PAS Lembah Pantai - P121

PAS Lembah Pantai - P121 Page Rasmi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Kawasan Lembah Pantai (P121)

04/09/2026
03/09/2026
JANGAN POLITIKKAN JALUR GEMILANG: PAS WP KECAM TINDAKAN HALANG EDARAN BENDERA MALAYSIAPAS Wilayah Persekutuan mengecam t...
01/09/2026

JANGAN POLITIKKAN JALUR GEMILANG: PAS WP KECAM TINDAKAN HALANG EDARAN BENDERA MALAYSIA

PAS Wilayah Persekutuan mengecam tindakan menghalang program pengedaran Jalur Gemilang kepada penduduk di sebuah Pangsapuri Kos Rendah di Bandar Tasik Selatan, dalam kawasan Parlimen Bandar Tun Razak, yang telah mencetuskan kekecohan kelmarin.

Menurut maklumat yang diterima, sekumpulan petugas yang hadir untuk mengedarkan Jalur Gemilang kepada penduduk telah dihalang atas alasan program tersebut tidak mendapat kebenaran pihak pengurusan dan didakwa mempunyai unsur politik.

PAS Wilayah Persekutuan ingin menegaskan bahawa Jalur Gemilang bukan milik mana-mana parti politik. Ia adalah lambang negara dan milik seluruh rakyat Malaysia.

Jika benar terdapat keperluan mendapatkan kebenaran pihak pengurusan bagi menjalankan aktiviti di kawasan strata, perkara tersebut boleh diselesaikan secara baik dan berhemah. Namun, menjadikan perbezaan politik sebagai alasan untuk menghalang usaha mengedarkan bendera Malaysia adalah sesuatu yang amat dikesali.

Lebih-lebih lagi, insiden tersebut berlaku dalam suasana rakyat sedang menyambut Hari Kebangsaan. Program mengedarkan Jalur Gemilang sepatutnya menjadi ruang untuk menyatukan masyarakat, bukan mencetuskan perpecahan.

PAS WP turut mengambil maklum dakwaan mengenai latar belakang politik individu yang terlibat dalam tindakan menghalang program tersebut. Namun, PAS WP menegaskan bahawa sesiapa sahaja yang memegang jawatan dalam pengurusan komuniti wajib bertindak secara profesional, adil dan tidak membawa sentimen kepartian dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

Jawatan dalam pengurusan komuniti bukan lesen untuk mendiskriminasi mana-mana pihak berdasarkan fahaman politik.

PAS WP juga menerima maklum balas bahawa terdapat penduduk setempat yang menyatakan kekesalan terhadap insiden tersebut dan memohon maaf atas apa yang berlaku. Ini menunjukkan bahawa tindakan segelintir individu tidak semestinya mencerminkan pendirian keseluruhan penduduk.

PAS WP tidak akan membiarkan semangat patriotisme rakyat dipolitikkan.

Kita boleh berbeza parti.
Kita boleh berbeza ideologi.
Kita boleh berbeza pandangan politik.

Tetapi apabila Jalur Gemilang dikibarkan, ia adalah bendera kita semua.

PAS WP menyeru pihak pengurusan pangsapuri dan semua pihak yang berkaitan supaya memberikan penjelasan secara terbuka mengenai insiden ini, termasuk asas dan prosedur yang digunakan untuk menghalang program tersebut.

PAS WP juga menyeru agar semua pihak menghentikan budaya politik kepartian yang sempit sehingga perkara yang sepatutnya menyatukan rakyat turut dijadikan medan persengketaan.

Jangan politikkan Jalur Gemilang.

Jangan jadikan perbezaan politik sebagai alasan untuk memecahbelahkan rakyat.

Dalam Malaysia yang kita cintai, bendera negara mesti mengatasi bendera parti.

Izamuddin Ludin
Ketua Penerangan
PAS WILAYAH PERSEKUTUAN
1 September 2026

PERUTUSAN DARI YANG DIPERTUA PAS KAWASAN LEMBAH PANTAIAssalaamualaikum warahmatullah.الحمدلله، اللهم باركSELAMAT MENYAMB...
30/08/2026

PERUTUSAN DARI YANG DIPERTUA PAS KAWASAN LEMBAH PANTAI

Assalaamualaikum warahmatullah.
الحمدلله، اللهم بارك
SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN KALI KE-69

“KEMBALI KEPADA PENYELESAIAN ISLAM”

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salamat Menyambut Maulidur Rasul SAW dan Salam Kemerdekaan.

Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan rahmat-Nya, kita dapat bersama-sama menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-69.

Kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan fizikal, tetapi kemerdekaan yang sebenar ialah apabila kita mampu membebaskan diri, keluarga dan masyarakat daripada kezaliman, perpecahan, kemiskinan, kerosakan akhlak serta segala bentuk kehidupan yang bertentangan dengan fitrah manusia.

