14/06/2026
TPM rasmi surau Nurul Muslimin
KUCHING, 14 Jun - Penantian lebih dua dekad penduduk Kampung Sungai Bedil Besar untuk memiliki sebuah surau yang lebih selesa dan kondusif akhirnya menjadi kenyataan apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof merasmikan Surau Nurul Muslimin yang dibina dengan kos RM2.6 juta, hari ini.
Surau yang mampu menampung sehingga 500 jemaah pada satu-satu masa itu menjadi mercu tanda baharu pembangunan komuniti setempat serta simbol komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat menerusi pembangunan fizikal dan rohani yang seimbang.
Berucap pada majlis perasmian tersebut, Fadillah berkata usaha merealisasikan pembinaan surau berkenaan bermula sejak tahun 2004 dan melalui pelbagai cabaran termasuk kekangan pelaksanaan projek serta pertukaran kontraktor sebelum berjaya disiapkan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta agensi berkaitan yang memainkan peranan penting dalam memastikan projek tersebut dapat disempurnakan demi manfaat penduduk setempat.
Menurut beliau, surau bukan sekadar tempat menunaikan ibadah, malah perlu diimarahkan sebagai pusat pembangunan ummah yang menghimpunkan pelbagai aktiviti keagamaan, pendidikan dan kemasyarakatan.
Katanya, program seperti tazkirah, kelas pengajian agama, pembelajaran al-Quran serta pembangunan kemahiran komuniti perlu diperkasakan bagi melahirkan masyarakat yang berilmu, berakhlak dan berdaya tahan.
Pada masa sama, beliau berkata institusi surau dan masjid perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam memperkukuh institusi keluarga melalui pendedahan kepada kemahiran keibubapaan bagi membantu masyarakat mendepani cabaran semasa termasuk gejala sosial, penyalahgunaan dadah, perjudian dalam talian serta tekanan hidup yang semakin kompleks.
Menyentuh perkembangan teknologi semasa, Fadillah berkata kecerdasan buatan (AI) menawarkan peluang besar dalam penyampaian ilmu, dakwah dan maklumat kepada masyarakat, khususnya generasi muda menerusi pelbagai platform digital.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa teknologi tersebut turut membawa risiko penyalahgunaan termasuk penyebaran maklumat palsu dan kandungan manip**atif seperti ‘deepfake’ yang berpotensi menggugat keharmonian serta perpaduan masyarakat.
Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai supaya sentiasa mengamalkan budaya semak dan sahih sebelum menerima atau menyebarkan sesuatu maklumat, terutama kandungan yang tular di media sosial.
Mengulas mengenai keistimewaan Sarawak, beliau berkata perpaduan yang terjalin kukuh dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama merupakan aset penting yang perlu terus dipelihara bagi menjamin kestabilan, keamanan dan kemakmuran negeri.
Justeru, beliau menyeru jawatankuasa surau serta penduduk setempat agar terus mengimarahkan Surau Nurul Muslimin menerusi pelbagai program yang mampu memperkukuh ukhuwah, memupuk perpaduan dan meningkatkan kesejahteraan komuniti.
“Surau dan masjid perlu terus dihidupkan dengan aktiviti yang mampu memperkukuh nilai spiritual, mempererat hubungan masyarakat serta melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak dan berintegriti,” katanya.
Majlis perasmian turut diserikan dengan bacaan doa, tayangan video khas, upacara menandatangani plak simbolik perasmian serta pemotongan riben bangunan baharu Surau Nurul Muslimin.
Turut hadir Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak, Jasni Jubli, Pengarah DBKU, Ramzi Abdillah, Pegawai Daerah Kuching, Zaidi Sharkawi, Pengerusi Surau Nurul Muslimin, Jamaludin Hamdin serta Pengerusi Pengelola Jawatankuasa Majlis, Zamahari Saidi. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Mohamad Munir (BMKK)
Jurufoto: Mohammad Rizal (BKVS)