05/08/2020
30,000 etnik Rohingya, Arakan disyaki guna dokumen palsu
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen menumpaskan dua sindiket pemalsuan dokumen yang bergerak sejak dua tahun lalu di ibu kota dan menyediakan dokumen palsu kepada lebih 30,000 warga Myanmar.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, berkata risikan selama dua bulan mendapati purata individu mendapatkan khidmat pemalsuan dokumen daripada sindiket itu di antara 30 hingga 50 orang sehari.
Katanya, pelanggan dikenakan caj bayaran bergantung kepada jenis dokumen yang ditempah antara RM30 hingga RM150 dan ia dapat disiapkan pada hari yang sama kepada mereka yang menetap di kawasan Lembah Klang.
"Sindiket ini juga menerima tempahan daripada pelanggan di seluruh Semenanjung, dengan pelanggan mereka hanya perlu menghantar butiran peribadi dan gambar melalui beberapa aplikasi termasuk WhatsApp. Dokumen yang sudah siap akan dihantar melalui kurier selepas bayaran selesai dibuat.
"Sindiket ini dipercayai menggunakan dokumen palsu berkenaan bagi elak ditahan oleh pihak berkuasa sehingga mereka mendapat surat temujanji daripada pihak Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bagi mendapatkan dokumen pertubuhan itu secara sah.
"Sindiket ini menyasar warga Myanmar iaitu etnik Rohingya dan Arakan (Muslim) yang baru tiba di negara ini secara haram," katanya kepada pemberita dalam sidang media, di sini hari ini.
Memperincikan kejayaan menumpaskan dua sindiket itu, Khairul Dzaimee berkata, operasi yang dijalankan jam 2.10 petang semalam, berjaya menahan 16 warga asing terdiri 15 Myanmar dan seorang Bangladesh.
"Seorang warga tempatan yang juga pemilik premis yang disewakan kepada warga asing terbabit turut dikeluarkan saman sebagai saksi bagi membantu siasatan," katanya.
Khairul Dzaimee berkata, aktiviti sindiket ini dihidu dan dipantau sejak Mei lalu sebagai tindakan kepada aktiviti pendaratan etnik Rohingya di pantai Kuala Muda, Kedah pada Mac tahun lalu.
"Dalang sindiket ini adalah warga Myanmar. Ketika pemeriksaan, kami menemui surat rayuan, surat perlindungan dan surat bantuan perubatan kepada UNHCR untuk warga Myanmar.
"Sindiket turut dikesan menyediakan perkhidmatan memalsukan dan meminda maklumat 'bio-page' pasport antarabangsa pelbagai negara, membuat pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan lain-lain pas lawatan palsu.
"Rangka (template) surat pengesahan pemeriksaan COVID-19 klinik swasta turut ditemui di dalam pemacu dan komputer riba. Selain itu kita turut merampas dokumen yang disyaki palsu iaitu 13 keping i-Kad Imigresen, 35 kad UNHCR dan masing-masing tiga unit komputer riba dan komputer, enam mesin pencetak, empat mesin lamina dan lima pemacu.
"Turut ditemui ialah enam mesin pencetak, empat mesin lamina dan lima pemacu, beberapa keping kad lamina hologram UNHCR, kad nikah muslim Myanmar dan kad pertubuhan Rohingya di Malaysia," katanya.
Sumber: Berita Harian