14/09/2026
BICARA RANDAU IAB BERSAMA SPRM: KEPIMPINAN BERINTEGRITI BENTENG ORGANISASI BEBAS RASUAH
KUCHING, 14 September 2026 – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak telah menyertai sesi rakaman sempena Program Randau Kepimpinan Institut Aminuddin Baki (IAB) Cawangan Sarawak Siri Ke-7 Tahun 2026 bertajuk “Bicara SPRM: Integriti dalam Kepimpinan Organisasi” yang dianjurkan oleh IAB Cawangan Sarawak menerusi platform digital StreamYard.
Sesi tersebut dikendalikan oleh Encik Syarifuddin bin Sudirman, Pensyarah IAB Cawangan Sarawak selaku moderator, manakala PKPj Katherine Nais, Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Sarawak, hadir sebagai tetamu jemputan bagi berkongsi pandangan dan pengalaman berkaitan aspek integriti dalam kepimpinan organisasi.
Perbincangan memberi penekanan kepada kepentingan kepimpinan berintegriti dalam membentuk budaya kerja yang beretika, berakauntabiliti dan bebas daripada salah laku serta rasuah. Antara perkara yang dikupas termasuk etika dan tatakelakuan penjawat awam, pengurusan dilema etika, tanggungjawab pemimpin serta risiko penyalahgunaan amanah dan kuasa dalam organisasi.
Sesi turut menekankan bahawa pemimpin bukan sahaja bertanggungjawab memastikan pematuhan terhadap peraturan dan tatakelola, malah perlu menjadi teladan kepada warga organisasi dalam membudayakan nilai integriti, amanah dan akauntabiliti. Kepimpinan yang konsisten dalam mempertahankan prinsip integriti diyakini mampu mewujudkan persekitaran kerja yang lebih telus, beretika dan berdaya tahan terhadap risiko rasuah.
Rakaman program berkenaan akan disiarkan pada 28 September 2026, jam 2.30 petang menerusi saluran YouTube IAB Cawangan Sarawak sebagai salah satu medium pendidikan dan kesedaran integriti kepada penjawat awam serta warga organisasi.
Kerjasama strategik antara IAB Cawangan Sarawak dan SPRM melalui platform digital ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memperluas penyampaian mesej antirasuah, di samping memperkukuh nilai integriti, akauntabiliti dan tadbir urus baik dalam perkhidmatan awam.
Inisiatif sebegini diharap dapat menyemarakkan kesedaran bahawa kepimpinan yang berintegriti merupakan asas kepada pembentukan organisasi yang beramanah, berakauntabiliti dan bebas daripada rasuah.