15/09/2026
DATO' SRI ABDUL AZIZ PEGANG PORTFOLIO TIMBALAN KPN, PERKASA TERAJU PDRM
Kuala Lumpur, 15 September 2026 – DIG Dato' Sri Abdul Aziz Abdul Majid kini memegang portfolio sebagai Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), sekali gus memperkasa teraju kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau secara rasmi mengambil alih jawatan tersebut menerusi Majlis Serah Terima Tugas (STT) dan Pemakaian Lencana Pangkat yang berlangsung pagi tadi di Dewan Tan Sri Abdul Rahman bin Hashim, Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, di sini.
Penyerahan tugas jawatan Timbalan KPN berlangsung antara pemangku, CP Dato’ Sri Ibrahim Darus dengan DIG Dato' Sri Abdul Aziz, selaras dengan arahan pelantikan yang berkuat kuasa semalam dan disaksikan oleh KPN, Tan Sri Dato’ Seri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail.
Berpengalaman dalam pelbagai jawatan penting Pasukan, Dato' Sri Abdul Aziz sebelum ini pernah menyandang jawatan Pengarah Pengurusan, Timbalan Pengarah Cawangan Khas II Bukit Aman serta Timbalan Pengarah Narkotik (Pelucuthakan Harta/Perundangan/Tahanan), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman.
Turut berlangsung tadi ialah STT Jawatan Pengarah Pengurusan apabila Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Datuk Mohamad Zainal Abdullah dilantik sebagai Pengarah Pengurusan baharu, menggantikan Dato' Sri Abdul Aziz.
Berucap pada majlis tersebut, Tan Sri Dato’ Seri Hj. Mohd Khalid mengingatkan bahawa pangkat bukan sekadar lambang di bahu, sebaliknya hadir bersama tanggungjawab sebagai pemimpin.
Tegasnya, seorang pemimpin perlu sentiasa bersikap tegas, positif, tenang, sabar dan bertoleransi, selain berani melakukan perkara yang benar bagi membetulkan perkara yang salah.
“Saya menyeru agar kita sentiasa bersikap tegas, positif, tenang, sabar dan bertoleransi serta memiliki keberanian untuk melakukan perkara yang benar bagi membetulkan perkara yang salah,” ujar beliau.
Terdahulu, acara dimulakan dengan pemakaian lencana pangkat Komisioner Polis (CP) kepada Datuk Mohamad Zainal, diikuti pemakaian lencana pangkat kepada 25 pegawai kanan PDRM yang terdiri daripada pegawai berpangkat Deputi Komisioner Polis (DCP), Senior Asisten Komisioner Polis (SAC), Asisten Komisioner Polis (ACP) dan Superintenden (SUPT).
Majlis turut menyaksikan upacara menandatangani dokumen rasmi dan penyerahan tongkat kuasa Pengarah Pengurusan sebagai simbolik penyerahan tanggungjawab serta amanah kepada penyandang jawatan baharu.
Dalam majlis yang sama, turut berlangsung STT jawatan Setiausaha Polis Malaysia oleh DCP Dato' Mohamad Noor Yusof Ali kepada penyandang baharu, DCP Mohamad Mashdik Yahya.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan STT Jawatan Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia antara penyandangnya, Datin Sri Zanilatun Kamariah Zakaria dengan Datin Sri Selmiah Tuan Ibrahim serta Pengerusi PERKEP Jabatan Pengurusan antara Datin Sri Selmiah dengan Datin Dr. Nitce Isa Medina Machmudi Isa.
Kedua-dua acara tersebut melibatkan sesi menandatangani dan penyerahan dokumen STT yang disaksikan Pengerusi PERKEP Malaysia, Puan Sri Datuk (Dr.) Hjh. Munirah Che Rose.
Turut hadir, barisan pengarah, para pegawai kanan serta ahli-ahli PERKEP.
Jurugambar: Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid dan Lans Koperal Khairunisa Ibrahim