02/06/2026
JPNT TERIMA KUNJUNGAN HORMAT PENGASAS ECMC SEMPENA PERSIAPAN TERENGGANU BIKE WEEK
KUALA TERENGGANU, 2 Jun – Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) hari ini menerima kunjungan hormat daripada Pengasas East Coast Motorcycle Club (ECMC), Y.A.M. Tengku Seri Temenggung Raja Terengganu, Dato' Seri Tengku Baharuddin, bersama barisan kepimpinan kelab tersebut di pejabat JPNT, di sini.
Ketibaan delegasi tersebut disambut mesra oleh Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Dato' Tengku Mohd Arifin bin Tengku A. Rahman.
Kunjungan tersebut bertujuan membincangkan perancangan strategik bagi penganjuran program Terengganu Bike Week yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Fokus utama perbincangan merangkumi persediaan teknikal acara, pengisian program, serta penyelarasan sidang media bagi memastikan hebahan dapat dilaksanakan secara efektif dalam masa terdekat.
Selain itu, pertemuan tersebut turut memberi fokus kepada usaha memperkukuhkan kerjasama strategik antara pihak ECMC dan JPNT dalam mempromosikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan utama, khususnya bagi melonjakkan segmen sukan permotoran dan pelancongan rekreasi di negeri ini.