22/05/2026
MESYUARAT DAN BENGKEL PERANCANGAN BELANJAWAN TAHUN 2027 PEJABAT DAERAH DAN TANAH LENGGONG
PENANG, 22 MEI 2026 – Satu Mesyuarat dan Bengkel Perancangan Belanjawan Tahun 2027 anjuran Pejabat Daerah dan Tanah Lenggong telah berlangsung di Bertam Resort dengan penglibatan pegawai serta kakitangan jabatan.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Tuan Mohamad Fitri Bin Hassan, Pegawai Daerah Hulu Perak manakala sesi mesyuarat dan bengkel dipengerusikan oleh Encik Mohd Noor Azam Bin Ismail, Ketua Penolong Pegawai Daerah Lenggong.
Penganjuran Bengkel ini bukan sahaja bertujuan untuk meneliti keperluan serta penyediaan perancangan bajet tahun 2027 secara menyeluruh malah juga untuk meneliti perancangan setiap Bahagian dan Unit bagi pelaksanaan gerak kerja 2027 bagi memastikan sasaran yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri dan PTG Perak dapat di capai.
Dalam Bengkel selama 3 hari ini juga, turut dikongsikan pencapaian kutipan hasil PDT Lenggong bagi tahun 2026 sehingga 19 Mei 2026 yang lalu telah mencapai 99.84 %. Pada hari terakhir Bengkel 22 Mei 2026 PDT Lenggong telah berjaya mencapai kutipan hasil 100.38% bagi menunjukkan gerak kerja dan perancangan tidak terhenti malah dipergiatkan bagi membantu Kerajaan Negeri Perak mengutip hasil Negeri bagi manfaat yang akan digunakan untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat selaras dengan maksud Perak Sejahtera 2030.
Untuk rekod, ini merupakan pencapaian melebihi seratus peratus bagi PDT Lenggong untuk tempoh 4 tahun berturut-turut mulai 2023-2026. Pengurusan Tertinggi PDT Lenggong mengucapkan tahniah kepada kesemua kakitangan PDT Lenggong terutamanya kepada Bahagian Tanah kerana memastikan sasaran yang ditetapkan di capai. Ini membuktikan setiap perancangan yang disusun serta gerak kerja yang di atur serta pelaksanaan kerja yang efisien dan dituntun dengan sifat ITQAN akan membuahkan hasil.
Perbincangan Bengkel ini, bukan sahaja membincangkan tentang perancangan Bahagian Pengurusan Tanah, tetapi turut melibatkan Bahagian Pembangunan Luar Bandar, serta Bahagian Khidmat Pengurusan.
Projek-projek pembangunan dan pembangunan Daerah bagi tahun 2027 turut dibincangkan bersama dengan barisan penghulu-penghulu Mukim yang diketuai oleh Penghulu Kanan Lenggong. Ini bagi memastikan pembangunan dan kemudahan komuniti masyarakat dapat diagihkan supaya pembangunan setara bagi setiap mukim dapat dilaksanakan.
Begitu juga dengan Bahagian Khidmat Pengurusan. Tuan KPPD turut mengingatkan supaya perancangan yang telah disusun dan diatur bagi tahun 2027 perlulah mengambil kira kebajikan keseluruhan perjawatan sedia ada dan dalam perancangan tersebut perlulah mengambil semangat "Tonggak 12". Tonggak 12 merupakan satu set nilai, norma, dan etika yang diperkenalkan dalam Perkhidmatan Awam Malaysia untuk membentuk budaya kerja yang cemerlang, berintegriti, dan bertanggungjawab. Ia berfungsi sebagai panduan moral dan profesional bagi setiap penjawat awam.
Dalam bengkel yang sama Tuan KPPD juga turut menekankan mengenai pengurusan kewangan jabatan supaya dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, sistematik, teratur dan selaras dengan perancangan pembangunan semasa yang telah disusun. Semua pegawai dan kakitangan diingatkan supaya sentiasa teliti dalam melaksanakan tugasan bagi mengelakkan berlakunya kesilapan atau kecuaian yang berulang walaupun kecil sifatnya tetapi ianya akan menjadi besar dan tidak terkawal jika tidak diperhatikan.
Dalam sesi penutup, Tuan KPPD sekali lagi mengingatkan semua pegawai dan kakitangan akan tanggungjawab, beliau meminta supaya setiap teguran dan penambahbaikan yang diminta dapat disegerakan pelaksanaannya oleh setiap Ketua Bahagian dan Unit bagi membantu Bahagian BKP menyediakan dokumen akhir untuk dibentangkan dalam sesi semakan bersama Pejabat Kewangan Negeri pada 11 Jun 2026 nanti.
Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Perak
Pejabat Pengarah Tanah Dan Galian Negeri Perak