24/11/2022
Situasi politik terkini memerlukan kepada pemimpin yang amanah dan bersih untuk menstabilkan semula Negara. Bukannya mereka yang menipu institusi Raja dan terlibat dalam kes salah laku integriti, terutamanya kes rasuah.
Sejarah Islam dan dunia banyak mengajarkan kepada kita bagaimana sebuah negara, termasuklah empayar terbesar dunia jatuh angkara pemimpin yang korup dan gila kuasa.
Rasulullah S.A.W pernah ditanyakan oleh Abu Dzar tentang apakah maksud Baginda S.A.W apabila menyatakan sekiranya hilangnya sifat amanah, kemudian hadirnya pembalasan. Jawab Baginda S.A.W yang bermaksud :
"Sekiranya tampuk kepimpinan jatuh kepada orang bukan ahlinya, maka tunggulah hari pembalasan."
Beberapa hari ini, kelompok yang mempunyai bibit yang sama sedang giat memainkan naratif mensucikan kluster mahkamah dan seumpamanya demi kuasa.
Rakyat p**a seolah-olah lupa akan kenyataan wujudnya kluster-kluster ini kerana terpengaruh dengan naratif mereka.
Bagi PAS dan Perikatan Nasional, prinsip perjuangan kita jelas. Kita menolak mana-mana individu yang terlibat dalam salah laku integriti. Kita akan kekal konsisten mentadbir Negara dengan prihatin, bersih dan stabil. Ini komitmen kita.
Oleh itu, saya memohon kepada semua ahli PAS dan Perikatan Nasional, termasuklah rakyat Malaysia yang mengundi Perikatan Nasional pada PRU-15 sehingga menghasilkan satu kemenangan luar biasa, terus bersemangat menantikan berita-berita baik yang akan diumumkan selepas ini.
Kita berikan sepenuh kepercayaan kepada institusi istana dan Majlis Raja-Raja yang dipimpin oleh kebijaksanaan KDYMM Yang Di-Pertuan Agong untuk menoktahkan kemelut yang melanda.
InshaAllah, pasti ada hikmah luar biasa untuk rakyat Malaysia. Teruskan berdoa dan bertawakal kepada-Nya.
Datuk Haji Idris Haji Ahmad.
Naib Presiden PAS.