21/08/2026
𝐌𝐀𝐉𝐋𝐈𝐒 𝐒𝐄𝐑𝐀𝐇 𝐓𝐄𝐑𝐈𝐌𝐀 𝐓𝐔𝐆𝐀𝐒 𝐊𝐄𝐓𝐔𝐀 𝐁𝐀𝐇𝐀𝐆𝐈𝐀𝐍 𝐒𝐈𝐀𝐒𝐀𝐓𝐀𝐍 𝐉𝐄𝐍𝐀𝐘𝐀𝐇 𝐍𝐀𝐑𝐊𝐎𝐓𝐈𝐊 𝐃𝐀𝐄𝐑𝐀𝐇 𝐈𝐏𝐃 𝐌𝐄𝐑𝐒𝐈𝐍𝐆
, 21 Ogos 2026 – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing telah mengadakan Majlis Serah Terima Tugas (STT) Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, IPD Mersing bertempat di Kelab Polis, IPD Mersing, hari ini.
Majlis yang berlangsung pada jam 10.00 pagi itu disempurnakan dengan penandatanganan dokumen Serah Terima Tugas antara Insp. Mohd Nurhithir bin Abu Bakar, selaku mantan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Mersing, dengan Insp. Hanafi bin Abd Halim, selaku Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah IPD Mersing yang baharu, dengan disaksikan oleh Ketua Polis Daerah Mersing, YDH Supt. Abdul Razak bin Abdullah Sani.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Polis Daerah Mersing, DSP Mohd Nizam bin Yusoff, Ketua Bahagian Pengurusan Daerah, ASP Mohd Mokhtar bin Mohd Nor, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Daerah, ASP Haidir bin Shamsuddin, ketua-ketua bahagian, ketua-ketua polis balai serta pegawai kanan dan pegawai rendah polis IPD Mersing.
Majlis dimulakan dengan kata-kata aluan oleh pengacara majlis, Insp. Norafiza binti Sulaiman, diikuti bacaan doa yang dipimpin oleh En. Farid bin Maarof, Pegawai Awam IPD Mersing, bagi memohon keberkatan dan kelancaran majlis.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan oleh Insp. Mohd Nurhithir bin Abu Bakar serta ucaptama oleh Ketua Polis Daerah Mersing.
Dalam ucapannya, Ketua Polis Daerah Mersing menekankan kepentingan kesinambungan tugas, kerjasama berpasukan, profesionalisme dan integriti dalam memastikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Mersing terus berfungsi secara efektif dalam usaha membanteras kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah.
Majlis ini turut menjadi platform bagi menghargai jasa dan komitmen Insp. Mohd Nurhithir sepanjang menerajui Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Mersing, selain menyuntik semangat kepada pegawai baharu untuk meneruskan kecemerlangan dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab yang diberikan.
Selamat menjalankan amanah dan tanggungjawab kepada Insp. Hanafi bin Abd Halim. Semoga terus cemerlang dalam menerajui Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Mersing.