11/04/2022
MUHYIDDIN MAHU PERLINDUNGAN DIBERIKAN KEPADA PELOMPAT PARTI YANG TERKESAN DENGAN AKTA LOMPAT PARTI
Tadi dalam Dewan Rakyat, Presiden parti PPBM, Muhyiddin Yassin khuatir bahawa Akta Lompat Parti akan memberi tekanan kepada pelompat parti yang kononnya menjadi mangsa apabila mereka menyemak-imbang kepimpinan parti.
Ini berasaskan andaian senario di mana kononnya kepimpinan parti boleh mengambil tindakan memecat ahli-ahli Parlimen yang tidak bersetuju dengan kepimpinan parti justeru ahli-ahli Parlimen ini akan dipaksa mengosongkan kerusi Parlimen mereka melalui akta tersebut.
Saya lihat Muhyiddin ini keliru tentang tujuan dan semangat akta lompat parti ini dibuat waima interpretasi bagi pelaksanaannya.
Akta ini dibuat untuk mengelakkan ketidakstabilan politik selepas pilihanraya akibat ahli-ahli Parlimen yang telah dipilih rakyat tiba-tiba menukar dan melompat parti, seperti yang telah dibuat oleh hampir semua ahli-ahli Parlimen PPBM yang telah menyebabkan krisis politik kini.
Jika mereka semak imbang parti dan kemudian dipecat dan selepas itu menukar parti, itu bukanlah melompat parti, sebab apabila mereka dipecat mereka bukan lagi ahli parti dan mereka bukan melompat tetapi ditolak keluar. Dan akta ini bukanlah akta gantung tidak bertali.
Yang menjadi isu ialah apabila mereka melompat parti, keluar dengan sendiri, atau mengkhianat parti dahulu. Dan oleh sebab itulah mereka dipecat, bukan sebaliknya.
Sebelum ini selepas PRU-14, ahli-ahli Parlimen yang telah melompat parti (kebanyakan mereka masuk PPBM) ini telah melompat bukan sebab mereka jadi mangsa semak-imbang parti mereka, tetapi sebab kepentingan politik diri mereka sendiri.
Ahli-ahli Parlimen yang telah melompat ini membuat keputusan tersebut secara sukarela (own volition), dan/atau atas pujukan parti lain terlebih dahulu, bukan kerana mereka dipaksa keluar oleh partinya yang sedia ada. Mereka mengkhianat dahulu sebelum dipecat, bukan sebaliknya.
Contohnya, semasa Langkah Sheraton, Azmin dan Zuraida telah dipecat dari PKR setelah mereka mengkhianat parti mereka (PKR/PH) apabila mereka menjatuhkan kerajaan PH mereka sendiri dengan menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dalam gabungan lain.
Sebelum itu, Hamzah Zainuddin bersama 14 lagi ahli Parlimen UMNO p**a telah dipecat dari parti setelah mereka menyatakan sokongan kepada PPBM dan melompat parti. Tidak ada sebab untuk UMNO pecat mereka ini jika mereka tidak terlebih dahulu khianat dan lompat parti.
Apabila melompat, mereka sering beri alasan bahawa mereka kononnya tidak bersetuju dengan halatuju parti dan kepimpinan parti dan kononnya sebab itu mereka "terpaksa" melompat parti.
Namun semasa mereka ingin dicalonkan dalam pilihanraya hanya beberapa bulan sebelum itu, dan apabila menggunakan jentera, dana, dan bendera parti untuk menang, mereka sanggup bersetuju dengan apa sahaja yang parti tentukan. Tetapi apabila sudah menang, lain p**a ceritanya. Inilah tabiat pengkhianat.
Walaupun demikian, sebab utama akta ini dibuat bukanlah untuk melindungi hak parti, tetapi ianya adalah untuk melindungi hak rakyat. Iaitu hak rakyat untuk mengekalkan wakil rakyat yang dipilih oleh mereka bersama parti yang dipilih dan diberi mandat untuk memerintah.
Hak rakyat di atas adalah lebih penting daripada hak individu ahli-ahli Parlimen untuk melompat parti atas alasan hak kebebasan untuk berpersatuan. Sebab rakyat mengundi mereka kerana didorong oleh faktor dan komitmen mereka untuk mentadbir bersama parti, bukan atas kapasiti mereka sebagai individu.
Dalam pilihanraya umum (PRU) mahupun pilihanraya negeri (PRN), rata-rata rakyat memilih faktor parti lebih daripada mereka memilih faktor calon. Sebab mereka tahu dalam PRU dan PRN, parti yang dipilih yang akan membentuk kerajaan.
Sebab itu di PRN Melaka dan PRN Johor baru-baru ini, Barisan Nasional telah menang dua-per-tiga majoriti, walaupun kebanyakan calon-calon yang ditampilkan adalah calon-calon muda yang tidak dikenali oleh pengundi.
Oleh sebab itu sumbangan parti dalam kemenangan sesuatu kerusi itu adalah jauh lebih besar dari sumbangan calon. Sebab itu juga jika calon yang sama bertanding bebas, kebarangkalian besar mereka akan tewas.
Saya percaya kebanyakan ahli-ahli Parlimen dalam parti Muhyiddin yang telah melompat parti sebelum ini tahu akan hal ini, tetapi kini mereka buat-buat tidak faham.
Mereka malu dan takut kerana kesempatan yang mereka telah ambil untuk kepentingan diri mereka sendiri dahulu akhirnya tiba ke penghujungan dan mereka perlu tanggung akibatnya apabila perlu berhadapan dengan rakyat semula.
Seperkara lagi, tadi ada ahli Parlimen PAS/PN dari Pasir Mas (YB Fadhil) kata yang kepersetujuan antara kerajaan dan PH dalam Akta Anti Lompat parti ini menunjukkan yang kestabilan boleh dicapai, oleh itu tidak perlu buat pilihanraya untuk capai kestabilan. Kita tahu dia dan rakan-rakannya dalam PN mahu tangguh pilihanraya sampai habis penggal tahun depan.
Saya ingat dia (Fadhil) ini pun sama ada keliru atau cuba pusing (spin) perkara ini seakan menegak benang yang basah seperti Muhyiddin juga.
Apa yang dia tidak kata ialah: Pertama, akta ini dibuat sebagai persediaan atau quasi pra-syarat sebelum pilihanraya. Lebih cepat akta ini dibuat, lebih segera pilihanraya boleh diadakan untuk mencapai kestabilan seperti yang rakyat mahukan. Akta ini dibuat bukan untuk menangguh pilihanraya, malah ia adalah sebaliknya.
Kedua, tentu sekali PH setuju dengan akta lompat parti ini sebab antara yang terkesan dahulu dengan ahli-ahli parlimen yang melompat parti ini adalah mereka (PH) sehingga kerajaan mereka sendiri telah jatuh akibat pelompat-pelompat parti ini.
Akhir sekali, kepada Tan Sri Muhyiddin, pengkhianat tidak perlu diberi perlindungan. Sebaliknya, mereka perlu bertanggungjawab ke atas tindakan mereka.
Dan, kita tidak perlu ikut kehendak segelintir ahli-ahli politik yang berjawatan kerajaan untuk tangguh pilihanraya dan memanjangkan jangkahayat jawatan mereka.
Lebih lama pilihanraya ditangguh, lebih lama politik tidak stabil, pelabur tidak masuk, dan rakyat tiada kerja.
Salam, dan selamat berbuka puasa.
ISHAM JALIL
11 April 2022