Laman Rasmi IPD Mukah

Laman Rasmi IPD Mukah Ibu Pejabat Polis Daerah Mukah,
Jalan Haji Mohd Fauzi,
96400 Mukah,
Sarawak

MAJLIS JASAMU DIKENANG PERINGKAT IPD MUKAHMukah, 16 September 2026 – Pada 15 September 2026 Ibu Pejabat Polis Daerah (IP...
16/09/2026

MAJLIS JASAMU DIKENANG PERINGKAT IPD MUKAH

Mukah, 16 September 2026 – Pada 15 September 2026 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah telah menganjurkan Majlis Jasamu Dikenang Peringkat IPD Mukah sebagai tanda penghargaan dan penghormatan kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah menabur bakti sepanjang perkhidmatan sebelum bersara dan bertukar ke penempatan baharu.

Majlis yang berlangsung pada jam 7.30 malam hingga 9.00 malam bertempat di Tone Cafe Mukah itu telah dihadiri oleh YDH DSP Muhamad Rizal bin Alias, Ketua Polis Daerah Mukah, bersama seramai 45 orang warga IPD Mukah yang terdiri daripada 10 Pegawai Kanan Polis, 30 Pegawai Rendah Polis, tiga Pegawai Awam Polis serta dua ahli PERKEP.

Majlis turut meraikan tujuh orang anggota yang diraikan, iaitu SM 117994 Abdullah bin Sepawi, mantan Ketua Polis Balai Selangau; Sjn 125185 Janggok anak Ali dari Balai Polis Balingian; Sjn 134094 Donald bin Rosly, anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Mukah; Kpl 148263 Zainal Shah bin Jublie, mantan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Mukah; Kpl 177016 Nico anak Paul, mantan anggota Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Mukah; Kons 233488 Hamdian bin Anoi dari Bahagian Ketenteraman Awam IPD Mukah serta Kons 238732 Nur Adzwa binti Ahmad Peridin dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Mukah.

Majlis dimulakan dengan ketibaan warga IPD Mukah diikuti ketibaan pegawai dan anggota yang akan bertukar serta bersara. Acara diteruskan dengan bacaan doa oleh Sjn Zamali bin Rani, ucapan wakil pegawai dan anggota yang diraikan oleh SM Abdullah bin Sepawi, seterusnya ucapan oleh YDH DSP Muhamad Rizal bin Alias, Ketua Polis Daerah Mukah.

Dalam majlis tersebut, penyampaian plak, cenderahati dan sijil penghargaan turut diadakan kepada para penerima sebagai simbolik penghargaan atas segala jasa, komitmen, dedikasi serta sumbangan yang telah dicurahkan sepanjang berkhidmat di IPD Mukah.

Majlis Jasamu Dikenang ini bukan sekadar sebuah acara perpisahan, malah menjadi wadah untuk mengenang kembali segala jasa dan pengorbanan warga PDRM yang telah bersama-sama menggalas amanah dalam memastikan keselamatan serta ketenteraman masyarakat sentiasa terpelihara.

Setiap pertemuan pasti ada perpisahan, namun jasa dan kenangan yang ditinggalkan akan terus terpahat dalam ingatan.

Seluruh warga IPD Mukah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pegawai dan anggota yang diraikan atas segala khidmat bakti yang telah dicurahkan.

Selamat maju jaya di tempat baharu dan selamat bersara. Semoga terus dikurniakan kesihatan, kebahagiaan dan kejayaan dalam setiap langkah kehidupan.

“Jasamu Dikenang, Bakti Terus Diingati.”

POLIS DAN MASYARAKAT BERPISAH TIADA

DUA ORANG LELAKI WARGA TEMPATAN DITAHAN KERANA POSITIF DADAH DALAM OPERASI DI SEKITAR BANDAR MUKAHMukah, 16 September 20...
16/09/2026

DUA ORANG LELAKI WARGA TEMPATAN DITAHAN KERANA POSITIF DADAH DALAM OPERASI DI SEKITAR BANDAR MUKAH

Mukah, 16 September 2026 - Pada 15 September 2026 sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah telah menahan dua orang lelaki warga tempatan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dalam satu operasi OPS Tapis di sekitar bandar Mukah.

