSATU asli tanpa menganggotai sebarang parti sebelum ini, bekas Umno, bekas Pkr, bekas parti komponen BN seperti MCA dan MIC, serta bekas ahli komponen dalam PN sendiri.
8. Ada perbezaan latar belakang kemasukan dalam kalangan beberapa pemimpin dari parti lain ke dalam BERSATU. Tan Sri Muhyiddin Yassin, misalnya dipecat melalui keputusan MPT Umno (bukan Lembaga Displin), kerana menentang Presiden dalam hal berkaitan 1MDB dan kleptokrasi. Beliau adalah pengasas parti BERSATU dan Perikatan Nasional. Saya dipecat kerana menentang Presiden atas dasar prinsip kerana Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi telah melanggar dasar Umno dan keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2019 dan PAU2020, iaitu "No Anwar, No Dap" seawal tahun 2020 lagi. Saya menyertai BERSATU semasa BERSATU jadi pembangkang, bukan semasa ia menjadi kerajaan.
9. Hamzah dan pengikutnya, misalnya Ronald Kiandee, Rosol Wahid, Ikmal Hisyam dan Mas Ermieyati, melompat parti meninggalkan Umno dan menyertai BERSATU ketika Umno menjadi pembangkang dan BERSATU merupakan kerajaan. Hamzah melompat meninggalkan Umno pada 14 Disember 2018 dan dilantik menjadi Setiausaha Agung BERSATU serta Menteri oleh Tan Sri Muhyiddin pada tahun 2020.
10. Datuk Seri Azmin Ali, bekas Ahli Pkr, dipecat melalui keputusan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) (juga bukan melalui Lembaga Disiplin) kerana tidak bersetuju dengan kepimpinan parti. Beliau menyokong Tan Sri Muhyiddin sebagai PM8 pada tahun 2020 dan ini membolehkan BERSATU, Umno dan Pas dapat berada dalam kerajaan Perikatan Nasional walaupun sebelum itu Umno dan Pas adalah pembangkang. Ramai lagi penyokong-penyokong Datuk Seri Azmin yang dipecat, antara ADUN Gombak Setia YB Hilman Idham dan ADUN Taman Medan, YB Dr Afif Bahardin. Kedua-dua mereka mempunyai pengalaman dalam kerajaan dan Dr Afif pernah menjadi Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan.
11. Mungkin Dr Ayuni juga patut tahu mengenai pelbagai kesalahan yang dilakukan oleh Hamzah dan pengikut-pengikutnya. Mereka tidak suci. Kesalahan-kesalahan mereka juga tidak sama dan pelbagai. 11 kategori aduan kesalahan-kesalahan yang diadukan berkenaan mereka adalah:-
I. Melanggar peruntukan dalam perlembagaan dan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli parti
II. Menentang keputusan-keputusan parti yang dibuat melalui pemilihan parti, Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) dan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) secara terbuka
III. Melanggar arahan-arahan dan pekeliling parti
IV. Mempertikai dan menentang keputusan yang dibuat oleh institusi parti secara terbuka
V. Menyerang Institusi dan pemimpin-pemimpin parti secara terbuka melalui media dan platform media sosial
VI. Membuat sidang media dan kenyataan media yang mencemarkan imej parti
VII. Melakukan penipuan dan kesalahan jenayah dengan menggunakan Akuan Bersumpah palsu berkaitan aduan dalam pemilihan parti
VIII. Membuat rundingan-rundingan tanpa mandat parti
IX. Membuat rundingan-rundingan haram yang mengkhianati kepentingan dan institusi parti
X. Merasuah dan cubaan merasuah Ketua-Ketua Bahagian BERSATU untuk menandatangani SD mendesak Presiden berundur dengan habuan wang tunai sebanyak RM3,000, bantuan kewangan dan peluang bertanding dalam pilihanraya
XI. Melanggar arahan dan keputusan parti melalui pelanggaran baiah dan sumpah yang dibuat atas nama Allah (melibatkan ADUN dan Ahli Parlimen BERSATU)
12. Tidak mungkin mereka yang merasuah dan cuba merasuah, atau yang melakukan kesalahan jenayah menggunakan SD palsu, yang membuat rundingan-rundingan haram tanpa mandat yang mengkhianati kepentingan parti, atau yang melanggar baiah dan sumpah atas nama Allah adalah dalam kalangan mereka yang baik. Mereka adalah dalam kalangan orang yang jahat dan khianat, dan bagi yang sanggup melanggar baiah dan sumpah atas nama Allah, mereka adalah golongan yang tidak boleh dipercayai - laknat Allah pun mereka tidak takut, apa lagi laknat manusia.
