15/05/2026
✍️ Dalam hidup, ada satu fasa kita banyak menerima.
Masa kecil, kita menerima kasih sayang.
Menerima ilmu.
Menerima perlindungan.
Menerima peluang.
Menerima teguran.
Menerima bantuan orang lain untuk membentuk siapa diri kita hari ini.
Kemudian kita masuk fasa dewasa. Umur 20-an biasanya kita masih mencari arah. Kita sibuk bina kerjaya, cari duit, cari identiti, cari tempat dalam dunia. Kita banyak bertanya, “Apa yang aku mahu dalam hidup?”
Tapi bila masuk umur 30, 40 tahun, soalan itu perlahan-lahan berubah.
Bukan lagi sekadar,
“Apa yang aku boleh dapat?”
Tetapi,
“Apa yang aku boleh beri?”
Apa manfaat kehadiran kita kepada keluarga?
Apa kesan suara kita kepada rakan sekerja?
Apa pengaruh kita kepada masyarakat?
Adakah orang rasa lebih kuat selepas bertemu kita, atau lebih kecil?
Adakah kita menyebarkan kebaikan, atau menambah luka?
Sebab setiap orang ada pengaruh.
Walaupun kita bukan orang terkenal. Cara kita bercakap, cara kita melayan orang, cara kita memimpin, cara kita menegur, cara kita menggunakan media sosial, semuanya meninggalkan kesan.
Ada orang hadir dalam hidup orang lain seperti teduh.Ada orang hadir seperti ribut.
Bila usia makin matang, hidup bukan lagi hanya tentang pencapaian peribadi. Bukan hanya rumah besar, kereta cantik, jawatan tinggi atau duit banyak.
Satu hari nanti, yang lebih bermakna ialah apabila kita boleh berkata
“Aku pernah memudahkan hidup orang lain.”
“Aku pernah memberi harapan.”
“Aku pernah menggunakan pengaruh kecil aku untuk sesuatu yang baik.”
Sebab akhirnya, nilai kita bukan hanya pada apa yang kita kumpul. Tetapi pada kebaikan yang orang lain rasa, selepas kita pernah hadir dalam hidup mereka.