10/09/2012
Peneroka Terawal Bidas Pihak Tohmah Penyenaraian FGV
BENTONG - Penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) di Bursa Malaysia sejak dua bulan lalu akhirnya menutup mulut pembangkang yang sebelum ini cuba menggagalkan usaha tersebut dengan dakwaan kononnya ia menyebabkan tanah milik peneroka tergadai dan masa depan mereka gelap.
Walaupun terdapat segelintir peneroka terutama yang menyokong parti pembangkang termakan hasutan fitnah tersebut, secara keseluruhannya para peneroka menyokong dan menyambut baik usaha kerajaan itu.
Beberapa peneroka Felda Lurah Bilut, tanah rancangan pertama yang dibuka pada 1956 ketika ditemui baru-baru ini melahirkan rasa bersyukur kerana tohmahan oleh parti pembangkang terhadap FGV ternyata tidak benar.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR), Kamaruddin Mat Doa, 73, berkata, sehingga hari ini tiada seinci pun tanah milik peneroka yang diambil oleh Felda untuk pajakan setelah FGV disenaraikan.
Katanya, ini membuktikan kerajaan tidak akan menggadaikan kehidupan para peneroka semata-mata untuk membolehkan FGV disenaraikan di bursa saham.
''Sehingga hari ini, geran tanah seluas 4.1 hektar masih ada dalam simpanan kami dan tidak ada pegawai Felda yang datang untuk mengambil geran tanah kami bagi digadaikan seperti yang dakwa oleh pembangkang.
''Walaupun kehidupan kami di peringkat awal semasa meneroka tanah rancangan ini menempuh pelbagai kesukaran, kehidupan kami bertambah baik dari semasa ke semasa seperti yang kami nikmati hari ini.
Seorang lagi peneroka, Abdullah Abbas, 76, yang berasal dari Kampung Serandu, Pekan berkata, usaha kerajaan menyenaraikan FGV sepatutnya disokong semua pihak termasuk pembangkang kerana ia membawa kebaikan bukan sahaja kepada peneroka tetapi seluruh rakyat.
''Pembangkang kata tanah kami akan tergadai tetapi saya sejak awal-awal lagi sudah agak, ini mainan politik mereka dan bukannya untuk melihat kami menikmati hidup lebih senang," katanya.
Bagi M. Kalaimuthu, 73, penyenaraian FGV membawa satu lagi sinar baru dalam kehidupan para peneroka Felda.
"Selain hasil ladang, pendapatan kami juga akan bertambah apabila menikmati dividen hasil penyenaraian FGV setiap hujung tahun selain pemberian bonus dan insentif hasil ladang.
Sumber: www.utusan.com.my