13. Adakah makhluk jenis ini yang Dr Nur Ayuni hendak sokong dan letakkan dalam saf kepimpinan parti? Lembaga Disiplin BERSATU telah melaksanakan tugas mereka secara profesional, adil dan bebas demi kebaikan parti berpandukan peruntukan perlembagaan tanpa mengira status ahli, sama ada ahli biasa, Ahli MPT, ADUN atau Ahli Parlimen. Bukan semua dipecat. Ada yang digantung. Ada yang diberi amaran. Mereka diberi peluang membela diri dengan menyatakan sebab kenapa mereka tidak boleh dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin. Bagi yang digantung dan diberi amaran, mereka masih mempunyai peluang untuk bermuhasabah diri, insaf dan bertaubat.
14. Mana Dr Ayuni dapat data bahawa " 'team reset' pimpinan Hamzah yang dipecat daripada BERSATU sebenarnya menguasai sehingga 80 peratus akar umbi BERSATU" dan bagaimana dia boleh menyimpulkan bahawa "apabila kelompok ini disingkirkan atau dipinggirkan, berlaku vakum besar dalam kepemimpinan parti di peringkat negeri dan bahagian. Vakum berkenaan AKHIRNYA DIISI KELOMPOK dilihat sebagai 'UMNO REJECT' dan 'PKR REJECT'"? Agak-agaklah.
15. Pertama, jika dakwaan Dr Ayuni ini benar, maka program-program BERSATU sejak Hamzah dipecat, iaitu sepanjang bulan Ramadan, Syawal dan selepas itu hanya akan dihadiri oleh 'hantu, bunian dan makhluk asing'. Hakikatnya sejak Hamzah dipecat, sepanjang bulan Ramadan, program-program majlis berbuka puasa anjuran BERSATU di Selangor, Kedah dan Perak dihadiri ramai pengunjung dan rakyat tidak menghindari BERSATU. Malah di Lumut, majlis berbuka BERSATU dihadiri lebih 3,000 orang, berbanding majlis berbuka anjuran penyokong Hamzah yang sengaja dibuat pada hari yang sama hanya dihadiri sekitar 300 orang. Begitu juga majlis Hari Raya Aidilfitri. Di Kedah, sambutan puluhan ribu. Begitu juga begitu ramai yang hadir di Melaka dan di Gombak. Selepas itu apabila diadakan Konvensyen BERSATU Negeri Selangor, kehadiran melebihi 1,400 dan semangat peserta juga amat tinggi. Sebahagian besar tidak berganjak sehingga tamat Konvensyen kerana mahu mengikuti konten konvensyen dan mendalami hala tuju BERSATU Selangor.
16. Kedua, selepas Hamzah dipecat, sejumlah besar ahli asal BERSATU datang kembali untuk membantu memulihkan dan mengukuhkan BERSATU. Dari segi latar belakang, semaklah latar belakang Ketua Bahagian BERSATU yang menggantikan Ketua Bahagian penyokong Hamzah di Ampang, di Port Dickson dan di Lembah Pantai. Latar belakang Ketua Bahagian Ampang yang baru ini jauh lebih cemerlang berbanding Ketua Bahagian penyokong Hamzah sebelum ini, dan tidaklah Bahagian itu dilihat seolah-olah bahagian 'ahli keluarga' seperti sebelum ini.
17. Ada sejumlah perkara lagi yang diulas secara dangkal tapi itu akan saya debatkan jika ada kesempatan nanti. Saya nasihatkan pensyarah-pensyarah kanan seperti Dr Nur Ayuni ini carilah fakta sebelum menulis agar tidak digelar 'profesor kangkung'. Peliknya tulisan fitnah seperti ini pun ada golongan agamawan yang menyebarkannya tanpa menggunakan akal dan tanpa ada proses 'tabayyun' - memalukan. Mungkin sekadar mengikut arahan warroom.
Dari Facebook:
Datuk Tun Faisal Ismail Aziz,
Ketua Penerangan BERSATU Malaysia