23/04/2026
“Rempuh Cabaran, Menuju Kepulihan: 25 Penghuni PUSPEN Kuching Sertai Program Transisi di Pusat Latihan Kenegaraan Sampadi”
Program Transisi Penghuni Pra-Bebas ke Dalam Komuniti Peringkat PUSPEN Kuching 2026 bertemakan “Rempuh Cabaran, Menuju Kepulihan” telah berlangsung dengan jayanya pada 21 hingga 23 April 2026 di Pusat Latihan Kenegaraan Sampadi, melibatkan seramai 25 orang penghuni PUSPEN Kuching. Program ini bertujuan mempersiapkan peserta dari segi fizikal, mental dan spiritual sebelum kembali ke dalam komuniti.
Sepanjang tiga hari program, peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti berimpak tinggi merangkumi taklimat keselamatan, latihan asas perkhemahan, aktiviti orienteering, jungle trekking, abseiling serta modul kenegaraan dan kemahiran hidup. Pengisian kerohanian turut diberi penekanan melalui kelas agama, tazkirah dan bacaan Yasin bagi memperkukuh jati diri peserta.
Atur cara program disusun padat dan menyeluruh—hari pertama memberi fokus kepada penyesuaian diri dan pembinaan semangat berpasukan, hari kedua menguji ketahanan fizikal serta kemahiran diri melalui aktiviti sihat dan kreatif, manakala hari ketiga menumpukan refleksi diri, persediaan kembali ke komuniti serta majlis penutupan rasmi.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Puan Yuliani binti Yahya ( Pengarah PUSPEN Kuching ) , Tn Peter Idin serta barisan pegawai PUSPEN Kuching. Program ini diharap menjadi titik permulaan baharu buat para peserta dalam menempuh kehidupan bebas dadah dengan lebih yakin dan berdaya tahan.