25/05/2026
ILIM OUTREACH: JAULAH KASIH 1.0 PERKASA DAKWAH MESRA KOMUNITI DI KENNEDY BAY
Kennedy Bay, 23 Mei 2026 โ Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Lahad Datu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah berjaya menganjurkan program ILIM Outreach: Jaulah Kasih 1.0 di Kampung Kennedy Bay, Silam Camp pada Sabtu, 23 Mei 2026.
Program yang berlangsung selama sehari itu berjaya menghimpunkan kira-kira 150 orang peserta dalam kalangan masyarakat setempat dan kampung sekitar. Penganjuran program ini merupakan salah satu inisiatif turun padang ILIM dalam mendekati komuniti melalui pendekatan dakwah santai, pengukuhan kefahaman ibadah serta penyampaian ilmu yang bersifat praktikal dan menyentuh keperluan masyarakat.
Pengisian program dimulakan dengan slot Klinik Solat: Solat On Point yang disampaikan oleh Ustaz Ilham Hussainy bin Abdul Raup; Penolong Pengarah ILIM LD. Slot tersebut memberi penekanan terhadap pemantapan ibadah solat merangkumi aspek bacaan, pergerakan dan penghayatan asas yang sering dipandang ringan dalam kehidupan seharian.
Seterusnya, para peserta mengikuti slot Road To Barzakh: Sentuhan Terakhir Buat Saudara Seagama yang disampaikan oleh Ustaz Dzul Helmi Mohd Noh; Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, SK Tanjong Paras, Lahad Datu. Slot tersebut menyentuh penghayatan tentang kehidupan selepas kematian serta tanggungjawab masyarakat dalam menguruskan jenazah dengan penuh amanah, adab dan penghormatan menurut tuntutan syariat Islam.
Bagi melengkapkan pengisian program, Ustazah Ruhanah binti Radin dari Unit Hal Ehwal Islam, Hospital Lahad Datu turut diundang untuk mengendalikan sesi amali pengurusan jenazah wanita. Sesi tersebut memberi peluang kepada para peserta memahami secara langsung tatacara pengurusan jenazah wanita yang betul dan sempurna mengikut syariat Islam, sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat dalam melaksanakan fardu kifayah.
Sepanjang program berlangsung, para peserta menunjukkan komitmen dan penglibatan yang amat memberangsangkan dalam setiap slot yang dijalankan. Suasana program yang santai namun sarat dengan pengisian ilmiah berjaya mewujudkan hubungan erat antara warga ILIM bersama masyarakat setempat, sekali gus memperkukuh usaha dakwah dan penyampaian ilmu secara turun padang kepada komuniti.
Penganjuran ILIM Outreach: Jaulah Kasih 1.0 diharapkan dapat menjadi platform berterusan dalam menyantuni masyarakat melalui pendekatan dakwah yang mesra, berilmiah dan berimpak, selaras dengan peranan ILIM sebagai institusi latihan Islam.
Kennedy Bay, kita jumpa lagi!
Oleh: Farhan Hassan