Suspek pertama merupakan lelaki warga tempatan berumur 36 tahun yang bekerja sebagai juruteknik ditahan lebih kurang pada jam 10.00 pagi kerana dalam keadaan mencurigakan. Pemeriksaan fizikal tidak menemui apa-apa barang salah. Suspek kemudiannya di bawa ke IPD Mukah untuk tindakan dan siasatan lanjut. Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

Suspek kedua merupakan lelaki warga tempatan berumur 31 tahun yang tidak bekerja ditahan lebih kurang pada jam 12.30 tengah hari kerana dalam keadaan mencurigakan. Pemeriksaan fizikal tidak menemui apa-apa barang salah. Suspek kemudiannya dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan dan siasatan lanjut. Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek kedua juga positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana menggunakan dadah secara salah. Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun, serta pengawasan polis mengikut peruntukan undang-undang yang berkaitan.

Kedua-dua suspek ditahan semalaman di lokap Balai Polis Mukah bagi membantu siasatan sehingga proses siasatan selesai. Pada 16 September 2026 lebih kurang jam 9.45 pagi kedua-dua suspek kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis dan seorang penjamin tempatan sehingga menunggu tarikh pendakwaan.

IPD Mukah kekal komited dan akan terus mempergiatkan usaha membanteras kegiatan penyalahgunaan serta pengedaran dadah di daerah Mukah.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan atau pengedaran dadah boleh menyalurkannya kepada Hotline IPD Mukah di talian 084-871222 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.

DSP MUHAMAD RIZAL BIN ALIAS
Ketua Polis Daerah Mukah

🇲🇾UCAPAN SELAMAT MENYAMBUT HARI MALAYSIA 2026🇲🇾YDH DSP Muhamad Rizal Bin Alias, Ketua Polis Daerah Mukah, serta seluruh ...
15/09/2026

🇲🇾UCAPAN SELAMAT MENYAMBUT HARI MALAYSIA 2026🇲🇾

YDH DSP Muhamad Rizal Bin Alias, Ketua Polis Daerah Mukah, serta seluruh warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Malaysia 2026 kepada seluruh rakyat Malaysia.

Sambutan Hari Malaysia pada 16 September merupakan satu detik penting dalam sejarah negara yang melambangkan semangat perpaduan, kebersamaan dan keharmonian rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama, budaya serta latar belakang.

Sempena sambutan ini, marilah kita bersama-sama menyemarakkan semangat “Satu Tanah, Satu Bangsa, Satu Malaysia” dengan terus memelihara keamanan, menghormati kepelbagaian dan memperkukuhkan hubungan antara masyarakat.

Sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam, PDRM sentiasa komited untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat serta memastikan keamanan negara terus terpelihara.

Marilah kita bersama-sama membina Malaysia yang lebih sejahtera, bersatu padu dan harmoni demi masa depan generasi akan datang.

Selamat Menyambut Hari Malaysia 2026.
Malaysia Tetap Bersatu! 🇲🇾

Ingatan tulus ikhlas daripada :

YDH DSP MUHAMAD RIZAL BIN ALIAS
Ketua Polis Daerah Mukah
serta seluruh warga IPD Mukah

“POLIS DAN MASYARAKAT BERPISAH TIADA”

MAJLIS SERAH TERIMA TUGAS JAWATAN KETUA POLIS BALAI SELANGAUMukah, 15 September 2026 – Majlis Serah Terima Tugas Jawatan...
15/09/2026

MAJLIS SERAH TERIMA TUGAS JAWATAN KETUA POLIS BALAI SELANGAU

Mukah, 15 September 2026 – Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Balai Selangau telah diadakan pada jam 9.00 pagi bertempat di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah.

