02/06/2023
CINA BERKAIN BATIK.
Ada satu negeri di Malaysia ini yang kaum Cina di situ hidup seperti orang Melayu. Mereka digelar Cina Peranakan.
Mereka tidak makan dengan chopstick, yang lelakinya p**a pakai kain sarung.
Bercakap dengan dialek negeri sebagai bahasa utama.
Mahir membaca dan menulis jawi. Papan tanda di kedai juga guna tulisan jawi.
Rumah mereka ada anjung dan atap yang sedikit melengkung.
Kalau nak dibuat kenduri, orang Islam akan dijemput untuk memasak supaya semua orang boleh datang makan.
Mereka pandai main wau, gasing, sepak raga, laga ayam dan dikir barat.
Kalau nak dibuka kedai berniaga atau masuk rumah baru, mereka panggil jiran Melayu datang untuk buat sembahyang hajat seperti kebiasaan orang Islam.
Kalau orang Melayu masak bubur asyura, mereka buat juga dengan kawah yang lain.
Yang istimewanya di negeri ini juga, mereka boleh jadi Penghulu. Penghulu Tanpa Mukim. Ada lelaki dan wanita. Tugasnya jadi penghubung kepada kaum bukan Melayu di peringkat akar umbi.
Contohnya, pemimpin negeri bergama Islam nak hadir ke program bukan Islam. PTM akan beri panduan untuk bezakan mana satu program ritual ibadat dan yang mana program berbentuk kebajikan atau budaya masyarakat.
Jika program ada upacara agama, maka PTM kaum itu akan menjadi wakil pemimpin negeri.
Ada satu kisah menarik sumbangan besar golongan PTM ini kepada kaum Cina.
Sewaktu kerajaan negeri lancarkan satu skim takaful PERCUMA iaitu Skim Takaful Kifaalah Warga Emas, namun sambutan kurang memberangsangkan.
Atas komitmen PTM, skim ini sampai juga kepada kaum Cina. Daripada skim ini, apabila pencarum meninggal dunia pihak keluarga akan terima sumbangan untuk pengurusan jenazah sahaja bernilai RM2,500.
Seorang pencarum bernama Leh Heh Khoon telah mewasiatkan RM2,000 kepada Masjid Muhammadi dan keluarga mendiang hanya mengambil RM500 untuk urusan jenazah mendiang.
Begitu juga besarnya penghargaan negeri dalam meraikan keberadaan mereka.
Mereka minta Dewan Perniagaan Cina diubah suai kepada konsep tradisional Cina, kerjaan negeri izinkan.
Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra di Rantau Panjang dibina dengan reka bentuk seni bina Cina dan diberi nama Masjid Beijing.
Pembinaan Pintu Gerbang Cheng Ho tahun 2017 di kawasan majoriti penduduk Cina di Kota Bharu.
Semua peristiwa dan keunikan hidup orang Cina di negeri ini menunjukkan bahawa keharmonian dan perpaduan kaum yang wujud ini satu realiti. Bukan main-main atau retorik.
Harmoni yang dirasa bukan suatu perkara yang boleh dibuat-buat. Ia lahir dari sebuah tempat dan orang-orangnya yang saling hormat menghormati dan pemimpin yang tahu menggunakan sistem pemerintahan Islam yang adil untuk semua.
Apabila pemimpinnya baik, adil dan berjiwa rakyat maka seluruh rakyatnya tidak kira kaum dan agama dapat hidup tenang, aman dan damai.
Dan cerita menakjubkan ini bukan cerita dongeng, ia benar berlaku di sebuah negeri yang Membangun Bersama Islam dan dikenali sebagai Negeri Che Siti Wan Kembang.
Rujukan:https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/50851/1/50851.pdf