03/11/2025
LAPORAN KURSUS PENYELENGGARAAN PENDINGIN HAWA BERSAMA KLIEN ‘ILAJ HOME TAHUN 2025
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melalui Cawangan 'Ilaj Home, Bahagian Pengurusan Dakwah, telah mengadakan Kursus Penyelenggaraan Penghawa Dingin kepada klien ‘Ilaj Home yang bertempat di Ilaj Home pada 1, 2, 8 & 9 November 2025.
Program ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha untuk memberi pendedahan kemahiran asas kepada klien 'Ilaj Home agar mereka mampu berdikari serta mempunyai kemahiran yang boleh dimanfaatkan setelah tamat rawatan di 'Ilaj Home.
Kursus yang melibatkan 14 orang klien dan 5 orang pegawai 'Ilaj Home n telah dibimbing oleh Encik Muhammad Aiman selaku penceramah dan Encik Mohd Syahir bin Mohd Shokri selaku tenaga pengajar/ fasilitator.
Penganjuran program ini bertujuan untuk memberi ilmu dan kemahiran asas tentang penyelenggaraan penghawa dingin di rumah atau di pejabat dengan betul dan selamat.
Disamping itu program ini juga memberi peluang kepada klien untuk menjadikan kemahiran ini sebagai sumber pendapatan selepas keluar daripada 'Ilaj Home. Selain itu, ia juga dapat membantu meningkatkan keyakinan diri serta semangat berdikari dalam kalangan peserta.
Sepanjang empat siri kursus ini berlangsung, para peserta telah mengikuti sesi teori dan amali yang dikendalikan oleh tenaga pengajar berpengalaman. Antara kandungan dan aktiviti utama ialah:
• Pengenalan teori asas sistem penghawa dingin.
• Pengenalan kepada peralatan dan fungsi setiap komponen utama.
• Latihan amali dan praktikal penyelenggaraan serta pembersihan penghawa dingin.
• Demonstrasi cara pemeriksaan dan penjagaan keselamatan semasa kerja.
• Perkongsian kerjaya dalam bidang penyelenggaraan dan perkhidmatan teknikal.
Pendekatan pembelajaran secara teori dan praktikal ini dapat membantu para peserta untuk memahami konsep asas serta membina keyakinan dalam mengendalikan peralatan sebenar.
Program ini telah mendapat sambutan yang sangat baik serta telah memberi kesan positif kepada semua peserta. Antara hasil yang dapat dilihat ialah peserta telah menunjukkan keyakinan yang lebih tinggi untuk melaksanakan tugas penyelenggaraan serta memahami langkah-langkah penjagaan dan penyelenggaraan aircond dengan betul. Selain itu, wujud semangat kerjasama dan motivasi baharu dalam kalangan peserta untuk memperbaiki diri melalui kemahiran yang dipelajari.
Secara keseluruhannya, Kursus Penyelenggaraan ini telah mencapai objektif yang ditetapkan. Program ini bukan sahaja memberi ilmu dan kemahiran asas kepada peserta, tetapi juga membuka peluang untuk mereka menjana pendapatan serta membina keyakinan diri selepas keluar daripada pusat perlindungan.
Tahniah diucapkan kepada semua peserta dan pihak penganjur atas komitmen, kerjasama, dan kejayaan menjayakan kursus ini.
Semoga program seumpama ini dapat diteruskan bagi melahirkan lebih ramai klien yang berkemahiran dan berdikari.
Disediakan oleh:
Unit Pengukuhan,
Cawangan 'Ilaj Home,
Bahagian Pengurusan Dakwah, JAWI