15/05/2026
PROGRAM SOLAT SUNAT DHUHA & TAKLIMAT PENGURUSAN BERSAMA PIHAK TABUNG HAJI
Padang Besar , 15 Mei 2026 (Jumaat) | Program Solat Sunat Dhuha dan Taklimat Pengurusan bersama pihak Tabung Haji telah diadakan bertempat di Surau Al-Taqwa, IPD Padang Besar ,Perlis.
Program yang berteraskan pengimarahan dan dakwah ini telah dihadiri seramai 54 orang terdiri daripada pegawai kanan polis, pegawai rendah polis serta pegawai awam IPD Padang Besar.
Pengisian program dimulakan dengan Solat Sunat Dhuha yang dipimpin oleh Ustaz Azhar bin Abd Wahab sebelum diteruskan dengan sesi taklimat khas oleh YBhg. Tuan Haji Burhan bin Abd Rahman, Pengarah Lembaga Tabung Haji Negeri Perlis.
Taklimat yang disampaikan memberi penekanan terhadap kepentingan pengurusan kewangan secara berhemah dan tersusun sebagai persediaan menunaikan ibadah haji. Peserta turut diberi penerangan berkaitan simpanan patuh syariah, pengurusan hutang, perancangan kewangan jangka panjang serta peranan Tabung Haji dalam membantu urusan simpanan dan pendaftaran haji.
Selain menambah ilmu pengetahuan, program ini turut menjadi platform untuk menyemai kesedaran mengenai tanggungjawab mengurus kewangan keluarga dengan lebih bijak dan berdisiplin demi kesejahteraan masa hadapan.
Turut diadakan sesi soal jawab, penyampaian cenderahati, pembukaan Booth Tabung Haji dan jamuan makan dalam suasana penuh harmoni dan ukhuwah.
Semoga program seumpama ini dapat diteruskan bagi memperkukuhkan nilai kerohanian, memperkasakan ilmu pengurusan kewangan serta memupuk budaya kehidupan yang lebih seimbang dalam kalangan warga IPD Padang Besar.