Majlis tersebut menyaksikan Sarjan Mejar Abdullah Bin Sepawi, selaku penyandang jawatan Ketua Polis Balai Selangau, menyerahkan tugas dengan rasminya kepada Sarjan Suntek Anak Danggat yang akan memangku jawatan berkenaan.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan daripada pengacara majlis, diikuti dengan bacaan doa. Seterusnya, upacara menandatangani Nota Serah Terima Tugas telah dilaksanakan dan disaksikan oleh YDH DSP Muhamad Rizal Bin Alias, Ketua Polis Daerah Mukah.

Majlis diteruskan dengan simbolik penyerahan tugas serta penyampaian cenderahati dan Sijil Penghargaan kepada Sarjan Mejar Abdullah Bin Sepawi yang telah disempurnakan oleh Ketua Polis Daerah Mukah sebagai tanda penghargaan atas segala jasa, sumbangan dan khidmat bakti beliau sepanjang berkhidmat dalam pasukan.

Turut hadir ialah semua Ketua Bahagian, Pegawai Kanan, Ketua Polis Balai serta Ketua Cawangan IPD Mukah.

Sarjan Mejar Abdullah Bin Sepawi bakal menamatkan perkhidmatan melalui persaraan wajib pada 19 September 2026, setelah mencurahkan bakti selama 39 tahun kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau telah menunjukkan komitmen, dedikasi dan kesetiaan yang tinggi dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab yang diberikan demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.

Seluruh warga IPD Mukah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala jasa, pengorbanan, sumbangan serta penat lelah Sarjan Mejar Abdullah Bin Sepawi sepanjang 39 tahun menabur bakti kepada Sang Saka Biru.

Semoga beliau sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, dipermudahkan segala urusan serta dimurahkan rezeki bersama keluarga tercinta. Segala jasa dan khidmat bakti yang telah dicurahkan akan sentiasa dihargai dan dikenang oleh seluruh warga PDRM.

Selamat bersara dan terima kasih atas 39 tahun khidmat bakti kepada Sang Saka Biru.

“Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada”

UCAPAN TAHNIAH ATAS PELANTIKANKetua Polis Daerah Mukah serta seluruh warga Ibu Pejabat Polis Daerah Mukah dengan penuh s...
15/09/2026

UCAPAN TAHNIAH ATAS PELANTIKAN

Ketua Polis Daerah Mukah serta seluruh warga Ibu Pejabat Polis Daerah Mukah dengan penuh sukacita merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada:

YDH CP Datuk Mohamad Zainal Bin Haji Abdullah, Pesuruhjaya Polis Kontinjen Sarawak

atas pelantikan sebagai:

PENGARAH PENGURUSAN
IBU PEJABAT POLIS DIRAJA MALAYSIA
BUKIT AMAN

Pelantikan ini merupakan satu pengiktirafan terhadap kepimpinan, pengalaman, dedikasi serta kecemerlangan yang telah dicurahkan sepanjang perkhidmatan dalam Polis Diraja Malaysia.

Semoga YDH CP Datuk Mohamad Zainal Bin Haji Abdullah terus diberikan kekuatan, kesihatan, kebijaksanaan dan keberkatan dalam menggalas amanah serta tanggungjawab yang besar ini.

Diharapkan kepimpinan YDH Datuk akan terus membawa kecemerlangan dalam pengurusan organisasi, memperkukuh integriti serta meningkatkan kecekapan dan profesionalisme warga PDRM demi kelestarian perkhidmatan kepada masyarakat dan negara.

Selamat maju jaya dan tahniah sekali lagi atas pelantikan yang amat membanggakan ini.

“POLIS DAN MASYARAKAT BERPISAH TIADA”

Ikhlas daripada
Ketua Polis Daerah Mukah
serta seluruh warga
Ibu Pejabat Polis Daerah Mukah

SEORANG LELAKI WARGA ASING DITAHAN BERSAMA 0.40 GRAM DADAHMukah, 12 September 2026 – Pada 11 September 2026, lebih kuran...
12/09/2026

SEORANG LELAKI WARGA ASING DITAHAN BERSAMA 0.40 GRAM DADAH

Mukah, 12 September 2026 – Pada 11 September 2026, lebih kurang jam 10.00 pagi, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah telah menahan sebuah kereta Perodua Alza berwarna putih yang berada dalam keadaan mencurigakan berhampiran bangunan Shell, Jalan Mukah-Oya, Mukah.