Sebagai umat Islam, kita meyakini bahawa Islam bukan sekadar agama yang mengatur urusan ibadah peribadi, tetapi merupakan satu sistem kehidupan yang lengkap, yang membawa penyelesaian dalam aspek pemerintahan, ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan, keadilan dan kebajikan.

Justeru, tema “Kembali Kepada Penyelesaian Islam” merupakan seruan untuk kita kembali menjadikan nilai-nilai Islam sebagai panduan dalam membina masyarakat dan negara — berteraskan keadilan, amanah, integriti, kasih sayang, kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Di Lembah Pantai, kita mahu melihat sebuah masyarakat yang saling membantu, menghormati perbezaan, membela golongan yang memerlukan dan memastikan tiada rakyat yang terpinggir daripada arus pembangunan dan bersama kita bina peradaban serta pembangunan kotaraya Kuala Lumpur sebagai WILAYAH SEJAHTERA.

Kemerdekaan juga menuntut kita untuk menjaga keharmonian negara. Marilah kita menolak perpecahan, fitnah dan kebencian, sebaliknya membina Malaysia yang aman dan bersatu dengan mengutamakan kepentingan rakyat serta nilai-nilai murni yang diajarkan oleh Islam.

Kita mahu kemerdekaan yang bukan hanya diraikan dengan kibaran Jalur Gemilang, tetapi dihayati dengan membina kehidupan yang lebih baik, adil dan sejahtera untuk semua.

Sempena Hari Kemerdekaan yang ke-69 ini, saya menyeru seluruh warga Lembah Pantai agar terus memperkukuhkan ukhuwah, memperbanyakkan amal kebajikan dan bersama-sama menyumbang kepada pembangunan masyarakat.

Marilah kita berdoa agar Malaysia terus dikurniakan keamanan, kestabilan, kemakmuran dan kepimpinan yang amanah serta sentiasa mendapat petunjuk daripada Allah SWT.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia Kali Ke-69.

Merdeka dengan iman.
Merdeka dengan keadilan.
Merdeka dengan amanah.
Merdeka dengan Islam sebagai penyelesaian.

“KEMBALI KEPADA PENYELESAIAN ISLAM”

Sekian, Wassalaam dan terima kasih.

Ikhlas daripada:
LAr. HAJI FAUZI ABU BAKAR,
Yang Dipertua
PAS Kawasan Lembah Pantai
31 OGOS 2026





25/08/2026

YDP PAS Kawasan Lembah Pantai, Haji LAr Fauzi Abu Bakar selaku SU Perhubungan Negeri WP, mewakili PAS Wilayah Persekutuan ke Majlis Makan Malam Amal PAS Melaka bagi menjayakan kutipan Dana PRN, bersama kepimpinan PAS Pusat serta pimpinan kawasan dari seluruh negeri.

Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan dalam perjuangan ini, memperkukuhkan ukhuwah, menyatukan hati dan mempererat persefahaman bersama Barisan Nasional (BN) demi memperkasakan Penyatuan Ummah dan perjuangan untuk agama, bangsa serta negara.

Firman Allah SWT:
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا
"Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai."
— Surah Ali ‘Imran, 3:103

Semoga setiap langkah dan usaha ini mendapat rahmat, petunjuk serta keredaan Allah SWT.

Bersatu dalam ukhuwah, istiqamah dalam perjuangan.
Allahuakbar! ✊🏻🇲🇾

25/08/2026

Alhamdulillah 🇲🇾
Pengertian Merdeka terus kita isi dan hayati bersama.

Petang semalam, kami berkesempatan menyerahkan Jalur Gemilang 🇲🇾 kepada warga Lembah Pantai yang berkunjung ke Pasar Malam Pantai Permai, bersama YDP PAS Kawasan Lembah Pantai, LAr Haji Fauzi Abu Bakar , serta barisan kepimpinan PAS Kawasan...

Sambil-sambil itu, sempat juga kita menceriakan adik-adik dengan memberikan RM10 seorang sebagai duit belanja pasar malam. 😊 Semoga sedikit pemberian ini dapat menggembirakan mereka sambil bersama-sama merasai kemeriahan bulan kemerdekaan.

Merdeka bukan sekadar laungan atau mengibarkan Jalur Gemilang. Ia tentang rasa cinta kepada tanah air, menghargai keamanan dan kebebasan yang kita nikmati, serta menyemai semangat kebersamaan sejak dari kecil.

Semoga pengertian dan semangat Merdeka terus terserap dalam hati anak-anak, warga Lembah Pantai dan kita semua sebagai rakyat Malaysia.

🇲🇾 Merdeka! Merdeka! Merdeka! 🇲🇾

24/08/2026

Address

Kuala Lumpur
59200

Website

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when PAS Lembah Pantai - P121 posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Contact The Organization

Send a message to PAS Lembah Pantai - P121:

Shortcuts

Share