18/06/2025
KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
14 JUN 2025 | 17 ZULHIJJAH 1446 H
HIMPUNAN TURUN ANWAR – 26 JULAI 2025: SATU MANIFESTASI RAKYAT
Dewan Pemuda PAS Malaysia mengisytiharkan bahawa Himpunan Turun Anwar pada 26 Julai 2025 akan diadakan sebagai satu manifestasi besar rakyat Malaysia yang sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Setelah 933 hari Kerajaan Madani memegang tampuk kuasa, kita menyaksikan pelbagai bentuk kegagalan yang membebankan rakyat dan mencengkam demokrasi negara. Rakyat hari ini semakin tertekan dengan kenaikan kos sara hidup, ketidakstabilan ekonomi, dasar-dasar yang tidak mesra rakyat serta hilangnya hala tuju pentadbiran negara. Apa yang lebih mengecewakan, Perdana Menteri sendiri mengakui bahawa janji reformasi yang dilaungkan selama ini masih belum dapat dilaksanakan kononnya kerana tidak mendapat konsensus politik. Ini membuktikan bahawa segala janji perubahan hanyalah retorik yang digunakan semata-mata untuk mengekalkan kuasa.
Rakyat dibebani dengan pelbagai kenaikan kos termasuk tarif elektrik dan gas tidak bersubsidi yang dipaksa ke atas peniaga kecil. Dalam masa yang sama, ruang untuk rakyat bersuara juga semakin disekat. Kritikan di media sosial disekat, komen rakyat dipadam, emoji marah pun disorok daripada paparan awam. Malah penjawat awam dan ahli parti sendiri ditekan sekiranya tidak sehaluan dengan Presiden parti yang kini menjadi Perdana Menteri. Ini bukan lagi kerajaan reformasi, ini kerajaan yang takutkan suara rakyat dan menyekat hak asasi untuk bersuara.
Lebih mengecewakan, Parlimen yang sepatutnya membincangkan hal rakyat ditangguhkan semata-mata kerana pemilihan parti PKR. Seolah-olah nasib negara boleh diketepikan kerana urusan dalaman parti politik. Sidang penting yang sepatutnya membincangkan Rancangan Malaysia Ke-13 tidak berjalan kerana Menteri Ekonomi yang juga calon utama pemilihan PKR mengambil cuti dan meletakkan jawatan sementara. Sampai bila rakyat harus diperkotak-katikkan dengan pentadbiran seperti ini?
Rakyat juga dikejutkan dengan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kes Yusoff Rawther yang dibebaskan tanpa perlu membela diri setelah sembilan bulan ditahan atas tuduhan yang tidak berasas. Ia adalah lambang kegagalan sistem keadilan negara yang kini turut terpalit dengan campur tangan politik. Perdana Menteri p**a terpalit dengan saman sivil berkaitan gangguan seksual yang kini sedang berjalan di mahkamah. Lebih memalukan, beliau memohon imuniti bagi mengelak perbicaraan, satu tindakan yang menunjukkan ketakutan dan bukannya keadilan.
Melihat kepada kesemua kemelut dan kebobrokan ini, Pemuda PAS Malaysia yakin bahawa akar kepada segala permasalahan ini ialah kegagalan kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Beliau adalah simbol kepada krisis kepercayaan rakyat, kelemahan tadbir urus, serta penindasan terhadap suara rakyat. Oleh itu, kami mengumumkan bahawa Himpunan Bantah URA yang sebelum ini dirancang akan ditukar dan diperluaskan sebagai Impunan Turun Anwar Ibrahim yang akan berlangsung pada 26 Julai 2025.
Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang politik, untuk bersama-sama menyertai himpunan ini secara aman sebagai satu isyarat bahawa rakyat tidak rela lagi ditindas dan dipermainkan oleh kerajaan yang gagal. Ini bukan soal parti, ini soal masa depan negara. Kita yakin masih ramai tokoh dalam kalangan kerajaan hari ini yang mempunyai kemampuan memimpin negara dengan lebih baik, dengan syarat pemimpin utamanya perlu digantikan segera.
Kami tidak menyeru kepada perbuatan yang melanggar undang-undang atau menumbangkan kerajaan secara tidak sah. Kami menyeru kepada perubahan melalui tekanan rakyat yang sah dan berperlembagaan. Turunkan Anwar Ibrahim, dan kita akan lihat satu lembaran baharu buat negara ini.
YB Ustaz Afnan Hamimi bin Dato’ Taib Azamudden
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ahli Parlimen Alor Star