19/05/2026
SESI LIBAT URUS CAWANGAN PERUBATAN TRADISIONAL & KOMPLEMENTARI (ZON TIMUR) BERSAMA JABATAN PEMBANGUNAN KEMAHIRAN (JPK) WILAYAH TIMUR
18 Mei 2026, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Terengganu telah mengadakan satu kunjung hormat kepada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Wilayah Timur. Kunjungan ini adalah bersempena dengan Sesi Libat Urus Cawangan Perubatan Tradisional & Komplementari (PT&K) bagi Zon Timur. Delegasi dari Cawangan PT&K ini telah diketuai oleh Pn. Maria Nazura Binti Md Nasir.
Sesi pertemuan ini diadakan dengan tujuan utama untuk:
• Membincangkan fungsi dan peranan Cawangan PT&K Zon Timur.
• Membina kerjasama strategik yang memfokuskan kepada pembangunan kemahiran pengamal industri.
• Memastikan perkhidmatan PT&K yang ditawarkan kepada masyarakat adalah selamat, berkualiti, dan berkesan.
• Menyokong usaha integrasi amalan PT&K secara optimum ke dalam sistem penjagaan kesihatan negara demi kesejahteraan awam.
Cawangan PT&K bertanggungjawab memastikan semua amalan mematuhi perundangan yang ditetapkan. Melalui taklimat yang diberikan, empat teras utama peranan cawangan telah dikongsikan:
• Pemantauan Perkhidmatan: Memantau pelaksanaan rawatan seperti akupunktur, urutan tradisional Melayu, dan terapi komplementari di fasiliti kerajaan serta swasta agar ia sentiasa mematuhi garis panduan KKM.
• Penguatkuasaan Akta 775: Mengendalikan aduan berkaitan premis dan menguatkuasakan Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 bagi memastikan setiap amalan berdaftar dan mengikut standard keselamatan.
• Pendidikan dan Khidmat Nasihat: Menganjurkan program kesedaran kepada masyarakat awam dan anggota kesihatan, di samping berfungsi sebagai pusat rujukan dan penasihat di zon timur.
• Pengurusan Dasar dan Data: Menyelaraskan proses integrasi, memantau prestasi perkhidmatan, serta menguruskan segala maklumat dan statistik berkaitan pembangunan perkhidmatan PT&K.
Bagi membolehkan pengamal industri di Zon Timur memperoleh tahap kelayakan kemahiran yang sah, pihak Cawangan PT&K JKN Terengganu amat memerlukan maklumat berkaitan Pusat Bertauliah. Jabatan telah memperkenalkan Sistem MySPIKE serta laman sesawang https://www.dsd.gov.my dan memberi penerangan mengenai:
• Kaedah untuk membuat carian maklumat mengenai program latihan kemahiran.
• Senarai Pusat Bertauliah yang menawarkan kursus di dalam bidang PT&K.
Langkah ini secara langsung dapat membantu pihak JKN Terengganu dalam usaha memudah cara urusan memperolehi kelayakan kemahiran bagi pengamal-pengamal industri terbabit.