30/07/2025
KENYATAAN MEDIA ANGKATAN MUDA KEADILAN PASIR MAS
FADHLI SHAARI PEMIMPIN BANGSAT, KURANG AJAR !
Angkatan Muda Keadilan Pasir Mas mengecam sekeras-kerasnya tindakan Ahli Parlimen Pasir Mas, Yang Berhormat Fadhli Shaari yang telah memuat naik karikatur berunsur penghinaan kepada YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama dua pemimpin Kemboja dan Thailand.
Tindakan memperlekeh pemimpin negara luar boleh dianggap sebagai satu penghinaan diplomatik yang boleh mengancam hubungan dua hala. Karikatur berunsurkan mesej politik bersifat sinikal terhadap pemimpin negara jiran boleh mencetuskan reaksi keras, bantahan rasmi, bahkan mencalarkan imej Malaysia di mata dunia. Perbuatan dangkal sebegini jelas membuktikan PAS telah gagal mendidik pemimpinnya dengan nilai diplomasi dan adab antarabangsa.
Kami juga berasa kesal akan kesombongan YB Fadhli Shaari yang secara terbuka menolak untuk memohon maaf kepada YAB Perdana Menteri. Keengganan beliau untuk memohon maaf walaupun ditegur pelbagai pihak jelas membuktikan sikap angkuh, tidak matang dan anti-diplomasi yang sangat berbahaya bagi seorang wakil rakyat.
Sebagai wakil rakyat, YB Fadhli Shaari sepatutnya menyatakan sokongan kepada usaha perdamaian dan kestabilan serantau yang diusahakan oleh YAB Perdana Menteri dan tidak sama sekali mengeruhkan lagi keadaan dengan sindiran yang boleh menyinggung pemimpin luar. Malaysia telah sekian lama mengamalkan dasar luar negara yang berhemah, bersahabat dan dihormati di peringkat antarabangsa.
Justeru itu, Angkatan Muda Keadilan Pasir Mas menggesa Polis Diraja
Malaysia untuk membuka kertas siasatan terhadap Ahli Parlimen Pasir Mas yang juga Ketua Penerangan PAS atas tindakan beliau yang jelas telah mencemarkan imej diplomasi Malaysia dan memberi isyarat buruk kepada negara jiran bahawa masih wujud pemimpin pembangkang yang tidak faham batas adab dalam berpolitik.
WAN ABD HADI
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN PASIR MAS
30 JULAI 2025