Kenderaan tersebut dipandu sendirian oleh seorang lelaki warga asing berumur 37 tahun. Pemeriksaan ke atas tubuh badan pemandu kenderaan tersebut tidak menemukan sebarang barang salah.

Hasil pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan, polis telah menjumpai satu keratan tiub straw plastik lutsinar yang mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis methamphetamine atau syabu, yang disimpan di dalam sebuah kotak rokok jenama ERA.

Anggaran berat kasar dadah yang dirampas adalah sebanyak 0.40 gram. Dadah tersebut bersama kenderaan suspek telah dirampas untuk dijadikan barang kes.

Suspek dan barang rampasan kemudiannya dibawa ke IPD Mukah bagi tindakan serta siasatan lanjut. Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan.

Suspek yang bekerja sebagai buruh telah direman selama empat hari sehingga 16 September 2026 bagi melengkapkan siasatan.

Polis Daerah Mukah menegaskan bahawa pihaknya akan terus mempergiatkan usaha membanteras kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah Mukah serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan kegiatan tersebut. Orang ramai boleh menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah dengan menghubungi talian Hotline 084-874222 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran.

DSP Muhamad Rizal Bin Alias
Ketua Polis Daerah Mukah

IPD MUKAH SANTUNI PELAJAR SARAWAK SKILLS MENERUSI CERAMAH PENCEGAHAN JENAYAH KOMERSILMUKAH, 10 September 2026 (Khamis) –...
10/09/2026

IPD MUKAH SANTUNI PELAJAR SARAWAK SKILLS MENERUSI CERAMAH PENCEGAHAN JENAYAH KOMERSIL

MUKAH, 10 September 2026 (Khamis) – Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) IPD Mukah telah menyampaikan ceramah pencegahan jenayah komersil sempena Program JIWA@KOMUNITI Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia anjuran Jabatan Penerangan (JAPEN) Daerah Mukah yang berlangsung di Dewan Sarawak Skills Mukah, Sarawak.

Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari itu dihadiri oleh YDH DSP Muhamad Rizal Bin Alias, Ketua Polis Daerah Mukah, Puan Emayuhaida Binti Deris, Pemangku Pengurus Pusat Sarawak Skills Mukah, Encik Khalid Bin Aini, Pegawai Penerangan Daerah Mukah, serta kira-kira 150 orang pelajar Sarawak Skills Mukah.

Ceramah bertajuk “Job Scam, Keldai Akaun & Fungsi NSRC 997” telah disampaikan oleh Insp. Ebeni Bin Mohamad dengan memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai trend dan modus operandi terkini jenayah komersil, khususnya penipuan pekerjaan (job scam), penyalahgunaan akaun bank sebagai keldai akaun serta langkah-langkah yang perlu diambil bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian.

Para peserta turut diberi penerangan mengenai fungsi National Scam Response Centre (NSRC) melalui Talian 997, khususnya kepentingan mengambil tindakan segera sekiranya menyedari telah menjadi mangsa penipuan kewangan dalam talian.

Penekanan khusus turut diberikan mengenai isu keldai akaun, termasuk risiko menyerahkan atau membenarkan akaun bank digunakan oleh pihak lain bagi menerima atau memindahkan wang hasil kegiatan jenayah. Para pelajar dinasihatkan supaya tidak sesekali menyerahkan atau meminjamkan akaun bank, kad ATM, nombor PIN, ID perbankan Internet, kata laluan atau akses akaun perbankan kepada mana-mana pihak walaupun ditawarkan upah, komisen atau ganjaran.

Pendekatan ceramah secara santai dan interaktif turut memberi peluang kepada para pelajar untuk mengemukakan pertanyaan serta mendapatkan penjelasan secara langsung berhubung isu dan modus operandi jenayah komersil semasa.

