18/05/2026
Program Meningkatkan Kecemerlangan Organisasi Melalui Inisiatif GovX (Government Excellence) Pahang 1st Fasa 1 I 14 - 15 Mei 2026
Program Meningkatkan Kecemerlangan Organisasi Melalui Inisiatif GovX (Government Excellence) Pahang 1st Fasa 1 telah berjaya dilaksanakan pada 14 dan 15 Mei 2026 bertempat di Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP). Program ini merupakan kursus permintaan di bawah inisiatif pembangunan kapasiti yang dianjurkan bagi memperkukuh keupayaan organisasi dalam melaksanakan amalan pengurusan yang lebih sistematik, berprestasi tinggi dan berorientasikan produktiviti. Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Encik Khairuddin Ismail, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MUIP yang turut menzahirkan komitmen pihak MUIP dalam memperkukuh budaya kecemerlangan organisasi melalui pelaksanaan inisiatif penambahbaikan yang mampan dan berimpak tinggi. Pihak MUIP juga telah memohon agar MPC Pahang menyediakan bimbingan yang menyeluruh berkaitan pelaksanaan Inisiatif GovX Pahang 1st sebagai usaha mempertingkat kecemerlangan organisasi serta memperkukuh keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan.
Pelaksanaan Fasa 1 ini memberi penekanan kepada aspek pengenalan dan kesedaran terhadap konsep GovX melalui sesi penerangan berkaitan definisi, nilai teras serta konsep utama GovX. Selain itu, peserta turut didedahkan kepada pemahaman berkaitan mekanisme penilaian dan pemarkahan GovX termasuk pelaksanaan penilaian kendiri yang menjadi asas kepada proses penambahbaikan organisasi secara berterusan. Pendekatan ini diharap dapat membantu warga MUIP memahami secara jelas dan holistik setiap kriteria yang ditetapkan serta meningkatkan kesiapsiagaan organisasi dalam mengadaptasi amalan kecemerlangan yang mampu menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan prestasi organisasi secara menyeluruh.
Sepanjang program berlangsung, peserta turut mengikuti Modul 1 dan Modul 2 yang memberi fokus kepada perjelasan kriteria, kaedah pengukuran serta pembuktian bagi elemen penting dalam GovX. Antara komponen yang dibincangkan merangkumi kepimpinan, objektif, strategi, pelanggan, kualiti perkhidmatan, output, outcome serta pengurusan pengetahuan. Perkongsian ini bukan sahaja memberi panduan terperinci kepada peserta, malah membantu organisasi mengenal pasti pendekatan yang lebih efektif dalam memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta membudayakan amalan kerja berprestasi tinggi yang menyokong agenda produktiviti dan kecemerlangan organisasi secara berterusan.