31/03/2026
Bagaimanakah perpaduan seumpama ini dapat dicapai? Begitu mudah sekali apabila perpaduan ini dikecapi di kalangan masyarakat berbilang kaum, agama dan tanpa mengira warna kulit.
Inilah usaha sebilangan besar masyarakat tanpa latarbelakang politik yang ingin melihat keamanan dikecapi dengan perpaduan hasil usaha semua rakyat Malaysia, yang sangat mengidamkan konsep Malaysia untuk Rakyat Malaysia (Malaysian Malaysia) atau Bangsa Malaysia.
Kenapa kita perlu menyetujui konsep Malaysia dan Perpaduan ini? Ianya bagaikan suatu bentuk penyatuan yang akan menghilangkan sifat-sifat negatif berbaur perkauman, syak wasangka, perasaan benci dan punyai hasad dengki ke atas kaum-kaum tertentu.
Pendek kata, kita perlukan satu identiti tunggal bagi mewujudkan Malaysian Malaysia atau Bangsa Malaysia yang sejagat, bukannya Melayu mengatasi Cina atau Cina mengatasi Melayu, mahupun India mengatasi Melayu dan Cina serta pelbagai lagi dakyah yang cuba diperkasa oleh politik pihak lawan.
Kenapa perlu melaksanakan ketuanan ke atas dua tiga kaum yang lain? Kenapa p**a ketuanan diketengahkan bagi menguasai sesuatu hak atau menjadikan sesuatu itu eksklusif buat sesuatu kelompol atau etnik?
Malaysia perlu kita bangunkan bersama, jaga-jaga ia secara bersama, sama-sama kita hadapi cabaran semasa, sama-sama kita berganding bahu melawan arus cabaran demi kelangsungan dan kemajuan negara, sama-sama kita bawa negara kita ini ke arah kemuafakatan nasional dan berdiri sebagai satu bangsa, yakni Bangsa Malaysia, "a Malaysian Malaysia" untuk semua rakyat dengan kesaksamaan dan keadilan sejagat.
Usah kita berbangsa-bangsa secara asing, pecah memecah belah, syak mensyaki antara satu sama lain ataupun menaruh api memarakkan kebencian dan hasad dengki terhadap mana-mana kaum atau agama, usah kita memperkasakan satu-satu bangsa untuk menguasai bangsa-bangsa lain.
Kita berdiri teguhlah sebagai bangsa Malaysia demi Malaysia!
Hayatilah kepelbagaian budaya, kesenian dan perpaduan di negara kita ini secara bersama agar ia dapat merapatkan silaturahim di kalangan masyarakat kita.