Program turut diserikan dengan ucapan aluan, amanat dan ucapan perasmian, diikuti simbolik penyerahan Jalur Gemilang kepada Sarawak Skills, PDRM serta agensi-agensi yang terlibat sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

PDRM menyeru masyarakat, khususnya golongan pelajar dan belia, supaya sentiasa mengamalkan prinsip “Semak Sebelum Percaya, Fikir Sebelum Bertindak”, tidak mudah terpedaya dengan tawaran pekerjaan atau pulangan kewangan yang mencurigakan serta sentiasa membuat pengesahan sebelum melakukan sebarang transaksi.

Program seumpama ini akan terus diperkasakan sebagai salah satu pendekatan pencegahan jenayah secara bersemuka bagi meningkatkan kesedaran masyarakat serta memperkukuhkan kerjasama antara PDRM, JAPEN, Sarawak Skills dan komuniti setempat dalam usaha membanteras jenayah komersil.

KENYATAAN MEDIA KETUA POLIS DAERAH MUKAH BERKAITAN KES TANGKAPAN SEORANG LELAKI WARGANEGARA ASING KERANA DISYAKI TERLIBA...
09/09/2026

KENYATAAN MEDIA KETUA POLIS DAERAH MUKAH BERKAITAN KES TANGKAPAN SEORANG LELAKI WARGANEGARA ASING KERANA DISYAKI TERLIBAT DENGAN AKTIVITI PENYALAHGUNAAN DADAH DI KAWASAN LADANG SAWIT JALAN MUKAH-SELANGAU, MUKAH

KENYATAAN KETUA POLIS DAERAH MUKAH BERKAITAN KES SEORANG LELAKI WARGA TEMPATAN DITAHAN KERANA DISYAKI TERLIBAT DENGAN AK...
07/09/2026

KENYATAAN KETUA POLIS DAERAH MUKAH BERKAITAN KES SEORANG LELAKI WARGA TEMPATAN DITAHAN KERANA DISYAKI TERLIBAT DENGAN AKTIVITI PENYALAHGUNAAN DADAH DI BANDAR MUKAH

Mukah, 7 September 2026 - Sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah telah menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 41 tahun kerana disyaki terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah. Suspek yang dalam keadaan mencurigakan ditahan di hadapan sebuah bengkel kenderaan di pusat komersial bandar Mukah lebih kurang pada jam 11.30 pagi.

Hasil pemeriksaan terhadap suspek tidak menjumpai apa-apa barang salah. Suspek kemudiannya dibawa ke IPD Mukah untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine. Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana menggunakan dadah secara salah. Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun, serta pengawasan polis mengikut peruntukan undang-undang yang berkaitan.

Suspek yang tidak bekerja kini ditahan di lokap Balai Polis Mukah bagi membantu siasatan sehingga proses siasatan selesai.

IPD Mukah kekal komited dan akan terus mempergiatkan usaha membanteras kegiatan penyalahgunaan serta pengedaran dadah di daerah Mukah.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan atau pengedaran dadah boleh menyalurkannya kepada Hotline IPD Mukah di talian 084-871222 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.

DSP MUHAMAD RIZAL BIN ALIAS
Ketua Polis Daerah Mukah

KENYATAAN MEDIA KETUA POLIS DAERAH MUKAH BERKAITAN TANGKAPAN DUA ORANG LELAKI WARGANEGARA ASING KERANA DISYAKI TERLIBAT ...
07/09/2026

KENYATAAN MEDIA KETUA POLIS DAERAH MUKAH BERKAITAN TANGKAPAN DUA ORANG LELAKI WARGANEGARA ASING KERANA DISYAKI TERLIBAT DENGAN KES CURI MOTOSIKAL

Address

Jalan Haji Mohd Pauzi
Mukah
96400

Telephone

+6084871222

Website

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when Laman Rasmi IPD Mukah posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Shortcuts

Share